8/31/2009

perihal selesema babi virus dan kiamat

- Link Asal => http://kadirjasin.blogspot.com/2009/08/perihal-selesema-babi-virus-dan-kiamat.html VIRUS adalah daripada bahasa Latin yang bermaksud racun atau toksin. Ia berupa agen jangkitan mikroskopik yang hanya boleh membiak dalam sel tuan rumah. Virus menjangkiti pelbagai organisma – manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bakteria dan organisma satu sel. Mengikut maklumat saintifik, sejak Martinus Willem Beijerinck, seorang ahli botani dan mikrobiologi Belanda, menemui sejenis virus yang menyerang pokok tembakau (maka diberi nama tobacco mosaic virus) pada tahun 1898, lebih 5,000 jenis virus telah dikenal pasti. Ahli sains sekata bahawa banyak lagi virus yang belum ditemui dan dikenal pasti. Maka kemungkinan kita dijangkiti salah satu atau beberapa daripada ribuan virus ini adalah sama pasti dengan kedatangan kiamat. Jadi kalau kita takut kepada virus sehingga memberi kesan kepada kehidupan harian kita, rasa-rasanya mustahil kita boleh hidup dan berfungsi dengan sempurna. Teringat saya kepada waktu saya budak-budak dulu bila buat beberapa ketika saya berasa tidak mahu bersekolah dan tidak mahu menternak ayam itik apabila saya menemani emak ke madrasah untuk mengaji agama. Saya begitu takut dan hilang keyakinan mendengar tok guru bercerita mengenai hari kiamat. Sebagai budak yang baru masuk sekolah, saya membuat kesimpulan apa gunanya bersekolah, bersawah, menternak ayam itik dan mendirikan rumah kalau semuanya akan dimusnahkan oleh kiamat. Alhamdulillah, kisah kiamat yang dipersembahkan dengan cara yang begitu menakutkan oleh tok guru itu dapat saya dalami dan rasionalisasikan kemudiannya. Kiamat pasti akan datang. Tetapi apa yang telah berlaku, yang membuatkan saya cukup positif dan yakin dengan kehidupan, adalah suka duka dijangkiti pelbagai virus dan kuman serta diserang bermacam-macam parasit daripada cacing kepada kutu, pijat, nyamuk dan tungau. Pada zaman kanak-kanak, saya diserang lelah, kudis buta, demam panas dan jangkitan berbagai-bagai jenis cacing sehingga perut saya buncit atau, dalam loghat Utara, boroi. Cacing keluar dari dubur dan kadangkala muntah pun keluar cacing! Maka selain daripada menjadi amat biasa dengan rawatan – daripada serapah jampi oleh dukun dan bomoh kepada suntikan oleh doktor – saya menjadi “philosophical” mengenai kehidupan, iaitu macam mana pun kita mencuba akhirnya alam semula jadi akan mengatasi daya usaha dan kepandaian kita. Kita tidak dapat lari daripada kuman dan virus kerana sesetengah daripadanya berada dalam badan kita daripada saat kita lahir hinggalah selepas kita mati. Organisma inilah yang menghadamkan makanan yang kita makan. Dan organisma ini jugalah yang akan mengitar semula jasad kita menjadi abu dan debu. Badan manusia menjadi tuan rumah kepada jutaan mikro organisma daripada lebih 400 spesies yang selalunya wujud dalam suasana harmoni dan