2/13/2009

Wanita, kejantanan dan pemerintahan bermaruah..

Ali Bukhari Amir Perlahan-lahan, Tun Nila Utama masuk mengadap dan bersembah di hadapan Baginda Sultan selesai perguruan ilmu persilatannya. Ketika diajukan pertanyaan sama ada beliau mahu beristeri atau tidak, maka Tun Nila pun berkata, "Anak kepada sekalian dato' menteri itu bukanlah perempuan, tetapi betina semata-mata.." "Tun Nila! Apa bezanya antara perempuan dengan betina?" Sultan Alam Syah Bana, Raja bagi kerajaan Pura Cendana mula murka. Seumur hidupnya, barangkali baru kali ini baginda mendengarkan ungkapan biadap sebegitu yang jelas menghina kaum wanita di negerinya. "Perempuan.. memelihara maruah," kata Tun Nila. "Tetapi betina.. menjualnya.." Oleh kerana kejujuran mempertahan pendapatnya itu, beliau dititah keluar negeri untuk akhirnya kembali semula mempersembah seorang wanita bermaruah di hadapan baginda sultan dan pembesar negeri tersebut. Akhir daripada pencarian, Tun Nila memang berjaya membawa pulang seorang perempuan. Kalau tidak ditafsirkan betul-betul, nanti kaum wanita marah pula. Tentu mereka tertanya-tanya, apakah bezanya antara lelaki dan jantan. Maka jawapannya tetaplah sama, iaitu lelaki memelihara maruah serta jantan itu telah menjualnya. Jantan dan betina adalah ungkapan yang menggambarkan bahawa manusia itu bukan lagi makhluk bergelar khalifah yang seluruh kehidupannya dibungkus hias dan didandan oleh sifat-sifat kemanusiaan. Arakian.. rupa-rupanya, sekalian bangsawan dan pembesar di negeri itu ada masalah besar dengan kaum wanita. Menteri Nikah Kahwin pun sanggup menceroboh rumah Puspawangi saat Tun Nila Utama mencari Musang Berjanggut. "Apa hukumnya, seorang lelaki menceroboh masuk ke rumah wanita ketika ketiadaan suaminya?" tanya Puspawangi kepada Menteri Nikah Kahwin. "Oh, itu salah besar.." "Jadi.. kanda pun salah jugalah," balas Puspawangi. "Eh, salah jugalah.. tapi tak apa-apa. Sebabnya, undang-undang dalam negeri ini kanda yang pegang. Itu semua boleh padam.." Ertinya, kelelakian kaum Adam pun boleh runtuh ke taraf jantan apabila mereka telah menjual maruahnya. Sama sahaja keadaannya. Tanpa maruah, kewanitaan dan kelelakian telah tercabut daripada jiwa mereka. Cuma.. dalam fahaman Melayu, ungkapan 'anak jantan' itu masih lagi bermaksud mulia kerana diungkap perkataan itu untuk menunjukkan darjah keperwiraan mereka untuk membela hak dan keadilan pusaka, tanahair dan maruah. Maka, dalam konteks penggunaan lafaz ini, 'anak jantan' memang memiliki konotasi yang sangat baik. Sementara itu, kepenggunaan lafaz 'anak jantan' pada zaman purbakala juga boleh merujuk kepada keadaan tidak bermaruah jikalau 'anak jantan' itu takut merampas dan mengganggu isteri orang, membuat onar serata kampung termasuk mengintai anak dara mandi di tepi sungai. Ini semua gejala-gejala tidak bermaruah, tetapi dianggap tidak jantan jika mereka tak berani melakukannya. Pada zaman sekarang, seseorang lelaki mungkin dianggap tidak jantan jika tidak pandai merempit, tidak menghisap rokok, berjudi, membuat tatu, memakai anting-anting, menindik hidung dan main perempuan. Walhal, ini semua adalah gejala yang bakal meruntuhkan anak bangsa. Dan, kebanyakan 'anak jantan' yang berani melakukan hal ini secara terbuka adalah anak kepada orang kenamaan, VVIP yang tidak boleh disentuh oleh polis kerana bapa mereka adalah orang terhormat. Demikianlah.. seorang menteri dianggap tidak bermaruah apabila sanggup menggunakan wangnya untuk membeli kaum wanita, bercakap tidak serupa bikin, tidak jujur dengan undang-undang negara yang digubal melalui lidah, jiwa dan fikirannya. Cakap tidak serupa bikin, memadam kesalahan dengan memperalat perundangan adalah sikap tidak bermaruah menteri. Makna maruah Dalam bahasa Arab, mar'atun ertinya perempuan. Daripada segi ini, hubungan kaum perempuan dengan maruah itu jauh lebih akrab berbanding kaum lelaki. Barangkali, kita boleh membuat kesimpulan awal bahawa maruah sesuatu bangsa atau maruah agama itu terletak kepada maruah kaum wanita bagi sesuatu bangsa dan agama itu. Misalnya, jika wanita Melayu itu rosak, maka rosaklah maruah Melayu. Atau, jika wanita muslimah itu rosak, maka maruah seluruh umat Islam itu pun tercalarlah sudah. Namun, haruslah diingat juga bahawa..jika wanita bagi sesuatu bangsa itu sudah rosak, maka kaum lelaki bagi sesuatu bangsa itu mestilah segera bertanggungjawab dan memainkan peranannya! Ini kerana.. ada banyak kejadian yang menunjukkan bahawa kaum lelaki itu jugalah yang telah menyebabkan kaum wanitanya telah tergadai maruah. Kalau wanita itu menjadi penari di sebuah kelab, maka pemilik kelab itu kemungkinannya seorang lelaki juga! Mereka inilah yang telah memperalatkan kaum wanita itu tadi dengan segala janji manis. Maka, apakah usahanya untuk kita kembali menyedarkan umat ini berhubung persoalan maruah? Tidak dapat tidak.. memang kita perlu berusaha keras mengkaji, menelaah dan jujur bermuhasabah mengenai kelemahan diri lalu berusaha memperbaikinya daripada semasa ke semasa. Sementara itu, Kamus Dewan menafsirkan maruah sebagai kehormatan (diri), dan harga diri. Dalam pengertian yang kedua, kamus itu juga menunjukkan