2/12/2009

Kemelut politik mengaburi isu kenaikan harga barang keperluan

BELUM selesai kemelut politik di Perak, kita dikejutkan pula dengan dua pilihan raya kecil yang akan diadakan tidak lama lagi iaitu di Bukit Gantang, Perak dan di Bukit Selambau, Kedah. Nampaknya selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu, orang Melayu tidak habis-habis bercakap soal politik; daripada soal siapa calon paling layak memimpin negara dan penduduk setempat, isu pengundi hantu, pengundi atas pagar dan sampailah kepada lompat parti. Orang Melayu sekarang sudah tidak kisah lagi soal harga gula akan naik atau tidak, kita cukup beras atau tidak, kita perlu tanam sayur sendiri atau tidak untuk mengekang tekanan ekonomi. Orang Melayu juga sudah lupa bahaya denggi, serangan chikungunya dan soal mat rempit yang tidak pernah selesai di jalan raya. Orang Melayu juga tidak bercakap lagi soal pekerja asing yang masih tidak ditangani dengan serius. Orang Melayu membiarkan saja mereka bekerja dengan tidak berusaha mengambil alih tempat mereka hanya kerana sibuk bercakap soal politik. Sebaliknya, orang Melayu sanggup berjam-jam duduk di kedai kopi berbual mengenai soal peralihan kuasa, demonstrasi, demokrasi, Perlembagaan, penderhakaan dan sebagainya. Menariknya, akhbar harian dan mingguan sangat laris sehingga yang tidak pernah membeli akhbar pun membelinya. Yang memboikot akhbar arus perdana pula tidak pernah lepas daripada membeli akhbar yang mutlak politik sehingga anak mereka pun tidak tahu hendak tulis karangan di sekolah kerana isu politik saja yang ada di dalam akhbar berkenaan. Itulah antara senario politik orang Melayu sudah hampir setahun lamanya. Dari satu sudut, memang kita nampak orang Melayu sayang atau cintakan negarasampai sanggup berarak dan berkumpul di sana-sini mempertahan pemimpin mereka. Malah, jika ada yang tersilap membuat kenyataan atau tindakan yang nampak menyakiti mana-mana pihak, ada yang hendak mengheretnya ke mahkamah. Kita tidak nafikan setiap bangsa sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup membela dan mempertahannya. Namun, lebih baik jika kita yang hidup masyarakat majmuk ini bersatu-padu ke arah mencapai matlamat Wawasan 2020. Lebih baik orang Melayu terus menjalankan kewajipan mereka dalam kerja seharian. Pelajar yang berhasrat untuk menyertai sebarang perarakan protes, elok batalkan saja niat mereka. Kasih sayang dan cinta kita kepada negara tidak semestinya diukur daripada berapa banyak demonstrasi yang kita lakukan dan berapa jumlah yang terbabit dalam demonstrasi atau berapa lama mampu menjerit di tengah kesibukan orang ramai, tetapi ia diukur daripada rasa hormat dan kerjasama dalam memajukan negara. Saya masih teringat kata-kata seorang penulis yang membuat analisis selepas keputusan pilihan raya umum lalu bahawa orang Melayu sibuk mengumpul pengikut untuk berarak di jalanan, tetapi orang lain membentuk kumpulan untuk mengukuhkan parti. Jika kita terus-menerus mengamalkan sikap suka menghentam, maka dalam setiap perhimpunan dan perarakan di jalan raya, itulah yang menjadi api kepada setiap persengketaan. M JASNI MAJED, Bukit Kapar, Selangor. Berita Harian Online 12/02/2009

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...