10/18/2010

Bajet 2011 Buat Sarawak....

Apakah makna Bajet 2011 untuk Sarawak?
Jika diteliti kesemua komen pemimpin politik negeri Sarawak, mereka semua kelihatan berpuas hati dengan peruntukan di bawah Bajet 2011 seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Najib Tun Razak di Parlimen, Jumaat lepas. Tetapi, persoalannya, bilakah pemimpin negeri kita memberi komen yang tidak memberangsangkan terhadap Bajet yang pernah dibentangkan sebelum ini?
Bajet 2011 ialah RM212 bilion – RM162.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, iaitu peningkatan 7 peratus, manakala peruntukan pembangunan menyaksikan penurunan 9 peratus dengan peruntukan RM49.2 bilion daripada RM54 bilion sebelumnya.

Saya percaya mana-mana bajet tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang dan semua negeri. Sebagai sebuah negara persekutuan, Perdana Menteri bukan hanya perlu mempertimbangkan kemampuan kerajaan dan kesan bajet itu kepada pertumbuhan dan pembangunan negara, tetapi juga keperluan semua negeri.

Bajet 2011 itu selain mendapat ulasan positif, seperti biasa turut menerima kritikan daripada orang ramai.

Antaranya, rakyat bertanya mengapakah peruntukan yang begitu besar disalurkan untuk menambah baik kediaman Perdana Menteri? Juga, perlukah kita sebuah bangunan pencakar langit 100 tingkat yang tidak banyak membantu melonjakkan transformasi dan pendapatan negara? Ada yang beranggapan, bahawa ia perlu dikaji semula kerana Warisan Merdeka yang menelan kos RM5 bilion hanya akan mencekik jantung kota Kuala Lumpur.

Bangunan pencakar langit yang dibina di atas tanah yang mahal itu, setingkat lebih rendah daripada bangunan tertinggi di Taiwan, dan lapan tingkat lebih rendah daripada Burj Khalifa di Dubai. Adakah kita dapat memberi jaminan bahawa bangunan yang bakal dibina oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu tidak akan menjadi gajah putih?

Bagaimanapun, kritikan yang serupa pernah dilontarkan ketika mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hendak membina Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat dahulu? Kini, terbukti kritikan itu adalah tidak berasas, kerana menara berkenaan bukan sahaja dapat melonjak imej Malaysia di luar negara, tetapi antara pusat beli-belah terhebat di Malaysia.

Bagi sebahagian besar penduduk Sarawak, jaminan ketiadaan kenaikan tol untuk tempoh lima tahun, pembangunan LRT di kawasan Lembah Klang atau pembinaan bangunan Warisan Merdeka, tidak akan banyak membawa kesan kepada mereka. Kebanyakan rakyat biasa, hanya mahu melihat keadaan hidup mereka lebih baik daripada sekarang. Adakah kita mampu menambah jumlah wang di dalam poket kebanyakan rakyat dalam tempoh setahun, lima tahun dan sepuluh tahun dari sekarang?

Maksudnya, mampukah kita mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini? Mampukah kita membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada rakyat melalui bajet ini? Bilakah kita dapat menyalurkan bekalan air, elektrik dan menyediakan kemudahan asas lain, termasuk jalan raya berturap kepada mereka?

Mereka tidak memerlukan bangunan tinggi, lebuh raya mewah, pusat beli-belah, beg berjenama dan seumpamanya. Keperluan dan permintaan mereka adalah pada peringkat asas; bukannya kemewahan. Jika kita masih tidak dapat memenuhi keperluan asas berkenaan, ada sebab untuk mereka mempertikaikan kewajarannya? Jadi, kerajaan tidak mempunyai masa dan alasan kukuh untuk membiarkan mereka terus menderita dan merana tanpa kemudahan berkenaan.

Sebagai negeri yang relatif besar dari segi fizikal dan masih di belakang berbanding negeri-negeri di Semenanjung, kita tentu mengharapkan Perdana Menteri mempertimbangkan untuk memberi peruntukan yang lebih kepada negeri ini. Apatah lagi, Sarawak dan juga Sabah disifatkan sebagai simpanan tetap bagi Barisan Nasional, sesudah BN gagal menguasai dua pertiga kerusi di Parlimen dalam pilihan raya umum lalu.

Ketika negeri ini bersetuju untuk sama-sama bersatu dalam gagasan negara yang dikenali sebagai Malaysia 47 tahun dahulu, rakyatnya dijanjikan akan mendapat pembangunan yang setanding dengan Semenanjung. Tetapi sesudah 47 tahun adakah kita sudah dapat berdiri sama tinggi, dari segi pembangunan dengan Semenanjung? Adakah semua janji yang termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara sudah ditunaikan atau sebahagiannya sudah tidak dipedulikan dan terhakis?