pertalian hubungan maruah dengan sifat laki-laki, keberanian dan kegagahan. Kita boleh juga menyatakan bahawa orang yang bermaruah itu adalah mereka yang berani mempertahan pendirian, tak mudah goyah prinsip perjuangan dan tidak boleh dijualbeli pendiriannya melalui tawaran wang, pangkat, kekuasaan dan wanita yang cantik. Wanita itu bagaikan cermin Sementara itu, mir'aatun dalam bahasa Arab bermaksud cermin. Jadi, isteri bagaikan cermin di mana gambaran wajah suami terpantul dalam cermin tersebut. Atau, kita boleh juga menyebutkan bahawa kaum wanita itu bagaikan cermin yang akan memantulkan gambaran sebenar kaum lelaki dalam dirinya. Jika cermin (wanita) itu gelap, berhabuk dan berdebu, maka kaum lelaki itulah yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membasuh dan menggilapnya supaya imej gambaran dan bayangan dirinya akan kembali terang dan cerah di dalam cermin itu. Kaum wanita itu cerminan bagi diri kaum lelaki. Kalau cermin itu retak dan pecah, maka gambaran lelaki itu sendiri akan turut menjadi cacat. Cermin yang akan cacat dan telah dirosakkan inilah yang akan menebarkan segala benih sengketa di dunia akibat kaum lelaki sudah tidak lagi ambil kisah, tidak peduli dan bersikap tidak bertanggungjawab memelihara, memuliharanya daripada semasa ke semasa. ### Sultan Alam Syah Bana akhirnya turut berasa malu berikutan kejadian dirinya tertangkap sebagai penceroboh dalam rumah anaknya sendiri tatkala cuba berbuat serong terhadap menantu perempuannya. Pemerintahan yang bermaruah "Yang sebenarnya, ayahanda ingin mengetahui apa perbezaan antara perempuan dengan betina. Sekarang barulah ayahanda tahu," kata baginda ketika mula menginsafi kesilapannya. Di sini dapat dilihat betapa sulitnya untuk kita berusaha memulihkan sebuah pemerintahan yang bermaruah. Kita mungkin boleh memimpin rakyat bawahan dengan mengendong seribu satu macam inti pengajaran guna mengasuh pemikiran darihal pengertian maruah. Tapi, bagaimana cara mengasuh penguasa agar mereka dapat mengusung pemerintahan bermaruah? Hal ini memerlukan kesungguhan yang mendalam, keberanian, kejujuran bertindak dan keikhlasan mempertahan pendirian. Syahadan wal arakian.. Bermaruahkah sesebuah pemerintahan itu, jika seorang wanita yang lemah; Altantuya of Mongolia diletupkan tubuhnya oleh bom C4? Walhal bom C4 daripada masyarakat tentera yang dibeli melalui duit, cukai rakyat itu boleh dimanfaatkan oleh komando kita yang terlatih guna meletupkan Parlimen Knesset Zionis Israel, di mana dalam parlimen itulah Zionis Israel telah membuat keputusan bedebah, iaitu memperkosa hak rakyat Palestin selama ini. Tepuk dahi tanya pemikiran. Kepada Najib, mantan Menteri Pertahanan, bak kata Nabil Raja Lawak.. lu pikirlah sendiri.. (Heii.. geramnya..) 10:30 p.m, 9 Februari Sekolah Pemikiran Kg Baru. Pandangan maklumbalas, kritikan bolehlah dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com Mon | Feb 09, 09 | 11:58:44 pm MYT (Sumber Harakah online)

Valentine’s Day hari rai kejayaan pahlawan kafir kalahkan Islam

ESOK adalah Hari Valentine iaitu hari yang dinantikan golongan muda bagi memperingati kekasih. Pada hari berkenaan, pasangan kekasih meraikannya dengan menghadiri makan malam dan membelikan bunga untuk pasangan masing-masing. Ia ternyata budaya yang dibawa masyarakat Barat. Jika hanya setakat itu saja tidak salah. Namun, ada juga yang menyambutnya secara berlebihan. Kenapa jadi begitu? Jawapannya amat mudah kerana ramai yang tidak mengetahui asal usul kewujudan hari berkenaan. Oleh itu, saban tahun semakin ramai generasi baru ‘pak turut’ turut sama membuta tuli meraikannya. Apa yang terlintas di benak mereka hanyalah keseronokan dan kegembiraan. Maklum sajalah, hari memperingati kekasih. Walaupun menjadi naluri semula jadi manusia untuk dikasihi dan mengasihi, persoalannya, kenapa cuma pada hari itu perlakuan kita agak terlebih. Inilah yang menjadi kebimbangan kita semua. Pertama, lantaran tidak tahu asal usulnya, maka hari itu disambut dengan penuh kesyahduan dan kegembiraan. Untuk muda-mudi Islam, jauhilah daripada turut menyertai meraikan hari berkenaan. Hari itu sebenarnya adalah hari mengenang kejayaan besar seorang pahlawan kafir yang berjaya menundukkan kerajaan Islam di Sepanyol. Nama perayaan itu mengambil sempena nama sebenar pahlawan berkenaan. Tahun demi tahun, dibantu dengan tidak peka masyarakat Islam itu sendiri, maka mereka berjaya menerobosi minda anak muda Islam di serata dunia untuk turut sama dengan bangganya meraikan hari kejayaan besar itu dengan menjelmakan imej kasih sayang bersamanya. Kasih sayang berkenaan sebenarnya lambang kasih sayang mereka terhadap pahlawan berkenaan yang berjaya menumbangkan sebuah empayar Islam yang pernah berkuasa selama beratus-ratus tahun di bumi Andalusia itu. Itulah hakikat yang sebenarnya. Namun, ia berjaya dipakaikan topeng kasih sayang uda dan dara untuk mengabui mata dan minda serta berupaya menarik minat muda mudi Islam untuk turut sama bergembira dan merayakan kejayaan besar mereka dalam menghancurkan kuasa kerajaan Islam. Jauhilah perayaan itu sama sekali. Jika anda masih turut merayakannya, ia seolah-olah menunjukkan anda bergembira menyokong kejayaan orang lain menghancurkan dunia Islam keseluruhannya. SYED MAZLAN SYED MAT DOM, UiTM Kampus, Skudai. BH Online 13/02/2009