sekali-sekala dalam suasana kacau-bilau. Purata hampir tiga paun berat badan manusia adalah dalam bentuk mikro organisma ini. Virus, kuman dan bakteria menjadi masalah apabila badan kita sendiri menjadi lemah kerana terlalu banyak makan bahan-bahan yang memudaratkan kesihatan seperti gula, lemak dan madat. Atau apabila kita mencemarkan persekitaran kita dengan kekotoran, racun dan kimia yang merosakkan bekalan air dan menipiskan lapisan ozon. Apabila badan kita lemah dan persekitaran kita kotor, maka virus dan pelbagai organisma mikro yang hidup dalam badan kita atau di sekeliling akan turut berubah (mutate) untuk melindungi diri mereka. Dalam proses mutasi ini, ada organisma mikro yang dulunya tidak berbahaya bertukar menjadi berbahaya dan yang tidak membunuh akan membunuh. Itulah yang terjadi dengan virus selesema babi apabila ia menjangkiti manusia dan berubah menjadi pembunuh. Al-Quran mengharamkan babi bukan kerana leher atau kakinya yang pendek. Atau wajahnya yang hodoh. Al-Quran mengharamkan babi kerana ia berupa haiwan yang menjadi tuan rumah paling subur bagi pelbagai jenis virus dan bakteria. Oleh sebab babi mudah dijangkiti kuman dan virus, ahli sains dan penyelidik kerap menggunakan babi sebagai platform ujian dan tempat menyemai serta menghasilkan pelbagai serum dan antibiotik. Sekarang lebih ramai menggunakan lembu sebagai platform kerana isu haram dan halal. Jadi, dalam konteks perancangan masa depan dan pengawalan virus, eloklah difikirkan semula kearifan (wisdom) menggalakkan pemeliharaan babi. Serentak itu kita memesatkan kawalan ke atas kesihatan haiwan ternakan agar virus haiwan tidak “melompat” dan menjangkiti manusia dan merebak dari manusia ke manusia seperti yang berlaku dengan selesema babi dan tidak lama dulu, selesema burung (avian flu). Selain babi peliharaan, kini babi hutan mula menjadi masalah besar di kampung-kampung dan ladang berhampiran hutan. Beberapa persoalan mengenai selesema babi yang kini menjadi wabak global:- 1. Adakah angka jangkitan dan kematian yang nampak tinggi di Malaysia berpunca daripada kelemahan sistem kesihatan, perubatan dan kawalan penyakit? 2. Adakah sistem kesihatan dan perubatan kita masih tidak belajar daripada wabak-wabak yang dibawa oleh haiwan yang berlaku dan meragut nyawa sebelum ini seperti selesema burung dan Virus Nipah yang juga dibawa oleh babi? 3. Adakah benar negara-negara jiran mengalami jangkitan dan kematian yang lebih rendah atau mereka tidak menghebahkan atau menghebohkan angka sebenar? 4. Adakah kerana gaya hidup, amalan pemakanan dan pendedahan kita kepada perubatan moden, khasnya penggunaan antibiotik, maka kekebalan (immunity) kita kepada penyakit telah menurun? 5. Adakah tahap kesihatan asas penduduk Malaysia begitu rendah sehingga mudah dijangkiti oleh virus H1N1 dan banyak yang mati akibatnya? 6. Dan akhir sekali, adakah kita tidak mengambil berat soal kebersihan, kesihatan dan rawatan?