Hakikat yang jelas, Perdana Menteri memperlihatkan keprihatinan yang tinggi terhadap Sabah dan Sarawak. Dari segi jalan raya, kita bukan sahaja masih kekurangan prasarana tersebut, tetapi sebahagian daripada jalan raya di luar bandar masih lagi dalam keadaan yang mengecewakan – sempit, berlumpur, berlubang-lubang dan tidak berturap. Menjelang setiap pilihan raya, inilah antara isu yang dimanipulasikan pembangkang.

Dengan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion untuk jalan raya luar bandar di kedua-dua negeri terbabit, kita mengharapkan rungutan dan kekecewaan penduduk luar bandar, yang menjadi penyokong kuat dan setia BN dapatlah diredakan. Yang lebih penting, mereka akan dapat bergerak dari rumah panjang dan perkampungan mereka ke pekan dan bandar berdekatan dengan lebih mudah. Jalan raya dapat menjadi mangkin yang menggerakkan pembangunan di banyak kawasan dan membawa kesan limpahan dari segi sosioekonomi terhadap penduduk.

Secara langsung, ia dapat meningkatkan pendapatan mereka, selain mensejahterakan kehidupan mereka, yang menjadi impian dan harapan mereka selama ini. Biarpun peruntukan berkenaan tidak mungkin dapat mengatasi sepenuhnya masalah jalan raya di luar bandar, setidak-tidaknya ia dapat menyediakan kemudahan bagi penduduk di kawasan yang amat memerlukan.

Sesungguhnya, Sarawak memerlukan peruntukan yang jauh lebih besar daripada itu jika kita ingin memastikan sasaran menyediakan kemudahan berkenaan kepada penduduk dalam tempoh tiga tahun? Bukankah kerajaan pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah jalan raya, bekalan api dan elektrik di negeri ini dalam tempoh tiga tahun? Dari segi perkiraan atas kertas, dengan peruntukan sebanyak itu mampukah kerajaan memenuhi janjinya?

Bagaimana pula dengan keperluan untuk membina lebih banyak kemudahan sekolah, asrama, klinik, hospital yang lebih baik dan sebagainya? Kuching memang memerlukan sebuah lagi hospital kerana kita tidak lagi dapat bergantung kepada Hospital Umum Sarawak, apatah lagi mengambil kira peningkatan jumlah warga kota dalam sepuluh tahun akan datang.

Sebanyak RM93 juta disalurkan untuk pembangunan Koridor Tenaga Dapat Diperbaharui (SCORE). Jumlah itu dapat dianggap kecil dan tidak mencukupi untuk memyediakan segala kemudahan dan prasarana bagi menggerakkan kawasan seluas 70,709 kilometer persegi melibatkan penduduk seramai 607,800 orang yang dikatakan mampu menjana 640,000 peluang pekerjaan. Di bawah projek gergasi itu, pembangunan kawasan nod pertumbuhan baharu perlu dibuka, selain pembangunan jaringan jalan raya, prasarana, pelabuhan dan seumpamanya.

Sementara itu, pemimpin masyarakat, termasuk tuai rumah tentu menyambut Bajet 2011 dengan rasa syukur dan gembira. Kerajaan meningkatkan elaun mereka daripada RM450 kepada RM800 sebulan. Ini merupakan pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan mereka dalam membangunkan masyarakat dan negara. Dengan kenaikan tersebut, ketua masyarakat perlu berusaha sedaya upaya untuk membantu kerajaan membawa negeri ini ke hadapan.

Sebagai ketua masyarakat mereka perlu lebih peka terhadap perkembangan politik, sosial, ekonomi dan sebagainya di sekitar mereka. Mereka berperanan sebagai mata, telinga dan mulut kerajaan. Peningkatan elaun berkenaan memang wajar kerana tidak banyak yang dapat dilakukan dengan RM450 dalam keadaan kos hidup semakin meningkat, apatah lagi ketua masyarakat perlu menggunakan wang berkenaan untuk menghadiri pelbagai majlis anjuran pelbagai pihak di pelbagai tempat.

Rakyat ingin menyaksikan segala peruntukan di bawah Bajet 2011 digunakan dengan sebaik mungkin tanpa sebarang ketirisan dan kebocoran. Rakyat juga ingin melihat segala kemudahan dan prasarana berkenaan dibina tepat pada masanya, selain menepati piawai yang ditetapkan.

original post

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...