Hukum Rai Valentine & Jual Bunga

Hukum Rai Valentine & Jual Bunga Oleh Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net Soalan Assalamualaikum ustaz, Benarkah hukum menyambut hari Valentine adalah haram, bagaimana pula hukum menjual hadiah dan bunga kepada pasangan-pasangan bukan Islam? JAWAPAN Saya telah menyertakan jawab di ruangan artikel bahasa Inggeris, bagi membantu rakan-rakan yang kurang selesa memahami bahasa inggeris, disertakan jawapan ringkas saya berkenaan sambutan hari valentine. Asal-usul Valentine Tindakan mengaitkan pertengahan bulan Februari dengan cinta dan kesuburan sudah ada sejak dahulukala. Menurut tarikh kalender Athena kuno, periode antara pertengahan Januari dengan pertengahan Februari adalah bulan Gamelion, yang dipersembahkan kepada pernikahan suci Dewa Zeus dan Hera. Di Roma kuno, 15 Februari adalah hari raya Lupercalia, sebuah perayaan Lupercus, dewa kesuburan, yang dilambangkan setengah telanjang dan berpakaian kulit kambing. Sebagai bagian dari ritual penyucian, para pendeta Lupercus meyembahkan korban kambing kepada sang dewa dan kemudian setelah minum anggur, mereka akan lari-lari di jejalanan kota Roma sembari membawa potongan-potongan kulit domba dan menyentuh siapa pun yang mereka jumpai. Terutama wanita-wanita muda akan maju secara sukarela karena percaya bahwa dengan itu mereka akan dikarunia kesuburan dan bisa melahirkan dengan mudah. (http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Valentine) Justeru, secara ringkasan saya boleh simpulkan seperti berikut :- 1) Perayaan dalam Islam telah disebutkan oleh Nabi iaitu dari sabdaan Nabi SAW : (إن لكل قوم عيدا وإن هذا عيدنا) Ertinya : Sesungguhnya bagi setiap kaum itu perayaan masing-masing, dan ini (IdilFitri dan Idiladha) adalah perayaan kita" ( Riwayat AL-Bukhari, 952 ; Muslim, 1892) Justeru, sebarang perayaan yang disambut oleh umat Islam mestilah terhad kepada dua perayaan ini sahaja. Bagaimanapun, jika sesuatu majlis, keraian dan sambutan itu dianjurkan bukan atas asas atau nama agama serta tiada kaitan dengannya bahkan dibuat atas dasar adat semata-mata. Ianya boleh dan harus diraikan dengan syarat sambutannya tidak diserapi apa jua unsur maksiat dan syirik. Sebagai contoh sambutan kemerdekaan Negara, sambutan ulangtahun penubuhan sesebuah syarikat dan sebagainya. Cuma ia bukanlah disambut sebagai hari raya ketiga atau keempat, tetapi hanya sebagai majlis keraian setaraf dengan majlis perkahwinan dan sepertinya sahaja. Ini bermakna, tujuan dan asal usul perayaan itu perlulah disemak. Maka jika disemak perayaan Valentine ini. Ternyata ia berasal dari cerita dongeng, karut dan syirik berakitan dewa dan sebagainya. 2) Tidak harus pula meniru orang Kafir dan ahli maksiat dalam meraikan majlis yang dianjurkan. Imam Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim telah menyebut bahawa telah Ijma' (sepakat keseluruhan Ulama) melarang penyerupaan dalam meraikan perayaan agama ( atas asas agama) selain Islam. ( Iqtidha, 1/454 ; Ahkam Ahli Zimmah, 2/722) 3) Islam tidak mengiktiraf hari kasih sayang. Kasih sayang dalam Islam bersifat universal, tidak dibatasi waktu dan tempat dan tidak dibatasi oleh objek dan motif. Hal ini sesuai dengan hadis : "Cintailah saudara seislam seperti kamu mencintai dirimu sendiri." (Riwayat Bukhari). Islam sangat melarang keras untuk saling membenci dan bermusuhan, namun sangat menjunjung tinggi akan arti kasih sayang terhadap umat manusia. Rasulullah saw. bersabda : "Janganlah kamu saling membenci, berdengki-dengkian, saling berpalingan, dan jadilah kamu sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara. Juga tidak dibolehkan seorang muslim meninggalkan (tidak bertegur sapa) terhadap saudaranya lebih dari tiga hari" (Muslim) Kasih sayang dalam Islam diwujudkan dalam bentuk yang nyata seperti silaturahmi, menjenguk yang sakit, meringankan beban tetangga yang sedang ditimpa musibah, mendamaikan orang yang berselisih, mengajak kepada kebenaran (amar ma'ruf) dan mencegah dari perbuatan munkar 4) Sambutan hari Valentine hari ini menjadi semakin terkeji apabila ia menjurus kepada perlakuan maksiat, mengadaikan ‘dara' kepada kekasih yang bernafsu ‘syaitan' dan sepertinya. 5) Islam juga melarang umatnya dari terlibat, duduk serta bersekongkol dalam majlis yang mempersendakan Islam dan bercanggah dengannya. Ini dari firman Allah yang bererti : وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتَابِ أَنْ إِذَا سَمِعْتُمْ آيَاتِ اللّهِ يُكَفَرُ بِهَا وَيُسْتَهْزَأُ بِهَا فَلاَ تَقْعُدُواْ مَعَهُمْ حَتَّى يَخُوضُواْ فِي حَدِيثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذًا مِّثْلُهُمْ إِنَّ اللّهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِينَ وَالْكَافِرِينَ فِي جَهَنَّمَ جَمِيعًا "Dan sungguh Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al Qur'an bahwa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk beserta mereka, sehingga mereka memasuki pembicaraan yang lain. Karena sesungguhnya (kalau kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam" ( An-Nisa : 140 ) Diriwayatkan dari Umar r.a. bahwa dia pernah mendengar Rasulullah s,a.w. bersabda: "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhir, maka janganlah duduk pada suatu hidangan yang padanya diedarkan arak." (Riwayat Ahmad) Maka majlis arak yang haram itu adalah sama hukumnya dengan majlis Valentine yang juga haram. 