BERSAMA MENCARI KEKAYAAN YANG DI ANUGERAHKAN OLEH ALLAH SWT. JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN DAN ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI.
5/17/2009
Adakah Si Kaya Ini Gila Atau Kita Yang Mabuk?
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Are you mad? Itu yang dikatakan oleh akauntan jutawan Brian Burnie, apabila majikannya menyatakan hasrat untuk menderma hotel mewahnya bernilai sekitar GBP 20 juta.
Perasaan saya bercampur-campur setiap kali membaca berita sebegini. Minda pula berkecamuk memikirkan rasional dan dorongan yang memberikan mereka kemampuan untuk menderma sebgini banyak. Kemungkinan, ramai yang akan terus bersangka buruk apabila membaca kisah dan berita dermawan si kaya seperti ini. Tidak dinafikan, ramai juga yang merasa amat kagum dengan kedermawanan mereka. Mari kita cuba cari sebab-sebab luaran kedermawanan mereka dalam tulisan ini.
Kalau dulu saya sering membaca pengasas Microsoft, Bill Gates, menderma di sana dan sini di samping yayasan yang telah ditubuhkannya. Semalam seorang lagi jutawan di Britain melakukan perkara yang sama.
SUMBANGAN BILL GATES
Pada bulan Jun 2008, Bill Gates yang berumur 52 tahun telah membuat pengumuman akan meninggalkan sejumlah hartanya yang bernilai USD 58 billion untuk tujuan kebajikan dalam surat wasiatnya.
Wang itu akan diletakkan di dalam Yayasan Bill and Melinda Gates, untuk membiayai kajian kesaihatan dan perubatan serta pendidikan di seluruh dunia.
Apa yang mengkagumkan saya kata-katanya :-
We want to give it back to society in the way that it will have the most positive impact, I want to make a positive contribution to the world."
WARREN BUFFET DAN DERMANYA
Pada Jun 2006 yang lalu, saya telah pun terkejut membaca berita billionaire bernama Warren Buffet, 75, yang melakukan derma amal kepada Yayasan Gates untuk tujuan yang sama. Jumlah yang didermakan bukan kecil malah berjumlah USD 44 billion.
Moguls, from left, Bill Gates and Warren Buffett, the world's two richest men, will partner to create the world's most powerful charity.(ABCNEWS.com)
Lebih menarik dari biasa, Buffet juga mahukan setiap sumbangannya yang dibuat secara tahunan itu, digunakan pada tahun tersebut juga dan tidak mahu ditangguh-tangguh.
Semalam (14 Mei 2009), saya ada membaca kisah seorang jutawan Britain yang mendermakan hotel mewahnya, hotel yang asalnya sebuah rumah besar lama berusia beratus tahun, diubahsuai dengan kos sebanyak GBP 16 juta. Pada asalnya dia ingin menggunakan seluruh keuntungan dari hotel mewah itu untuk tujuan kebajikan, namun ditukar ideanya. Kini dengan rasminya hotel mewah itu akan dijual dan seluruh hasilnya akan didermakan kepada persatuan kanser. Kos jualannya sudah tentu melebihi GBP 20 juta (RM 110 juta).
Berikut tiga kata-kata beliau yang menarik hati saya :
"While owning property and making money is important, it is not as important as people."
'The biggest thing with most people is money, but with me it is not. I want to give it up and do something more for others.
"We can all do something by leaving money to charity when we die, but why don't we do something while we are still living?'
Apa yang disebut pertama tadi bertepatan dengan tanggungjawab sosial dalam Islam. Malah di dalam Islam pembangunan jatidiri individu rakyat sememangnya jauh lebih penting dari pembangunan material seperti bangunan pencakar langit dan lainnya.
Yang kedua pula bertepatan dengan ajaran Islam agar tidak bersikap selfish dan sentiasa memikirkan manfaat yang diperolehi untuk dikongsi dengan orang ramai, dan yang ketiga pula bertepatan dengan sabdaan Nabi :-
ولا تمهل حتى إذا بلغت الحلقوم
Ertinya : dan janganlah kamu bertangguh-tangguh ( dalam bersedeqah) sehingga sampainya ( nyawamu) di kerongkong (hampir mati)" (Riwayat Al-Bukhari, no 1353)
APA LAGI MOTIF MEREKA ?
