8/06/2011

Islam di Malaysia : Islam di Luar Negara

Rancakkan dialog antara agama

oleh MASHITAH IBRAHIM



8/5/2011 8:09:02 AM

Benarkah Islam menjadi ancaman besar sehingga ada usaha besar-besaran di Barat untuk menghapuskannya? Di Amerika Syarikat, ada ahli politik yang mencadangkan pembinaan masjid diharamkan. Ada paderi membakar Quran. Presiden George W Bush pernah menggunakan istilah ‘perang salib’ semasa melancarkan perang terhadap keganasan sejagat, kemudian menghantar bala tentera ke Iraq, Pakistan dan Afghanistan.
Anders Behring Breivik, pembunuh 77 orang termasuk beberapa Muslim di Norway 22 Julai lalu, berikrar menghapuskan Islam daripada negara itu dalam manifesto 1,300 muka surat yang disiarkan di internet. Padahal, orang Islam berjumlah hanya 100,000 daripada lima juta penduduk Norway. Ada kebimbangan dalam kalangan agensi keselamatan Eropah pelampau Kristian lain meniru serangan yang beliau lakukan.

Tahun lalu, beberapa masjid di Beit Fajjar, Tebing Barat dan Groningen, Belanda telah diconteng, kemudian dibakar.

Di Belanda, pembenci Islam paling besar ialah Geert Wilders, seorang ahli Parlimen yang mahu mengharamkan kemasukan imigran Islam, pembinaan masjid dan pemakaian burqa. Dia anggap Islam adalah fasisme, dan mahu semua Quran, yang disamakan dengan Mein Kampf karya Hitler, dibakar.

Semasa melawat Jerman, beliau mendesak rakyat negara itu menubuhkan parti anti-Islam dan mengambil tindakan sama. Negara yang banyak masjid dan orang memakai burqa bukanlah Jerman yang diidamkan Goethe, Schiller, Bach dan Mendelssohn, tegasnya.

Pendirian Wilders ditentang oleh Parti Rakyat Eropah, yang menggabungkan 73 parti berfahaman kanan. Mereka anggap Wilders seorang rasis dan zenofobik.

Tindakan diskriminasi terhadap Islam dan serangan terhadap Muslim juga berlaku di Australia, Perancis, United Kingdom dan beberapa negara Eropah lain. Antara lain, ini berpunca daripada tanggapan mereka bahawa orang Islam terbabit dengan keganasan dan imigran Muslim tidak dapat asimilasi dengan penduduk tempatan. Ahli lembaga bank pusat Jerman, Thilo Sarrazin, dalam bukunya, menuduh pendatang Muslim sebagai punca ekonomi Jerman merosot.

Benarkah Islam punca segala masalah keganasan dan kemerosotan dunia? Aman damaikah dunia ini jika tidak ada agama Islam?

Graham E Fuller, dalam bukunya World Without Islam (New York, 2010) berpendapat punca pelbagai krisis dunia bukan agama – jauh sekali Islam. Perbezaan politik, kepentingan ekonomi dan pergeseran antara budaya yang telah berlarutan ribuan tahun adalah punca pelbagai konflik yang wujud hari ini. Pada luarannya, sesuatu krisis adalah kerana agama tapi sebenarnya berpunca daripada prejudis tebal dan perseteruan yang begitu lama.

Tidak ada apa yang tidak kena dengan Islam. Bukan agama puncanya. Islam tidak mendorong keganasan, kerosakan atau kacau bilau. Malah, asas agama Islam ialah keselamatan, keamanan, kestabilan dan perpaduan.

Malaysia mengambil pendekatan praktikal berhubung agama, Inilah pendekatan kita sejak Merdeka. Di bawah Perlembagaan yang mendaulatkan Islam sebagai agama rasmi, agama lain boleh dianuti dan diamalkan secara bebas. Warganegara pelbagai bangsa dan agama hidup berbaik-baik, generasi demi generasi.

Datuk Seri Najib Tun Razak menganjurkan kesederhanaan. Katanya, Islam bukanlah ancaman dan Islamophobia hanya wujud dalam kalangan pelampau. Dunia seharusnya melihat Malaysia sebagai contoh terbaik, di mana rakyat pelbagai kaum dan agama hidup aman damai. Dalam mencari jawapan kepada keadaan di benuanya, Kesatuan Eropah bolehlah mengadakan dialog dengan negara moderat seperti Malaysia. Kerajaan juga telah menubuhkan Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri. Sebagai sekretariat jawatankuasa ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sering mengadakan dialog, forum dan persidangan. Aktiviti sebegini, selain yang bersifat komuniti, kebajikan dan pendidikan, perlu digiatkan lagi. Badan lain seperti Institut Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), universiti, think tank dan NGO juga boleh memainkan peranan meningkatkan persefahaman agama, menggalakkan muhibah antara kaum dan keharmonian antara agama.

Pendirian Perdana Menteri dan pendekatan Malaysia diterima baik di peringkat antarabangsa. Setelah melawat negara dan rantau ini, Senator Christopher Bond dan Lewis Simons, dalam buku The Next Front (New Jersey, 2009) berpendapat, Malaysia dan Asia Tenggara boleh menjadi pusat kebangkitan Islam yang sederhana.

Sempena Ramadan yang jatuh pada bulan kemerdekaan, marilah kita bertekad menjadi Muslimin yang baik, bertoleransi dan saling menghormati penganut agama lain. Bagi yang bukan Islam, harus mempunyai tekad sama dan menjadi warganegara yang patuh kepada Perlembagaan.


No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...