6) Hukum memberikan hadiah sempena hari Valentine juga adalah menjadi haram berdasarkan kaedah dari firman Allah : "Janganlah kamu bantu membantu dalam perkara dosa dan permusuhan" Bagaimanapun hukum menjual bunga sahaja, ia tidak kurang dari kategori jualan yang syubhah, makruh atau haram khas di hari Valentine. Diriwayatkan, ada seorang laki-laki yang memberi hadiah satu bekas arak kepada Nabi s.a.w., kemudian Nabi memberitahu bahwa arak telah diharamkan Allah. Orang laki-laki itu bertanya: Lelaki: Bolehkah saya jual? Nabi: Zat yang mengharamkan meminumnya, mengharamkannya juga menjualnya. Lelaki: Bagaimana kalau saya hadiahkan raja kepada orang Yahudi? Nabi: Sesungguhnya Allah yang telah mengharamkan arak, mengharamkan juga untuk dihadiahkan kepada orang Yahudi. Lelaki: Habis, apa yang harus saya perbuat? Nabi: Tuang saja di dalam parit air. (Al-Humaidi dalam musnadnya) Justeru, kita dapat melihat bahawa benda yang haram, maka haram juga dijualnya mahupun dihadiahkan. Dalam hal menjual bunga, ia juga boleh menjadi syubhah di hari Valentine seperti ini, kerana diketahui ianya dibeli khas untuk mearikan Valentine yang haram. Seperti juga hokum menjual anggur kepada tukang buat arak yang telah diketahui. Ia tidak dibenarkan dalam Islam menurut pendapat yang terkuat. 7) Dilarang juga saling mengirim ucapan bersempena hari ini. Sekian Ust Zaharuddin 26 Muharram 1428 = 14 Feb 2007 (DISIARKAN SEMULA DI MUKA HADAPAN WEB PADA 12 FEB 2009 ) Last update: 12-02-2009 09:06

2/12/2009

Kemelut politik mengaburi isu kenaikan harga barang keperluan

BELUM selesai kemelut politik di Perak, kita dikejutkan pula dengan dua pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi iaitu di Bukit Gantang, Perak dan di Bukit Selambau, Kedah. Nampaknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, orang Melayu tidak habis-habis bercakap soal politik; daripada soal siapa calon paling layak memimpin negara dan penduduk setempat, isu pengundi hantu, pengundi atas pagar dan sampailah kepada lompat parti. Orang Melayu sekarang sudah tidak kisah lagi soal harga gula akan naik atau tidak, kita cukup beras atau tidak, kita perlu tanam sayur sendiri atau tidak untuk mengekang tekanan ekonomi. Orang Melayu juga sudah lupa bahaya denggi, serangan chikungunya dan soal mat rempit yang tidak pernah selesai di jalan raya. Orang Melayu juga tidak bercakap lagi soal pekerja asing yang masih tidak ditangani dengan serius. Orang Melayu membiarkan saja mereka bekerja dengan tidak berusaha mengambil alih tempat mereka hanya kerana sibuk bercakap soal politik. Sebaliknya, orang Melayu sanggup berjam-jam duduk di kedai kopi berbual mengenai soal peralihan kuasa, demonstrasi, demokrasi, Perlembagaan, penderhakaan dan sebagainya. Menariknya, akhbar harian dan mingguan sangat laris sehingga yang tidak pernah membeli akhbar pun membelinya. Yang memboikot akhbar arus perdana pula tidak pernah lepas daripada membeli akhbar yang mutlak politik sehingga anak mereka pun tidak tahu hendak tulis karangan di sekolah kerana isu politik saja yang ada di dalam akhbar berkenaan. Itulah antara senario politik orang Melayu sudah hampir setahun lamanya. Dari satu sudut, memang kita nampak orang Melayu sayang atau cintakan negarasampai sanggup berarak dan berkumpul di sana-sini mempertahan pemimpin mereka. Malah, jika ada yang tersilap membuat kenyataan atau tindakan yang nampak menyakiti mana-mana pihak, ada yang hendak mengheretnya ke mahkamah. Kita tidak nafikan setiap bangsa sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup membela dan mempertahannya. Namun, lebih baik jika kita yang hidup masyarakat majmuk ini bersatu-padu ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. Lebih baik orang Melayu terus menjalankan kewajipan mereka dalam kerja seharian. Pelajar yang berhasrat untuk menyertai sebarang perarakan protes, elok batalkan saja niat mereka. Kasih sayang dan cinta kita kepada negara tidak semestinya diukur daripada berapa banyak demonstrasi yang kita lakukan dan berapa jumlah yang terbabit dalam demonstrasi atau berapa lama mampu menjerit di tengah kesibukan orang ramai, tetapi ia diukur daripada rasa hormat dan kerjasama dalam memajukan negara. Saya masih teringat kata-kata seorang penulis yang membuat analisis selepas keputusan pilihan raya umum lalu bahawa orang Melayu sibuk mengumpul pengikut untuk berarak di jalanan, tetapi orang lain membentuk kumpulan untuk mengukuhkan parti. Jika kita terus-menerus mengamalkan sikap suka menghentam, maka dalam setiap perhimpunan dan perarakan di jalan raya, itulah yang menjadi api kepada setiap persengketaan. M JASNI MAJED, Bukit Kapar, Selangor. Berita Harian Online 12/02/2009

2/09/2009

Apakah Hukum Lompat Parti dan ‘Double Standard' Berkenaannya ?