Salam Kemerdekaan

Kepada Semua Pengunjung Blog ini dan seluruh warga Malaysia yang bertuah. Salam kemerdekaan diucapkan kepada anda semua..diam tak diam dah 52 tahun usia kemerdekaan negara kita.. Apakah makna kemerdekaan secara individu kepada kita semua? Adakah merdeka dari tangan penjajahan semata-mata? Atau bebas dari diperintah oleh Mat Putih atau Mat Jepun semata-mata? Merdeka Politik? Merdeka Ekonomi? Merdeka Pendidikan? Merdeka Sosial? Merdeka Kesihatan? Merdeka dari Peperangan/rusuhan kaum/konflik agama? Merdeka Batin/Minda? Merdeka Kemudahan Asas/Prasarana wajib? Merdeka hanya slogan laungan pada bulan kemerdekaan sahaja? Merdeka apa yang sebenarnya setiap kita sebagai individu mahukan? Tanyalah diri sendiri..kerana jawapannya hanya kita sendiri yang mengetahuinya... SALAM KEMERDEKAAN YANG KE 52 KEPADA ANDA SEMUA..

8/26/2009

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir

Isu Sebat : Jawapan Kepada Tun Dr Mahathir Oleh Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata : "Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama? Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan." Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya. ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu. Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :- * Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak). * Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali. * 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak) * Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk. (Source: British Crime Survey 2007/08) Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber ) Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu. Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan. Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk) Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas. Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini. Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?. Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak. HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w ما أسكر كثيره فقليله حرام Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih ) Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain. Firman Allah swt : يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا "Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219) Lagi Allah menegaskan :- يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90) Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk. Kerana itu nabi menyebut :- الخمر أم الخبائث Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854) Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas. HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :- 1) Hadis Nabi : إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud) 2. Hadis Nabi : أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1] 3. Hadis Nabi كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2] 4. Hadis Nabi :- أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4] 5. Athar sahabat قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5] 6. Hadis Nabi أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6] Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44) Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran. PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :- 1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir. Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud. Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak. Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :- a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya. b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud. c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya. Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam. 2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan. Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :- Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan. Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud. BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT? Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia. Jika Hudud Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu. Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum. Jika Ta'zir Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie. Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini. SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL? Pertama Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tiada layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menysatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebagai yang lain. Kerana Apa adil?? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia. Individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri. Kedua Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kashian dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul. Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :- · Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10] · Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja. · Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dam pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan. · Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan. · Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk. Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah. Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu. Ketiga Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?. Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah yang reda dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya. Keempat Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?. Kelima Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.? KESIMPULAN Sebagai kesimpulan kepada beberapa persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir, DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih. DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah? Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim. DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim? Ini saya tidak pasti, tetapi sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semau hukum Islam sepatutnya dikanunkan. Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi. DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama? Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir. DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai? Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas. DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan. Boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika nak lihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham. AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI. Gambar : Kitab Fathul Bari Syarah Sohih al-Bukhari, Karangan Imam Ibn HajarAl-Asqolani. Semoga beroleh manfaat, sekian Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net 5 Ramadhan 1430 H 26 Ogos 2009

8/14/2009

H1N1 konspirasi kapitalis buat duit

Hishamuddin Rais - http://www.malaysiakini.com/news/110426 Ogos 12, 09 5:29pm Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar. Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub". Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir. Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu. Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung. Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya. Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia. Apa sebenarnya semua fenomena ini? Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja. Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan. Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan: - Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat, - Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial, - Melahirkan musuh sebagai strategi politik. Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis. Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia. Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini. Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia. Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger: "There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability. International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem. The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group." Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini. Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat. Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat. Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar. Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis. Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal. Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini. Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan: 1 – mengurangkan penduduk dunia, dan 2 – menjual ubatan. Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu. Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal. DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong! Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia. DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi. Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika. Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat. Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul. Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom. Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit. Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini. Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan. Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains. Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger. Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku. Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah. Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka. Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam. Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal. Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu. Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca. Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet. Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis. Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian. Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap. Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung. Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan. Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya. Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

