9/06/2010

Menuntut Hak Kaum Tak Semestinya 'Racist'

SAYA tertarik dengan hujah pembahas Affendi Hussain dalam posting berjudul “Apa Salahnya Bunyi Masjid Lantang.” Affendi, antara lain, berkata:



1. Ada yg nampak Perkasa saja tetapi buat2 buta dgn Dong Zong & Hindraf.. itu hipokrit politaik perkauman namanya......


2. Bolanya skrg terserah kpd PAS..di bulan Ramadhan ini Allah s.w.t dah buka hijab tembelang mereka..alasan tidak tahu/kenal Islam tak boleh terima, takkan semuanya UMNO salah..PAS sendiri bukan "new player" dunia politik & dah wujud sebelum merdeka.. tetapi pelik masih bersangka baik dgn pemimpin2 chauvanist bukan islam ini yg terbukti tak berubah w/pun setengah abad..kalau tiba2 berubah itu tandanya ibarat buang tebiat nak mati analoginya..


3. Saya lebih suka PAS dibawah kepimpinan arwah Fadhil Noor yg konsisten & berintegriti tanpa kompromi..tak seperti hari ini..


4. Kalau MCA keluar BN gabung DAP lagi senang kerja menala kita..tak perlu lagi 'honour' segala kuota menteri2 & apa2 peruntukan kpd mereka lg..biar kita tengok brp kerusi yg mereka akan menangi dgn kaum mereka sendiri..


5. PAS & UMNO..walaupun tak bergabung..harap biar jelas dlm bab hukum hakam Islam..biarlah perjuangan itu selari..sama2 akan sampai destinasi..


Reaksi saya, secara ringkasnya, adalah seperti berikut:

1. Walaupun Pas telah wujud sebelum merdeka, tetapi Pas adalah baru/mentah dalam isu perkongsian kuasa dengan bukan Melayu dan bukan Islam. Ketika dalam Barisan Nasional antara 1974 dan 1977, Pas bukan kuasa penentu. Lagipun, waktu itu kepemimpinan Pas di bawah Allahyarham Mohd Asri Muda adalah sederhana dan terbuka;



2. Tradisi kepemimpinan sederhana dan terbuka ini berterusan di zaman Allahyarham Fadzil Noor;



3. Kepemimpinan Pas kini berpecah kepada golongan agama ortodoks yang diketuai oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat, golongan agama berideologi diwakili oleh Abdul Hadi Awang dan golongan yang bukan dari aliran agama.



4. Pas bergabung dengan DAP dalam Pakatan Rakyat atas daya usaha Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim. Pas terhutang budi kepada Anwar kerana pemecatannya daripada kerajaan dan Umno pada tahun 1998 menguntungkan Pas. Pas mendapat undi protes dan undi simpati penyokong Anwar dalam pilihan raya umum 1999;



5. Pas dan DAP adalah dua entiti yang sangat berlainan. Pas mengaku berdiri atas landasan Islam seperti dimanifestasikan oleh aspirasi Negara Islam dan pelaksanaan Kanun Jenayah Hudud manakala DAP bersumpah darah mahu menegakkan negara sekular di Malaysia;



6. Manakala Pas terus memberi pelbagai alasan mengenai pendirian DAP berkaitan Negara Islam dan Hukum Hudud, DAP secara terang terangan menolak dengan alasan Negara Islam dan Hukum Hudud bukan agenda PR;



7. Kerana masalah dalamannya sendiri, PKR semakin tidak berdaya menjadi orang tengah bagi leraikan pertikaman lidah antara Pas dan PKR. Akibat peletakan jawatan Ahli Parlimennya, PKR sudah hilang kedudukan sebagai parti induk PR kepada DAP;



8. Sebenarnya, tanpa PKR sebagai pemangkin, hubungan PAS-DAP adalah tidak relevan dan akademik. Pas tidak memerlukan DAP untuk memerintah Kedah dan Kelantan, manakala DAP tidak memerlukan Pas untuk memerintah Pulau Pinang. Tanpa PKR yang kuat, persepakatan Pas dan DAP sukar dipertahankan kerana dasar yang terlalu berlainan;



9. MCA dan DAP tidak akan bergabung kerana komponen MCA akan pupus jika bergabung dengan DAP. Lagipun kewujudan dua parti Cina -- sebuah di pihak BN dan sebuah di pihak PR -- jelas menguntungkan masyarakat Cina. Permainan wayang antara MCA dan DAP memaksa Kerajaan BN dan kerajaan-kerajaan negeri PR melestarikan (mempertahankan) hak kaum Cina.