Cukup hangat perkembangan politik tanahair. Pihak media tentunya yang paling gembira kerana jualan mereka meningkat, bagi media elektronik pula, lawatan meningkat. Dalam artikel ringkas ini saya ingin mengajak kita sama-sama berfikir beberapa perkara yang melibatkan perkembangan politik di dalam negara dari perspektif sedikit akademik dan keagamaan. Bukan dari semua sudut tetapi dari beberapa sudut daripada pelbagai sudut sahaja. Namun demikian, artikel ini mungkin kurang selesa dibaca oleh orang bukan Islam kerana ia meninjau dari perspektif Islam. SEKITAR ISU LOMPAT PARTI Ini isu pertama yang patut kita fikirkan. Isu ini sangat hangat diperkatakan sejak dimulakan oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim menjelang 16 September 2008, dan kemudiannya 24 Sept 2008 dan terus tertangguh. Reaksi rakyat adalah pelbagai menjelang 16 September 2008 yang lalu, ada yang : - · mencela ‘lompat' sebagai keji, tidak bermoral dan khianati pengundi · tidak bersetuju tetapi tidak begitu membantah, · ada yang tidak bersetuju tetapi menyerahkan kepada keadaan · ada yang bersetuju, tetapi kurang selesa, · ada yang sangat setuju, · ada yang masih konfius dan mengikut keputusan pimpinan masing-masing tanpa berfikir · dan macam-macam kelompok lagi. Apa sebenarnya pendirian anda dan mengapa anda berpendirian begitu? Kebiasaannya, pihak yang mendapat manfaat beserta penyokongnya akan bersetuju dan mempertahankannya. Namun demikian tidak dinafikan ada sebahagian penyokong dan pendokongnya yang termasuk dalam salah satu kelompok di atas tadi. Pihak yang akan menerima kesan negatif pula kebiasaannya akan menentang habis-habisan. Namun ada juga penyokong dan pendokongnya dari kelompok di atas juga. Sebelum kita berbincang lagi berkenaan pendirian wajar atau tidak. Ditaqdirkan Allah swt, tarikh 16 dan 24 September 2008 menemui kegagalan secara fizikalnya, namun justifikasi segera pemimpin PR mengatakan mereka tidak gagal malah berjaya iaitu menembus minda rakyat untuk terbayang kerajaan persekutuan boleh berpindah tangan. Tidak mustahil atau paling kurang memberikan sedikit ‘feel'. Sama ada justifikasi ini rasional, bertaraf tadika atau bertaraf dunia, terpulang kepada anda semua untuk menentukan. Ia bukan tujuan artikel ini ditulis. Apa yang berlaku tiba-tiba adalah pada awal bulan Februari 2009, beberapa orang ADUN Pakatan Rakyat Negeri Perak pula melompat parti sehingga membawa kekecohan yang masih panas hingga ke hari ini. Majoriti kelompok pendokong dan penyokong Pakatan Rakat tentunya berang bukan main, dan seribu satu macam hujah dan rasional dihamburkan bagi mengecam tindakan keempat-empat ADUN terbabit [ 3 PR + 1 UMNO (PKR) ] Hasil pembacaan saya di pelbagai media di internet termasuk pendapat perseorangan dari kem Pakatan Rakyat dan Kem BN, mendapati empat perkara kerap dan menarik iaitu : 1) Double Standard ; Pimpinan PR mengamalkan sikap ‘double standard' ; kerana bila dahulu dikempen dan diusahakan lompatan 16 September 08, dipersetujui mereka, namun bila berlaku di Perak, mereka kutuk dan kecam. Bermakna, lompat masuk PR adalah terpuji, tetapi lompat masuk BN adalah celaka dan khianat. Adakah wajar ? 2) Strategi makan tuan ; strategi menubuhkan kerajaan hasil ‘lompatan' YB yang dipopularkan oleh DSAI dikatakan makan tuan apabila isu di Perak berlaku. 3) Mandat pilihan patut diberikan semula kepada rakyat : iaitu bubar DUN dan pilihanraya semula di negeri Perak. Secara asasnya saya setuju dengan cadangan ini tetapi artikel ini hanya akan menyentuh sedikit sahaja berkenaan perkara ini. 4) Isu perlembagaan; Isu lompat bukan yang paling utama, tetapi isu utama adalah MB Perak tidak dijatuhkan melalui saluran undang-undang yang sah menurut perlembagaan. Sultan tiada kuasa eksekutif memecat Menteri Besar tetapi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah tempatnya melalui undi tidak percaya. Isu ini juga tidak saya tumpukan dalam artikel ini. Tengku Razaleigh Hamzah menjelaskan : The Constitution is the highest law of the land. It is the foundation and source of legal authority, and the Rulers are sworn to protect and uphold it. According to the Constitution, Dato' Seri Nizar Jamaluddin is Menteri Besar until he resigns of his own accord, or is removed by a vote of no-confidence in a formal sitting of the assembly. The Constitution makes no provision for his removal by any other means, including by petitions or instructions from any other authority. (sumber ) Apa yang dijelaskan oleh Tengku Razaleigh ii dipersetujui oleh Tun Dr Mahathir, Dato Zaid Ibrahim dan lain-lain. Namun, Ia adalah isu politik dan undang-undang dan saya tidak mengulasnya di sini. Saya hanya akan menyentuh isu pertama, kedua dan sedikit isu ketiga. Pandangan saya bukan mewakili pandangan ISLAM tetapi hanya ditulis dari kaeda-kaedah penentuan hukum dalam Islam sahaja. LOMPAT DAN ‘DOUBLE STANDARD' Justeru itu, apakah respon dari pihak PR berkenaan perkara pertama dan kedua ?. Apa pula agaknya