2/25/2008

PKR hanya ‘kacau daun’

Oleh Lucia John The Borneo Post Online Tidak menghadiri proses penamaan calon bukti mereka tidak serius berjuang, kata Abang Johari KUCHING: Kegagalan menghadiri proses penamaan calon di Petra Jaya semalam, nyata menggambarkan bahawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak serius untuk berjuang sebaliknya sengaja ‘kacau daun’, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Abang Johari Tun Abang Openg. “PKR sengaja mengacau daun Barisan Nasional (BN) sedangkan mereka tahu PKR tidak mendapat kejayaan di sini (Petra Jaya),” ujarnya sejurus tamat penamaan calon di sini semalam. Beliau yang tiba bersama pasukan penyokong kira-kira 3,000 orang turut ditemani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Menteri Muda Di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman bagi memberi sokongan kepada penyandang Fadillah Yusof. Parlimen Petra Jaya pada pilihan raya kali ini bakal menyaksikan Ketua Pemuda PBB, Fadillah Yusof 46, berhadapan dengan calon PKR Mohamad Jolhi, 49. Fadillah merupakan penyandang kerusi berkenaan selepas menewaskan calon PKR Wan Zainal Abidin Wan Senusi pada 2004. Mohamad (PKR), yang diwakili oleh Ramlee Mahtar menyerahkan borang penamaan calon kepada Pegawai Pengurus Onn Abdullah pada jam 9.01 pagi dan disusuli Fadillah pada jam 9.19 pagi. Pencadang calon BN ialah Abang Khalid Abang Marzuki, 61, dengan disokong oleh Sharifah Aisah Tuanku Fauzi, 54, PKR pula dicadang oleh Ahmad Abas, 55 dan Ramlee Mahtar, 45 (penyokong). Sementara itu Fadillah berkata, setelah mencapai 50 tahun kemerdekaan, BN membuktikan bahawa pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan kesejahteraan rakyat. “Usaha ini akan terus kita perjuangkan sebab itu kita mahu rakyat membuat pilihan betul. Gunalah hak mengundi secara bijaksana,” jelas beliau. Dalam pada itu, perarakan penyokong BN yang terdiri daripada 3,000 peserta dan 100 buah motosikal konvoi dilakukan seawal jam 8 pagi, bermula dari Kampung Pinang Jawa hingga pekarangan SMK Petra Jaya. Fadillah masuk ke pusat penamaan calon pada jam 9.10 pagi manakala Mohamad yang diwakili Ramlee tiba pada jam 9.02 pagi.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...