Saya suka untuk memikirkan motif positif dan sihat berbanding agenda terselindung ketiga-tiga mereka. Setelah menolak andaian-andaian negatif dan setelah membaca dengan lebih lanjut, barulah terzahir beberapa sebab yang rasional, antara yang paling utama adalah falsafah mereka dalam membentuk masa depan anak dan ahli keluarga mereka.
Mereka mengambil keputusan menderma kerana tidak mahu meninggalkan harta yang terlalu banyak kepada anak-anak, kerana kelak akan membebankan anak-anak mereka sendiri, malahan meninggalkan kesemua harta-harta yang melimpah ruah itu juga dianggap tidak rasional . Falsafah mereka, tinggalkan secukup-cukup sahaja namun anak-anak masih perlu terus berusaha.
Buffet pernah berkata di majalah Fortune :
"Giving your children too much money is a burden, not a gift, and is not a rational thing to do with all that wealth."
"A very rich person would leave his kids enough to do anything, but not enough to do nothing,'"
Saya mengira falsafah itu ada benarnya, masakan tidak, si anak pasti tidak akan dapat berkongsi rasa sukar, cabaran dan jerit perih yang dilalui para ayahnya; malah si anak akan ditinggalkan lemas dalam kekayaan mega tanpa sebarang usaha, kelak tiada apa lagi yang relevan untuk mereka lakukan kecuali menghabiskan harta yang terlalu lumayan itu. Hasilnya, otak mereka pasti menjadi mati dan lebih dahsyat akan mencatatkan sejarah buruk dalam keluarga kerana terlalu lalai untuk menghabiskan harta, akhirnya menjadi beban dan masalah kepada masyarakat. Tiada manfaat yang diberinya kepada masyarakat berbanding ayah-ayahnya yang bertungkus lumus mencapai apa yang berada di hadapan matanya. Kejayaan ayah mereka dicapai dengan seribu satu macam manfaat dipanjnagkan kepada orang ramai, namun si anak akan menghancurkan segalanya.
Tujuh tahun lepas, Buffet pernah memberitahu di dalam ABC New "Nightline", bahawa dilahirkan dalam kemewahan tidak melayakkan anak-anaknya untuk menikmati keseluruhan harta itu.
Tidak dinafikan, ramai yang memuji tindakan mereka berdua dan tidak kurang juga yang mencela dengan pelbagai anggapan. Antara kritikan kepada Gates, boleh rujuk di link ini.
JUTAWAN DAN HARTAWAN MUSLIM
Apapun kritikan terhadap hartawan bukan Islam, bagi jutawan Muslim, Islam menganjurkan pendekatan yang sedikit berbeza, banyak pula yang sama.
Yang paling berbeza adalah keperluan jutawan Muslim untuk menyembunyikan sumbangan dan sedeqahnya. Allah swt berfirman :
وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُم
Ertinya : "Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedeqahmu) dan memberikannya kepada faqir miskin, demikian adalah LEBIH baik bagimu"
Nabi s.a.w bersabda :-
صدقة السر تطفىء غضب الرب
Ertinya : Sedeqah yang dilakukan secara sembunyi memadamkan kemurkaan Allah swt.
Memang benar, jutawan Muslim yang bersifat dermawan memang ramai, banyak juga sumbangan yang telah dihulurkan kepada pelbagai pihak sama ada secara senyap atau terbuka. Tan Sri Mokhtar Al-Bukhari adalah satu ikon utama yang pasti terlintas di minda kita apabila sahaja membuka cerita sebegini. Saya secara peribadi juga mengenali beberapa individu dermawan seperti Dato Hj Rameli Musa, Pengasas Ingress Corporation Berhad, dan ramai lagi.
Semasa saya pulang ke Malaysia dua minggu yang lalu, tatkala berbual-bual dengan Ust Zahazan di syarikat Telaga Biru Sdn Bhd, beliau ada menyebut berkenaan kejayaan seorang usahawan Muslim bernama Ali Hassan Bin Mohd Hassan, yang merupakan pengasas al-Ikhsan Sport Sdn Bhd, jualan syarikat ini dikatakan sudah mencecah RM 100 juta setahun dengan cawangannya yang mencecah 58 buah. Apabila ditanya rahsia kejayaannya beliau menjawab :-
Amalkan 3 perkara, :
Pertama : Penuhi hak Allah tanpa berkira-kira (iaitulah zakat sehingga syarikat ini dikatakan penyumbang zakat terbesar di Johor).
