12/13/2007

Polis serbu 2 pejabat pemimpin Hindraf (Utusan Malaysia 13.12.2007)

Oleh Ahmad Naim Tahir, Hardi Effendi Yaacob dan Nurhayati Abllah KUALA LUMPUR: Polis menyerbu dua pejabat firma guaman milik Penasihat Perundangan Barisan Bertindak Hak Hak Hindu (Hindraf), P Uthayakumar, di Seremban, Negeri Sembilan dan Bangsar di sini, semalam. Dalam serbuan di firma guaman Kumar Hashimah & Co itu, polis merampas beberapa dokumen dan set komputer serta membuat salinan semua maklumat dalam komputer peribadi Uthayakumar bagi membantu siasatan terhadapnya mengikut Akta Hasutan 1948. Di SEREMBAN, sepasukan lapan anggota berpakaian preman dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, menyerbu pejabat Uthayakumar di Kemayan Square, yang turut dijadikan pejabat Pengerusi Hindraf, P Waythamoorthy, kira-kira jam 2.30 petang. Serbuan itu dilakukan selepas polis menerima waran yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Seremban. Pasukan itu dilihat meninggalkan premis berkenaan, kira-kira sejam setengah kemudian dengan membawa sebuah beg hitam dan satu komputer riba, unit pemprosesan berpusat (CPU), modem USB dan kad sim telefon bimbit Celcom, dipercayai milik Waythamoorthy dan isterinya, yang juga peguam di firma berkenaan. Bagaimanapun, Waythamoorthy yang juga adik Uthayakumar, tidak ada di premis berkenaan, dipercayai ke luar negara. Sementara itu, satu lagi pasukan yang diketuai Asisten Superintendan Redzaime Abdul Hamid dari IPD Dang Wangi, menyerbu firma guaman Uthayakumar di Aras 9, Menara Mutiara Bangsar pada jam 3 petang. Khidmat Unit Forensik Siber dari Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Cheras turut membantu dalam usaha mendapatkan maklumat yang terkandung dalam komputer dan peralatan elektronik lain di premis berkenaan. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, ketika dihubungi berkata prosedur itu memang biasa dilakukan bagi membantu siasatan terhadap peguam berkenaan. Kita melakukan serbuan ini untuk mencari sebarang dokumen atau maklumat berkaitan inti pati ucapannya dalam bahasa Tamil di sebuah restoran di Batang Berjuntai sebelum ini, yang didapati berbau hasutan dan boleh menimbulkan ketegangan. Ia bagi membantu siasatan yang dijalankan terhadapnya mengikut Akta Hasutan 1948 ketika ini, katanya. Kelmarin, Uthayakumar, 46, ditahan sebelum didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menerbitkan surat berunsur hasutan yang dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, menerusi laman web http://policewatchmalaysia.com pada 15 November lalu. Dalam surat berkenaan, Uthayakumar mendakwa Kerajaan Malaysia yang disokong kumpulan pelampau Islam sedang melakukan pembersihan etnik terhadap kaum India di negara ini, selain meminta campur tangan Mahkamah Dunia dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dalam menangani isu berkenaan. Mengikut pertuduhan itu, surat berkenaan mengandungi ayat yang mempunyai kecenderungan menghasut dan tertuduh didakwa mengikut Subsekyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) yang boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama. Uthayakumar mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan selama lima hari bermula 7 Januari depan. Bagaimanapun, dia ditahan semula selepas membayar wang jaminan itu sebelum dibebaskan dari Lokap Polis Kuala Lumpur, Jalan Hang Tuah, kira-kira jam 5 petang semalam.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...