10. Daripada aspek demografi, pakatan DAP-MCA tidak mungkin memperoleh kerusi yang banyak dalam pilihan raya. Mereka masih memerlukan sokongan orang Melayu. Untuk itu, mereka memerlukan bekerjasama dengan parti Melayu/Islam.



11. Dalam PRU ke-12 tahun 2008, Umno bertanding 117 kerusi Parlimen dan menang 79 (67.52%), MCA bertanding 40 memang 15 (37.5%), Gerakan bertanding 12 memang 2 (16.6%) dan MIC bertanding 9 menang 3 (33.3%). Yang ditolak pengundi adalah parti-parti bukan Melayu BN. Umno berupa parti BN paling berjaya dalam pilihan raya itu.



12. Dengan ketewasan di Pulau Pinang kepada DAP, adalah sukar bagi Gerakan bangun semula. Sengaja diingatkan yang Gerakan, sebagai parti pembangkang, mengalahkan MCA di Pulau Pinang pada tahun 1969 dan memerintah negara itu hingga 2008 (39 tahun). Adalah tidak mustahil pengundi bukan Melayu akan memberi peluang kepada DAP memerintah negeri itu untuk jangka masa yang panjang;



13. Mengenai harapan pembahas Affendi “ Pas dan Umno walaupun tak bergabung, harap biar jelas dalam bab hukum hakam Islam -- biarlah perjuangan itu selari”, saya kurang yakin kerana terdapat anasir-anasir pelampau dan anasir-anasir yang memandang remeh hal agama dan bangsa dalam kedua-dua buah parti itu. Sementara yang lain pula terlalu selesa dan yakin bahawa kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu terjamin kerana termaktub dalam Perlembagaan;



14. Baru-baru ini saya terbaca sejarah mengenai Islam di wilayah autonomi Tatarstan di Russia. Menurut cacatan penulis dan pengembara Arab, Ahmad ibni Fadlān, Islam diperkenalkan di wilayah itu pada abad ke-10 iaitu sekitar tahun masihi 922. Negara Islam Tatarstan wujud hingga tahun 1552 apabila ia ditakluki Tsar Ivan IV. Tsar Ivan yang terkenal dengan jolokan “Ivan The Terrible” kerana kekejamannya, memaksa umat Islam memeluk Kristian dan menjelang tahun 1593 habis semua masjid dimusnahkannya. Hanya mulai tahun 1766, Tsarita Catherine II membenarkan masjid didirikan semula.



15. Sementara itu, dalam satu laporan BBC, Tatarstan sedang hebat mempromosikan makanan halal di kalangan 3.8 juta umat Islamnya.



16. Mengenai fokus kepada Perkasa tetapi lupa kepada Dong Zong dan Hindraf, ia adalah petanda kepada sikap apologetik sesetengah pemimpin Melayu yang penakut dan cetek pemikiran. Mereka termakan hujah bahawa sesiapa saja yang mempertahankan hak Melayu adalah “racist” manakala kaum-kaum lain yang mempertahankan hak mereka, itu dianggap hak asasi mereka;



17. Kesimpulannya bila Melayu pertahan atau tuntut hak, dia adalah rasis, tetapi seorang Cina atau India yang pertahan atau tuntut hak bagi kaumnya, tindakannya itu bukan rasis tetapi sah (legitimate).



18. Ceteknya daya artikulasi mereka sehingga ada anak pembesar dan nasionalis Melayu yang dilaporkan memberitahu khalayak Cina yang dia juga pendatang di Tanah Melayu seperti Tan Cheng Lock.



19. Jelaslah orang “Melayu” seperti ini sama ada buta sejarah (atau buta minda) sehingga tidak tahu (atau menafikan) wujudnya Dunia Melayu, Nusantara dan Kepulauan Melayu (the Malay Archipelago).



20. Apa pun, saya mengucapkan selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan yang ke-53 pada 31 Ogos dan berharap kita menjadi rakyat Malaysia yang lebih beriman, berilmu dan berbudi.
 
petikan asal - http://kadirjasin.blogspot.com/2010/08/menuntut-hak-kaum-tidak-semestinya.html

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...