8/01/2009

Nasib Melayu di bumi Melayu

ARKIB : 26/07/2009 - Utusan Melayu Online Saya tidak menafikan bahawa kematian Teoh Beng Hock perlukan kepada pembelaan. Saya amat mengalu-alukan keputusan Kabinet untuk menubuhkan satu inkues dan Suruhanjaya Bebas Diraja untuk menyiasat dan menentukan punca kematian Beng Hock. Siasatan yang telus dan rapi mesti dijalankan tanpa rasa takut agar dapat memuaskan hati semua pihak, apatah lagi pihak keluarga dan parti pembangkang yang begitu bersungguh-sungguh dalam isu ini. Namun, saya merayu, semua parti berkepentingan, supaya bersabar menunggu sehingga siasatan selesaikan dijalankan. Di kala itu, kita akan mengetahui apa yang benar, apa yang salah dan siapa yang benar dan siapa yang salah. Selepas itu juga, kita boleh bercakap dan berkokok berpuas-puasnya mengenai perkara ini. Hukumlah mereka yang bersalah, tetapi jangan jadi Tuhan sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Saya amat takut politik mahukan jadi Tuhan yakni dengan membuat andaian pelik-pelik, yang mana hanya Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui sebelum sesuatu perkara dibuktikan. Dalam menganalisis isu ini, saya teramat hairan kenapa tiga parti politik Cina, MCA, Gerakan dan DAP, serta parti pembangkang Melayu yang lain begitu bersungguh-sungguh membuat pelbagai andaian dengan menuding jari kepada pihak-pihak tertentu, tanpa menunggu keputusan siasatan. Saya tidak menafikan ada yang tidak kena dengan cara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes ini. Namun, tindakan menuding hari ini seolah-olah memperlihatkan mereka mahu memenangi hati orang Cina, demi kepentingan politik. Lebih-lebih lagi parti-parti komponen seperti Gerakan dan MCA yang telah mula hilang kepercayaan orang Cina. Ketua Wanita MCA mengeluarkan kenyataan lebih ekstrem mendesak Menteri Dalam Negeri supaya anak yang dikandung oleh teman wanita Beng Hock diletakkan status anak sah taraf dan bukan anak luar nikah. Sedangkan kita semua tahu bahawa mereka belum berkahwin secara rasmi atau telah bersekedudukan tanpa nikah. Bermakna, anak itu tetap anak zina atau anak luar nikah (anak tidak sah taraf). Berapa ramai lagi anak luar nikah yang ingin kita sahkan hasil daripada hubungan luar nikah ini. Sedarkah Ketua Wanita MCA betapa ramai gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi mangsa (bersekedudukan dengan pasangan Islam atau bukan Islam, sama ada secara paksa atau sukarela) melahirkan anak luar nikah tanpa dibinkan kepada bapa mereka? Kenapa MCA tidak memperjuangkan nasib mereka? Kenapa MCA tidak pergi berjumpa Menteri Dalam Negeri untuk mengesahkan semua hubungan sumbang ini? Apa pun jua punca kematian Beng Hock, hubungan yang haram tetap haram, ia tidak boleh disahkan, hanya kerana insiden ini. Jika ditakdirkan Gautama Buddha (juga Konfusius dan Lao Tzu) masih hidup, sudah tentu tindakan Ketua Wanita MCA ini akan dicela kerana ajaran Buddha (juga agama lain, terutama agama Islam) mengharamkan sama sekali perbuatan berkesedudukan (zina) tanpa nikah, apatah lagi sehingga melahirkan anak luar nikah. Saya amat mengharapkan parti-parti politik Cina bertindak waras dan jangan terlalu ekstrem. Fikirkanlah hati orang lain jua bila mengeluarkan sesuatu kenyataan, terutama orang Melayu. Orang Melayu tidak kurang yang menjadi mangsa seperti Beng Hock. Persoalannya, berapa ramai di kalangan kita yang bangun membela mangsa tersebut? Kenapa bila seorang Cina meninggal dunia (kita masih belum mendapat puncanya), Malaysia seolah-olah seperti macam nak kiamat atau dilanda tsunami. Saya juga amat