Kedua : Jalankan tanggungjawab pada manusia
Ketiga : Ramai yang belum mampu melakukan, iaitu penuhi hajat ibu, walaupun saudara terpaksa mengorbankan banyak kepentingan
Memang benar, jawapan yang hampir sama sering saya dengari dari usahawan muslim yang berjaya, sumbangan mereka dibuat secara senyap-senyap. Segala puji bagi Allah dan tahniah di atas sumbangan dan sedeqah mereka.
Namun demikian, jumlah golongan ini masih belum cukup besar, masih ramai lagi hartawan dan jutawan Muslim yang masih belum dan terlalu berkira-kira untuk menyumbang, kita sewajarnya lebih laju dari hartawan bukan Islam yang saya sebutkan di atas.
Kita sewajarnya lebih sedar bahawa menyumbang sama ada melalui zakat yang wajib atau sedeqah yang sunat akan menambah berkat dan rezeki dari Allah swt. Menambah rezeki yang bersifat spiritual. Sabda Nabi s.a.w :-
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Ertinya : Tiadalah harta itu berkurang disebabkan oleh sedeqah ( riwayat Muslim)
Kini, sudah ramai yang merasakan kesan sumbangan yang dikeluarkan adalah pertambahan, bukan kurang. Malah ia turut dirasa oleh hartawan bukan Islam seperti Bill Gates, beliau pernah menyebutkan hal ini dalam satu majalah antarabangsa satu ketika dahulu (namun saya gagal mencari keratannya).
PARA RIBUAN, JANGAN BERALASAN
Jika mereka sudah merasakan nikmah kebahagiaan hasil pemberian itu, bilakah kita pula?. Jangan ditunggu kita bergelar jutawan atau billionaire untuk bertindak, mulakan dari sekarang secara kecil-kecilan sesuai dengan kemampuan kita. Walau adakalanya kita tidak layak untuk membayar zakat wajib harta atau pendapatan kerana beban kewangan yang lebih besar dari pendapatan, namun jangan sekali menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menderma dan menyumbang. Moga dengan sumbangan kecil dan ikhlas itu, mampu menjadi pembersih harta kita dan penyuburnya.
Juga ingatlah, derma dari seorang yang sikit harta lebih besar ganjarannya dari derma individu yang besar hartanya. Sebuah hadis menyebut :-
أي الصدقة أفضل؟ قال: سرّ إلى فقير أو جَهْد من مُقلّ
Ertinya ; Sedeqah yang paling utama adalah menggembirakan fakir dan dikelaurkan dalam keadaan sedikit harta ( Riwayat Ahmad 5/178 ; Tafsir Ibn Kathir, 1/701)
Ikhlaskan niat dan jangan pula ‘kotor mulut' mencela apabila sedeqah yang diberi kelihatan tidak menambah keuntungan duniawi dalam jangka masa yang segera. Saya bimbang, ada yang menderma dengan niat yang satu, iaitu untuk mengharapkan untung berganda setelah dimotivasikan oleh para ustaz bahawa bersedeqah boleh menambah keuntungan, lalu apabila tiada pertambahan lalu dicelanya hadis, dicelanya ustaz, disesalinya sedeqah yang pernah di lakukan dahulu sebagai silap dan salah. Ingatlah firman Allah swt :-
الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللّهِ ثُمَّ لاَ يُتْبِعُونَ مَا أَنفَقُواُ مَنًّا وَلاَ أَذًى لَّهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ
Ertinya : "Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati " (Al-Baqarah : 262)
Lihat dan fahamilah dalam-dalam erti yang tersurat pada ayat ini, setiap pemberian sedeqah mestilah diriingi oleh rasa puas, gembira, tiada khuatir, tiada sedih dan sesal.
Bukankah pakar-pakar motivasi sedunia malah doktor menyatakan, antara faktor yang boleh memberikan kesihatan tubuh, awet muda dan fikiran terfokus adalah KURANG STRESS dan hati yang gembira. Bergembiralah wahai penderma, gembira memberi dan menyumbang sama ada ilmu, harta, masa dan tenaga dengan rela dan redha. Nesacaya kita akan lebih tenang dan tersenyum, prestasi boleh meningkat, idea boleh bercambah.
Bukankah Allah swt yang menggerakkan hati-hati dan minda manusia lain sama ada untuk memberi kita kontrak dan tender, mengambil kita bekerja, menaikkan pangkat, melantik kita untuk jawatan itu dan ini, memberi kepercayaan utnuk tugasan baru yang lumayan dan lain-lain. Lalu yakinilah dan bersangka baiklah dengan Allah swt, nescaya Allah akan menunaikan sangkaan baik kita.