pandangan Islam berkenaan hal lompat melompat parti ini?. Saya kira, tajuk ini layak dibuat kajian terperinci dalam tesis PhD atau M.A. Dari sudut Islam pula, Majlis Fatwa Kebangsaan wajar membincangkan dan menetapkan fatwa berkait hukum wakil rakyat melompat parti. Jika bimbang Majlis Fatwa tidak telus dalam hal ini, mungkin boleh diperolehi bantuan kepakaran dan ketelusan Majlis Ulama Indonesia. Majlis Syura PAS, ulama UMNO dan PKR turut wajar membincangkannya masing-masing. Oleh kerana saya belum menemui perbincangan mengenainya kecuali tulisan umum dan bersifat ‘surface', saya suka berkongsi beberapa perbincangan awal dan ringkas berkenaannya. Tulisan ini tentunya tidak lengkap dan sangat boleh diperdebatkan, tapi harapnya ia boleh dijadikan buah awal untuk perbincangan dan difikirkan bersama. Saya cuba bersikap berkecuali dalam tulisan ini selaku ahli akademik. KHIANAT ATAU TIDAK? Kesimpulan pendapat saya, terdapat beberapa jenis lompat yang wajar manakala terdapat pula yang amat tidak wajar. Ada yang sememangnya mengkhianati rakyat, manakala ada yang ada bersifat amanah kepada rakyat. Tidak wajar untuk dipukul rata dengan mengatakan, semua lompat adalah baik, atau semua lompat adalah celaka, khianat lagi memalukan. Tidak wajar juga kita tentang semua jenis lompat, atau menolak semua jenisnya juga. Bagi saya, jika diguna pakai kaedah menentukan hukum dalam Islam, setiap satu tindakan adakalanya bergantung kepada situasi dan keadaan semasa, ia berubah dari satu masa ke satu masa, satu keadaan kepada keadaan yang lain. Satu orang kepada satu orang yang lain. Dalam Islam, bukan semua jenis ‘double standard' adalah SALAH tetapi adakalanya ia adalah keperluan. Contoh mudah Islam melarang penganutnya murtad, tetapi Islam menggalakkan penganutnya berdakwah kepada penganut agama lain untuk memasuki Islam bererti keluar dari agama mereka. Bukankah nanti ada yang mengatakan mengapa ‘double standard'? keluar agama lain masuk Islam kamu setuju, tapi keluar Islam masuk agama lain tidak setuju.! Jawapnya memang ada double standard tetapi ia dari jenis double standard yang dituntut dan berasas dari Al-Quran dan Al-Hadis. MARI LIHAT BEBERAPA DALIL Telah saya nyatakan sebelum ini, terlalu banyak hujah dan dalil jika ingin dikemukakan, dan banyak pula bantahan dalil dan hujah, tetapi tulisan ini tidak akan menghurai semuanya, ia hanya pembuka minda dan jalan berbincang agar jelas di mana letak duduknya isu ini jika kita cuba melihat dari perspektif hukum Islam. Berikut adalah dalil ringkas dari kesimpulan saya di atas :- 1) Satu ayat Al-Quran, firman Allah swt berkenaan arak : يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا Erti : Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.. ( Al-Baqarah : 219 ) Dari ayat ini jelas Islam sentiasa mengajar kita untuk memperhati hasil kesan baik dan buruk dari sesuatu perkara. Neraca kebaikan dan keburukan pula disandarkan kepada kandungan Al-Quran serta Al-Hadis, bukan hawa nafsu. Dengan cara ini, kita boleh mengenalpasti hukum atau pendirian Islam terhadap sesuatu tindakan termasuk tindakan melompat parti. Ringkasnya, jika sabit bahawa melompat membawa lebih kepada nilai kebaikan dan mendekatkan kepada ketaatan kepada Allah swt. Ia dikira wajar dibuat, namun jika lompatan membawa kepada parti yang jauh dari Allah swt maka ia TIDAK WAJAR. Ia memang double standard tetapi ia dari jenis yang dibenarkan. Saya faham, untuk mengenalpasti kebaikan dan keburukan adalah terlalu subjektif tetapi kunci mulanya adalah dengan menyandarkan kepada dua rujukan utama tadi dan disusuli dengan penilaian aqal masing-masing. Namun demikian, ayat ini sahaja tidak akan mencukupi untuk menentukan keputusan berkenaan hukum lompat. Ia cuma salah satu dari kumpulan hujah yang perlu dilihat sekali. 2) Firman Allah swt :- فَفِرُّوا إِلَى اللَّهِ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ Ertinya : Maka segeralah kembali kepada (mentaati) Allah. Sesungguhnya aku seorang pemberi peringatan yang nyata dari Allah untukmu. ( Az-Zariyat : 51) Ayat ini jelas menyuruh sesiapa jua agar berhijrah atau melompat dari yang menderhakai Allah swt kepada apa jua cara dan jalan yang membolehkannya kembali mentaati Allah swt. Jika satu jalan kepadanya adalah dengan melompat parti, tentunya ia juga tergolong dalam ayat ini. 3) Sabda Nabi s.a.w المهاجر من هجر ما نهى الله عنه Erti : Seorang penghijrah itu adalah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah swt ( Riwayat Al-Bukhari) Asal hadis ini disebutkan oleh baginda Nabi s.a.w kepada kaum Muhajirin agar mereka tidak silap faham akan erti ‘Hijrah' hanyalah terhad kepada perpindahan dari Mekah ke Madinah, tetapi lebih jauh dari itu adalah meninggalkan segala maksiat kepada ketaatan. (Awnul Ma'bud, no 2481, hlm 128 ) Kaitan dengan isu lompat parti adalah, jika lompat adalah kepada ketaatan kepada Allah swt ia adalah tergolong dalam muhajir yang dimuliakan Islam. 