bersimpati dengan Beng Hock, tetapi beliau sudah ditakdirkan meninggal dunia dalam keadaan sedemikian. Mesti ada hikmah di sebaliknya. Tidak bolehkah kita tunggu hingga siasatan selesai. Saya ingin bertanya kepada parti-parti politik Cina, akhbar-akhbar Cina dan parti-parti politik pembangkang Melayu, sejauhmanakah pembelaan dibuat sekiranya ia berlaku di kalangan orang Melayu? Misalnya, pembunuhan gadis model Mustakizah Jaafar pada 14 November 1998. Berapa ramai yang bersungguh-sungguh menunjukkan belang mereka. Apakah MCA, Gerakan dan DAP begitu bersungguh-sungguh menunjukkan pembelaan terhadap Mustakizah? Berapa ramai yang tampil berdemonstrasi dan menyerahkan memo bantahan atau mendesak supaya suruhanjaya diraja ditubuhkan. Adakah MCA, Gerakan dan DAP begitu terkehadapan dalam isu ini? Begitu juga dengan Pas dan PKR (belum wujud lagi), adakah mereka begitu bersungguh-sungguh dalam mempertahankan nasib Mustakizah? Sehingga kini, kes kematian Mustakizah masih lagi menjadi misteri. Saya masih ingat pada November 2005, kononnya tahanan warga China telah dipaksa berbogel dan ketuk ketampi oleh seorang anggota polis wanita semasa dalam tahanan. Aksi tersebut telah dirakam dan gambarnya menghiasi dada-dada akhbar tempatan terutamanya akhbar berbahasa Cina. Dengan rasa bersalah yang teramat sangat, walaupun belum dibuktikan, kerajaan ketika itu telah mengarahkan Menteri Dalam Negeri, untuk segera terbang ke China bagi menjelaskan sebarang kekeliruan yang mungkin timbul akibat daripada kejadian tersebut. Semua ini hasil desakan dan tindakan ekstrem MCA, Gerakan dan DAP, termasuk akhbar-akhbar Cina, serta tidak ketinggalan parti-parti pembangkang. Setelah siasatan dijalankan, ternyata gadis yang dipaksa berbogel itu bukan warga China tetapi seorang gadis Melayu. Malang sungguh menjadi orang Melayu, selepas itu, kes ini tidak lagi dibincangkan, malah menjadi senyap dan tidak dibahaskan lagi di dada-dada akhbar, terutama akhbar Cina. Apa yang saya maksud di sini ialah bila sesuatu kejadian yang menimpa orang Melayu, tidak ramai yang berasa sensitif tetapi bila orang lain terutamanya (Cina dan India), seolah-olah hari sudah hampir kiamat seperti tidak ada isu lain yang hendak dibincangkan lagi. Kita jarang berpolitik untuk mempertahankan apa yang benar dan apakah yang salah? Tetapi kita lebih banyak berpolitik dengan politik yang merugikan iaitu menuding jari untuk melihat siapakah yang menang (benar), siapakah yang kalah (salah). Politik hanya untuk mencari keuntungan politik atau mendapat undi politik, sedangkan maruah agama dan bangsa tergadai. Berbaloikah dengan berpolitik sebegini? Sedangkan orang lain sentiasa mengambil kesempatan hasil dari kelemahan kita? Kita juga jarang berpolitik melihat kepentingan semua kaum, tetapi berpolitik secara sempit mempertahankan kaum sendiri sehingga hilang rasional akal. Tujuannya tidak lain, untuk mempertahankan kuasa dan memancing undi. Masing-masing mahu menjadi jaguh kaum, dengan mengenepikan kepentingan umum. Berapa banyak surau dan masjid dirobohkan untuk tujuan pembangunan? Berapa ramai bukan Islam tampil mempertahankannya? Orang Islam masih boleh menerimanya. Itulah sikap toleransi yang amat saya kagumi. Tetapi bila ada satu kuil atau tokong dirobohkan bagi tujuan pembangunan, satu Malaysia bagaikan nak ribut dan kelam-kabut seolah-olah telah berlaku penganiayaan terhadap orang bukan Islam. Malaysia diperlihatkan tidak mengamalkan kebebasan beragama. Macam-macam tuduhan dibuat, tidak cukup dalam negeri, dibawa sama keluar negeri untuk menagih simpati dan memburuk-buruk