Nah, jika benar-benar kita langsung tidak mampu walaupun 10 sen, ada sedeqah lain yang mampu kita tunaikan dengan cemerlang tanpa memerlukan wang, iaitu ajaklah orang kepada kebaikan dan laranglah mereka dari kemungkaran. Nabi saw berdialog dengan para sahabat, seperti berikut : -
على كل مسلم صدقة قيل : أرأيت إن لم يجد ؟ قال : يعتمل بيديه فينفع نفسه ويتصدق قال : أرأيت إن لم يستطع ؟ قال : يعين ذا الحاجة الملهوف قال : قيل له : أرأيت إن لم يستطع ؟ قال : يأمر بالمعروف أو الخير قال : أرأيت ؟ إن لم يفعل قال : يمسك عن الشر فإنها صدقة
Ertinya : Nabi berkata : pada setiap muslim tuntutan untuk bersedeqah
Sahabat berkata : Bagaimana jiak tidak mampu?
Nabi jawab : Usahalah dengan kedua tanganmu untuk hasilkan perkara bermanfaat dan bersedqahlah.
Sahabat bertanya : Bagaimana jika masih tidak mampu ?
Nabi menjawab : Carilah orang yang sangat memerlukan bantuan (dan bantulah sama ada dengan tenaga atau ditunjukkan kepada yang mampu)
Sahabat bertanya : Bagaimana jika masih tidak mampu?
Nabi menjawab : Ajaklah orang lakukan perkara kebaikan dan larang mereka dari kemungkaran
Sahabat bertanya lagi : Bagaimana jika masih tidak mampu?
Nabi menjawab : Janganlah kamu lakukan perbuatan buruk, ia juga satu sedeqah ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
KESIMPULAN
Terlalu ramai orang yang sentiasa sibuk memikir cara untuk MENDAPATKAN wang dan harta untuk dirinya, ye, MENCARI WANG, MENAMBAH WANG, MENGUMPUL WANG. Siang, malam pagi dan petang berhempas pulas minda dan tenaga mencari jalan. Sehingga ingin sahaja dilanggar semua jalan yang berpotensi, walau ia haram atau syubhat. Yang penting dalam mindanya, adalah poketnya semakin tebal. Sedangkan seluruh penghumpulan itu sekadar di dunia yang pendek ini.
Malangnya, sangat kurang yang berhempas pulas memikirkan bagaimana untuk MENYUMBANG WANG, MEMBERI WANG, SEDEQAH WANG. Bukankah memberi ini demi kehiduapan selepas kematian yang terlalu amat panjang masanya. Mulakan berfikir untuknya, sebenarnya untuk kita juga.
Brian Burnie, jika seorang jutawan bukan Islam warga Britain boleh berkata dan bertindak berdasarkan kata-katanya ini:
"We live in a "me, me, me" society and it has always been important to me to think of others"
Lalu apa lagi alasan kita sebagai muslim, bersedeqahlah sebelum sampai nyawa di kerongkong... Adakah si kaya ini gila kerana mendermakan wang yang begitu banyak? atau kita yang mabuk dengan pencarian wang secara selfish tanpa sebarang pemberian?
Sekian,
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
22 Jumada Awal 1430 H
17 Mei 2009
RUJUKAN KISAH BILL GATES, BUFFET DAN BRIAN
Link :
http://www.looktothestars.org/news/926-bill-gates-to-leave-his-billions-to-charity
http://www.onlinecardonation.org/charity-news/gates-charity.htm
http://abcnews.go.com/GMA/MellodyHobson/story?id=2118501&page=1
http://www.dailymail.co.uk/news/article-1181595/Im-giving-16m-mansion-charity-Businessman-pledges-away-millions-sale-luxury-hotel.html
http://www.nytimes.com/1999/02/26/opinion/l-stop-criticizing-gates-s-generosity-no-profit-motive-516872.html
Last update: 17-05-2009 17:41
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.
Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...
-
Takziah Kepada Keluarga CM KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawata...
-
KAEDAH MELARUTKAN STOK A DAN B Pada masa kini, ramai masyarakat diluar mula mendapat kesedaran dan berminat bercucuk tanam ...
-
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009 KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Tai...
No comments:
Post a Comment