4) Sebuah hadis :- إنما نهيتكم من أجل الدافة التي دفت فكلوا وتصدقوا وادخروا Ertinya : Sabda Baginda : Sesungguhnya aku dahulu melarang kamu dari menyimpan daging qurban disebabkan oleh daffah ( kumpulan pelawat Madinah yang memerlukan makanan), maka sekarang ini (di ketika tiada mereka yang memerlukan), bolehlah kamu makan daging itu, atau sedeqahkannya dan menyimpannya" ( Riwayat Al-Bukhari) Imam al-Qurtubi menyatakan kedatangan pelawat miskin yang memerlukan makanan di musim raya haji, mereka tiada punyai makanan kecuali mengharap daging sembelihan, maka di waktu ketiadaan keadaan ini, Nabi Muhammad s.a.w membenarkan simpan walaupun melebihi 3 hari. (Al-Jami' li ahkam al-Quran, 12/48 ) Kaitan dengan isu lompat adalah hukum melompat dari parti tertentu kepada yang lain turut mempunyai hukum berbeza, melihat kepada keadaan dan kebaikan parti-parti terbabit. Jelas dari hadis, menunjukkan sasaran Rasulullah s.a.w adalah membantu orang miskin, agihan makanan dengan sempurna dan mendekatkan diri kepada Allah swt. 5) Dan satu lagi hadis adalah : - فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba datang seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ya ( tiada masalah) ; kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata Aku tahu mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu) (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, namun hadisnya bertaraf Hasan namun sebahagian ahli hadis mengganggapnya dhoif) Pengajaran dari hadis ini adalah hukum yang disebut oleh Nabi s.a.w bukannya ‘double standard' tetapi ia adalah bergantung kepada keadaan orang yang bertanya dan Rasul s.a.w sendiri mengajar kita mengapa hukum berbeza, iaitu adakah ia menuju kepada sesuatu yang mendekatkan ketaatan kepada Allah swt dan menjauhkan diri dari maksiat. Sekali lagi kaitannya dengan isu lompat parti adalah hukum melompat berbeza antara satu parti dengan parti yang lain. 6) Satu kaedah fiqh menyebut :- لا ينكر تغير الأحكام بتغير الأزمان Erti : Tidak dapat disangkal bahawa beberapa jenis hukum berubah dengan perubahan masa (dan tempat). ( Majallah al-Ahkam Al-Adliyah) Ibn Qayyim dan Syeikh Dr. Mustafa Az-Zarqa berkata, para ulama mazhab telah sepakat akan kaedah ini dalam hal-hal hukum cabang dan ijtihad, adapun hukum asas dan prinsip umum Islam tidak boleh berubah. ( Ighathah al-Lahfan, 1/330 ; Majalah Al-Muslimun, hlm 553 ) Ibn Qayyim dalam kitabnya ‘ilam al-Muwaqqien menyatakan lima sebab hukum furu' boleh berubah iaitu :- · Tempat · Masa · ‘Uruf · Situasi atau keadaan · Niat Kaedah ini memberikan input kepada kita bahawa hukum lompatan boleh berbeza dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. ADAKAH YB KHIANAT UNDIAN RAKYAT APABILA MELOMPAT ? Tidak semestinya. Ini adalah isu yang kerap disebutkan termasuk oleh pelbagai tokoh agama di Malaysia. Bagi saya, ia boleh dilihat dari pelbagai bentuk; tidak boleh dipukul rata. Ia hanya menjadi khianat dan celaka apabila wakil rakyat ini melompat dari parti yang elok kepada yang tidak elok dan bukan sebaliknya. Mengapa? Sama seperti kes murtad tadi juga. Ia adalah double standard berasas. Bagaimana hak rakyat ? Terdapat dua perkara di sini : Pertama : Wakil Rakyat (YB) adalah wakil kepada rakyat dalam membuat sebarang keputusan yang terbaik untuk rakyat yang diwakilinya. Jika yang terbaik untuk rakyat adalah melompat maka mandat sebagai wakil rakyat (YB) tadi telah cukup untuk sang YB melompat demi melaksanakan tanggungjawabnya sebagai wakil kepada rakyat dengan lebih berkesan. Para pengundinya patut reda dan rela jika lompatan itu difikirkan oleh YBnya bakal membawa kebaikan buat rakyatnya bukan untuk diri YB. Kedua : Masalah sistem demokrasi ; Dalam Islam, sistem pemilihan demokrasi itu sendiri terdapat beberapa masalah, antaranya adalah membiarkan pemilihan pemimpin dibuat oleh semua jenis rakyat tanpa mengenal tahap kemampuan mereka dan baik buruk mereka. Ini adakalanya boleh membahayakan kerana jika orang tidak baik lebih ramai dalam kumpulan rakyatnya, maka pastinya orang tidak baik akan sentiasa menang kerana memilih sang tidak baik sebagai YB. Dalam Islam sistem asal pemilihan adalah majlis ahli al-hal wal al'qad ( kumpulan cerdik pandai, berpengalaman dan bertaqwa). Di zaman Khulafa ar-Rasyidin dahulu mereka digelar Majlis Syura. Majlis ini sepatutnya yang akan menentukan siapa khalifah seterusnya dan ia dianggotai oleh individu terbaik dalam Negara. Justeru itu, ketika ini kita sedang menggunapakai sistem demokrasi dan dalam masa yang sama cuba membawa cara Islam dalamnya. Atas asas itu, bagi saya adalah DIBENARKAN dan tidak dikira KHIANAT untuk sang YB melompat kepada parti yang lebih baik demi kebaikan rakyatnya. Dengan anggapan sang YB sepatutnya mempunyai kelayakan lebih baik dari kebanyakan rakyatnya. Namun, sekali lagi diingatkan kebaikan ditimbang atas asas Al-Quran dan As-Sunnah dan bukan atas asas kerakusan nafsu. Jika kedua-dua parti atau kumpulan, lebih kurang sahaja jauh dari Islamnya, maka pemilihan adalah atas dasar