tanahair sendiri. Berbaloikah? Sedangkan kita semua sedia maklum bahawa rumah ibadat orang bukan Islam (Hindu, Buddha dan Kristian) melebihi berkali-kali ganda daripada jumlah masjid dan surau. Jumlah kuil Hindu sahaja sudah melebihi masjid dan surau, apatah lagi jika dicampurkan dengan rumah ibadat agama Buddha dan Kristian dan lain-lain. Sedangkan semua sedia maklum bahawa orang Islam adalah penduduk majoriti dan agama Islam adalah agama rasmi negara ini. Logik Dari segi logik dan rasionalnya, sudah tentu kita mahu melihat bilangan surau dan masjid melebihi rumah ibarat yang lain, dengan mengambil kira sejarah dan keistimewaan Islam (Melayu) seperti yang termaktub dalam perlembagaan. Tetapi adakah ia berlaku? Jawapannya, tidak. Realiti yang jelas adalah, kita mempunyai patung yang tertinggi dan terbesar di dunia, walaupun penduduknya hanya berjumlah lebih kurang 10 peratus. Beginilah nasib Melayu di bumi Melayu. Terlalu menjaga hati orang, sehingga hati sendiri terguris tiada siapa yang tahu atau mungkin orang lain tak ingin ambil tahu, sebab tidak berkaitan atau tidak menguntungkan. Saya juga teramat ingin mendengar kenyataan daripada orang bukan Melayu (parti politik Cina dan India) tentang pembelaan nasib umat Islam Cina Uighur yang dibunuh secara terancang oleh kerajaan China. Kenapa mereka tidak bersuara menentang tindakan ganas ini? Hanya kerana orang Cina itu beragama Islam, maka ia menjadi senyap. Bayangkanlah kalau yang terlibat itu adalah Cina yang tidak Islam, sudah tentu mereka akan melompat-lompat. Begitu juga isu apabila adalah orang Cina/India yang bertindak keluar daripada Islam yakni Murtad atau orang Melayu murtad, berapa ramai bukan Melayu yang tampil ke hadapan memberitahu mereka supaya janganlah murtad. Berapa ramai kalangan mereka yang memujuk mereka yang mahu murtad agar jangan murtad, hormatilah agama Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan jagalah hati orang Melayu Islam. Apa yang selalu kita dengar ialah mereka akan mengapi-apikan lagi mereka yang ingin murtad untuk terus murtad dan mempertahankannya bermati-matian setelah mereka murtad. Mereka mengatakan ini adalah hak asasi manusia. Tetapi bila mana tiba isu berkaitan Islam, maka semua hak asasi itu hilang entah ke mana. Yang dicari hanya ketidakadilan Islam, ketidakadilan mahkamah syariah dan bermacam-macam lagi. Ini tidak termasuk lagi isu perebutan mayat saudara baru yang meninggal. Apa yang saya tahu, kita selalu mengalah berhadapan dengan golongan ekstrem ini. Paling menyedihkan, mereka langsung tidak bersyukur apabila kita beralah. Tetapi apabila mereka tidak mendapat apa yang mereka hajatkan, setelah undang-undang menyebelahi kita, maka kita (agama Islam dan mahkamah syariah) akan dikecam habis-habisan. Justeru, sudah sampainya kita berpolitik secara matang dengan meletakkan kepentingan semua kaum di hadapan bertunjangkan kepada perlembagaan, berbanding politik etnik (kaum) yang sempit. Dalam isu Beng Hock ini, bersabar dan tunggulah sehingga siasatan selesai. Jangan membuat andaian dan mengapi-apikan isu ini, kerana ia tidak menguntungkan sesiapa. Yang pergi tetap telah pergi, hidup ini perlu diteruskan. Jadikanlah ia sebagai suatu ikhtibar untuk kita menerokai atau berpolitik dengan lebih baik seperti mana Allah SWT berfirman dalam al-Quran, jadikanlah sesuatu kejadian yang berlaku sebagai pengajaran, wahai orang-orang yang mempunyai pandangan. Hantar komen anda mengenai artikel ini ke mingguan@utusan.com.my Dr. Mohd Ridhuan Tee Penulis ialah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...