pilihan yang kurang mudarat. Berdasarkan kaedah : أخف الضررين Erti : Mengambil yang kurang mudarat. Tatkala itu, melompat kepada parti yang kurang mudarat adalah tergolong dalam hal ini. Adapun mana satu parti yang kurang mudarat atau lebih mudarat saya serahkan kepada penilaian anda sekalian. Tidak saya bincangkan di sini. Tidak dinafikan, secara realiti, masalah berlaku kerana rakyat TIDAK LAGI MEMILIH YBnya atas dasar kelayakan tetapi atas dasar parti. Ini menyebabkan terdapat ramai YB yang jauh kurang cerdik dari majoriti rakyat. Ketika itu, anda akan dapati kesukaran kerana YB akan melompat kepada parti yang jauh dari kebaikan. Lalu tatkala itu barulah PENGKHIANATAN boleh diperbincangkan. KESIMPULAN Bagi mengelak untuk menulis terlalu panjang dan membosankan pembaca, kesimpulan dari apa yang saya sebutkan di atas adalah :- Pendapat peribadi saya (bukan fatwa hukum), hukum melompat dan mengajak lompat kepada parti, berbeza dari satu keadaan kepada yang yang lain. Ia seperti berikut :- 1- MELOMPAT DAN MENGAJAK LOMPAT YANG DIBENARKAN Dibenarkan dalam beberapa keadaan antaranya :- · Untuk Kebaikan Rakyat : Melompat kerana kepentingan dan kebaikan rakyat, bukan hasil kerakusan mengaut imbuhan untuk diri atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan. · Membawa kepada taat Allah ; Jika menurut fakta, statistik dan pengalaman umum yang jelas bahawa sesebuah gabungan parti itu lebih membawa kepada pelbagai maksiat dan ketidakadilan manakala parti yang lain lagi membawa kepada lebih ketaaatan kepada Allah, lebih kebaikan dan kesaksamaan, maka ‘lompat' boleh menjadi HARUS malah mungkin ada ketikanya ia adalah sunat atau wajib. · Mengurangkan mudarat ; Jika kedua-dua parti adalah tidak baik, namun demikian satu darinya kurang mudarat dan tidak baiknya. Maka boleh malah wajar untuk lompat kepada yang kurang membawa mudarat untuk diri dan rakyatnya. · Tiada potensi mudarat lebih besar ; Telah ditinjau potensi bantahan rakyat tidak akan membawa mudarat yang lebih besar. Jika telah dikenalpasti rakyat terdiri dari mereka yang ganas dan boleh mencetus mudarat lebih besar akibat lompat. Maka lompatan wajar dijauhi. · Pilihanraya korup sepenuhnya atau sebahagian besarnya ; tatkala itu usaha mengajak lompat dibenarkan jika tiada cara untuk menang dalam pilihanraya biasa kerana korupsi amat dahsyat dan rasuah bermahajalela menyebabkan pilihanraya tidak adil sama sekali. · Pilihanraya dipelopori majoriti pengundi tidak baik ; Melompat dan mengajaknya dibenarkan apabila rakyat dikenalpasti majoriti terdiri dari orang yang sangat cenderung kepada kejahatan dan pastinya akan sentiasa memilih yang tidak baik sebagai wakil mereka. Justeru, bagi menyelamatkan Negara dan kebaikan rakyat sebegini, jemputan dan mengajak lompat adalah dibenarkan. 2- MELOMPAT YANG KHIANAT DAN TIDAK DIBENARKAN. Dilarang sama sekali apabila :- · Kerana manfaat diri sendiri ; Melompat kerana mendapatkan imbuhan untuk diri (seperti wang berjuta dan sebagainya) atau menyelamatkan diri dari tuduhan rasuah atau dakwaan kejahatan yang dilakukan oleh diri sendiri. Lalu kerusi wakil rakyat digadaikan. · Timbul mudarat lebih besar ; seperti pengundi memberontak dan punyai potensi berlaku pertumpahan darah dan sebagainya. · Pilihanraya semula lebih diredhai oleh semua ; ini dalam keadaan system pilihanraya masih boleh dipercayai dan pengundi bercampur antara yang suka kejahatan dan kebaikan. · Dari yang baik kepada tidak baik ; melompat dari kumpulan yang baik kepada yang tidak baik dan membawa semakin jauh dari ketaatan Allah. - Menuruti pandangan kumpulan pengundi tidak baik ; tunduk kepada permintaan pengundi tidak baik sehingga mengabaikan tuntutan pengundi baik dalam kawasannya. PENUTUP Akhir sekali, melalui artikel ini saya hanya menjelaskan kaedah atau menyediakan ‘tools' dalam penentuan sikap terhadap isu lompat parti dan ‘double standard' berkenaannya sahaja, keputusan mana satu parti yang lebih membawa manfaat dan kurang mudarat, terpulang kepada anda selaku pembaca untuk menilainya sendiri dari tulisan dan liputan berkenaan ahli-ahli politik semasa. Adapun dalam isu kerajaan Negeri Perak, saya lebih cenderung bersetuju jika pilihanraya di adakan semula kerana kerajaannya terlalu rapuh dengan jumlah BN dan PR yang sama, dengan 3 orang calon bebas. Bayangkan, amat kucar kacir dan menarikanya sejarah politik Malaysia jika tiba-tiba ada YB BN tiba-tiba melompat parti pula selepas ini. Menjadikan MB yang baru angkat sumpah terpaksa batal pula, sehingga terpaksa angkat sumpah MB baru lagi, tiba-tiba selepas sebulan, seorang YB dari Pakatan lompat kepada BN pula, maka terpaksa angkat sumpah lagi dan beterusan adegan ‘kartun' ini. Justeru, bukankah lebih dibubar sahaja.. Sekian, Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net 11 Safar 1430 H 7 Feb 2009 M Last update: 08-02-2009 00:25 Link asal - http://www.zaharuddin.net/content/view/800/72/

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...