BERSAMA MENCARI KEKAYAAN YANG DI ANUGERAHKAN OLEH ALLAH SWT. JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN DAN ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI.
4/29/2009
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - Takziah Kepada CM dan ahli keluarga
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009
KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, meninggal dunia pada 3.45 petang ini akibat kanser di kediaman mereka, Demak Jaya di sini.
Laila, 68, meninggalkan suami, empat orang anak, termasuk Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, dan 15 cucu.
Mengesahkan berita itu, Setiausaha Akhbar Taib, Amin Sahmat, berkata upacara pengkebumian akan diadakan di perkuburan Islam Demak di sini pagi esok.
Antara kenamaan yang berkunjung awal memberi penghormatan terakhir di Demak Jaya petang ini ialah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang sedang melakukan lawatan rasmi dua hari ke Sarawak, dan isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.
Laila, kelahiran Poland, dan Taib berkahwin di Adelaide, Australia pada 13 Januari 1959 ketika Taib sedang mengikuti pengajian untuk ijazah undang-undang.
Laila tiba di Sarawak pada 1962. Nama remajanya ialah Lejla Chaleck.
Sebagai mengiktiraf pembabitan aktif beliau dalam kerja-kerja kemasyarakatan, termasuk sebagai presiden Badan Amal dan Tenaga Sarawak (SABATI), beliau dianugerahi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang, yang membawa gelaran "Datuk Amar" pada 1988.
Beliau adalah juga Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) (Pengerusi Jawatankuasa Wanita).
Penubuhan Tabung Amal Kanser Laila Taib adalah satu daripada beberapa bukti tentang minatnya untuk membantu pesakit yang memerlukan dan menentukan aktiviti penyelidikan dapat dijalankan demi faedah rakyat. - Bernama
4/26/2009
Tahniah PM. Semoga Usaha Mu Itu Berterusan.
Najib tinjau Puduraya, Jalan Tuanku Abdul Rahman
NAJIB Tun Razak singgah minum di sebuah gerai makan semasa membuat tinjauan di Hentian Puduraya, di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, M.Saravanan (dua, kanan) dan Ahmad Fuad Ismail (dua, kiri). Terdahulu, Najib turut melawat sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman. – BERNAMA--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 25 April – Tiga minggu selepas Datuk Seri Najib Tun Razak turun padang untuk melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, Perdana Menteri hari ini melakukan satu lagi kejutan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Hentian Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu-lintas.
Beliau kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam semasa melakukan tinjauan selama sejam, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Najib, yang berpakaian kasual berkemeja warna perang dan seluar berwarna kuning air, tiba di Jalan Tuanku Abdul Rahman dekat Semua House pada 3.20 petang, diiringi oleh Raja Nong Chik, timbalannya, Datuk M. Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.
Di Jalan TAR, yang terkenal dengan kedai-kedai tekstil dan barang kemas, Najib diberi taklimat oleh Ahmad Fuad mengenai cadangan tempat meletak kenderaan bertingkat berhampiran Semua House dan beberapa rancangan menaik taraf lain di situ.
Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan di sepanjang lorong berkenaan sambil berhenti berbual dengan peniaga dan orang ramai.
Perdana Menteri kemudiannya menaiki perkhidmatan LRT yang penuh sesak ketika itu. Beliau terpaksa berdiri dari stesen Masjid Jamek ke stesen Plaza Rakyat sebelum berjalan kaki ke Hentian Bas Puduraya yang juga sesak.
Najib turut berhenti di salah sebuah gerai di bangunan itu bagi mendapatkan minuman sejuk.
Beliau yang diiringi pegawainya, menarik perhatian orang ramai yang mengambil peluang untuk bergambar dengan Perdana Menteri.
Seorang wanita yang ternampak kelibat Najib lantas memboloskan diri di tengah-tengah kumpulan orang ramai sambil berteriak: “Saya mahu ambil gambar Perdana Menteri saya”.
Najib kemudian bergerak untuk memeriksa bangunan projek Plaza Rakyat yang lama terbengkalai di sebelah Puduraya sebelum berlepas balik pada 4.25 petang.
Raja Nong Chik berkata, Perdana Menteri menyatakan pandangan berat tentang kurangnya fasiliti dan kesesakan di tempat-tempat tertentu dan mahukan penambahbaikan dilakukan segera.
“Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.
“Beliau berkata masalah seumpama itu bukan petanda baik buat negara kita yang berusaha menjadi negara maju menjelang 2020.
“Beliau telah mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kementerian lain yang berkaitan menentukan kemudahan berkenaan dipertingkatkan demi faedah orang ramai,” katanya.
Mengenai projek Plaza Rakyat, Raja Nong Chik berkata, Najib mahu pemaju diberi kata dua untuk menyiapkannya.
“Perdana Menteri mahukan kami memberikan had masa kepada pemaju menyiapkan projek itu. Jika mereka tidak dapat mematuhinya, kami akan tamatkan kontrak dan cari jalan lain,’’ ujarnya.
“Beliau mahukan projek itu dijalankan semula secepat mungkin,” kata Raja Nong Chik.
Projek, yang pada mulanya menelan kos RM1.2 bilion itu telah diabaikan selama 12 tahun selepas ia bertukar tangan beberapa kali. Pemaju sekarang ialah Global Upline.
Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat untuk ruang pejabat, kondominium dan sebuah hotel murah.
Mengenai rancangan menaik taraf kemudahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi mengurangkan kesesakan di Jalan TAR, Ahmad Fuad berkata, projek itu ialah tempat letak kereta bertingkat yang sudahpun bermula.
“Ia bangunan 13 tingkat dan dianggarkan menelan kos RM50 juta. Ia akan menempatkan tempat letak kereta bertingkat, pusat penjaja dan peniaga, dewan pelbagai guna dan ruang pejabat,” jelasnya.
– BERNAMA
Utusan Online 26/04/2009
4/24/2009
Saham Cina Habis
MCA ulas isu 'saham Cina habis'
Lee Wei Kiat | Apr 24, 09 4:18pm (malaysiakini online)
komentar Malaysia cukup istimewa bukan sahaja kerana kepelbagaiannya dari segi budaya, makanan dan bahasa; tetapi juga kesanggupan masyarakat berbilang kaum hidup dan bekerja sebumbung secara harmoni.
Keupayaan masyarakat majmuk Malaysia untuk wujud bersama, saling menghormati dan saling menghargai inilah yang menjadikan kita negara teladan kepada negara-negara lain yang masih dibelenggu dengan masalah perkauman.
Namun begitu, keharmonian ini ada kalanya diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Contohnya, dengan menguar-uarkan bahawa 'Amanah Saham Malaysia (ASM) kaum Cina habis' dalam sebuah akhbar arus perdana yang memaparkan bahawa masyarakat Cina adalah golongan kaya dan berkemampuan.
Laporan ini mungkin mengelirukan pembacanya yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Penjelasan yang kabur mungkin mengundang pelbagai tafsiran yang berbeza-beza.
Perkara ini harus dielakkan supaya tidak menimbulkan perasaan tidak puas hati atau salah faham yang boleh memudaratkan keharmonian kaum.
Penggunaan frasa "ASM kaum Cina habis" seolah-olah memberi gambaran bahawa kaum Cina kaya-raya walaupun negara kita dilanda krisis ekonomi dunia.
Perlu diingatkan masyarakat Cina lazimnya menabung demi kegunaan masa depan. Mereka lebih suka menabung sebagai persiapan untuk menghadapi hari-hari sukar, daripada mengharapkan bantuan sesiapa.
Amalan menabung ini memang satu tradisi dan sudah lama tersemat dalam diri masyarakat Cina.
Sememangnya, pembelian saham berdasarkan kuota kaum amatlah tidak kena pada tempatnya kerana rakyat Malaysia masih dibahagi-bahagikan mengikut kaum.
Rupa-rupanya pembahagian seperti ini satu-satu caranya untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan menyusun semula masyarakat setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Harus diingatkan biarpun semua kuota ASM kaum Cina atau mana-mana kaum lain habis dibeli dalam masa yang singkat, tetapi bukan semua orang Cina terlibat dalam pembelian ASM.
Besar kemungkinan cuma sebilangan kecil orang Cina yang membeli ASM dengan jumlah unit yang besar kerana had setiap pembeli adalah RM 20,000.
Pandangan bahawa semua orang Cina kaya dan mampu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Jika kita berpeluang turun ke padang dan meninjau keadaan sebenarnya, masih ada kelompok masyarakat Cina di kawasan luar bandar dan bandar yang terpaksa hidup dalam kemiskinan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Melihat dari sudut yang lebih positif pula, sambutan luar dugaan masyarakat Cina terhadap skim ASM membuktikan bahawa komuniti ini amat peka kepada peluang-peluang pelaburan yang ada, sama ada dilancarkan oleh kerajaan atau sektor swasta.
Hakikatnya, mereka juga sedar apakah yang terbaik dan dapat menjamin masa depan diri dan keluarga mereka.
Mereka sentiasa melihat ke hadapan dan berada dalam keadaan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan segala macam cabaran yang mendatang.
Lebih penting lagi, sambutan luar dugaan terhadap skim ASM ini bukti kukuh bahawa mereka menaruh kepercayaan tinggi kepada skim-skim amanah yang diperkenalkan kerajaan.
Mereka membeli unit-unit dana ASM ini kerana yakin akan keberkesanan, pulangan dan juga kredibiliti kukuh yang dimiliki oleh agensi kerajaan yang menguruskan dana berkenaan.
Lee Wei Kiat, jurucakap rasmi MCA, mengulas laporan utama muka depan Utusan Malaysia semalam berjudul 'ASM kaum Cina habis' . Berita itu menyebut kesemua 999 juta unit - diperuntukkan kaum tersebut - telah habis terjual dalam sehari, sementara bumiputera hanya membeli 7.65 juta daripada peruntukan 1.665 bilion unit.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Masih tertumpu pada ASB, ASN
Oleh NORAINI NORDIN
pengarang@utusan.com.my - Utusan online 24/04/2009
KUALA LUMPUR 23 April - Kurangnya sambutan bumiputera untuk melanggan unit dana Amanah Saham Malaysia (ASM) kerana minat mereka masih tertumpu kepada pelaburan dalam saham amanah sedia ada termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
Selain itu, kaum bumiputera juga berpeluang untuk melabur dalam pelbagai saham amanah lain yang diperuntukkan kepada mereka sejak awal 80-an lagi.
Pandangan ini dikemukakan oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli akademik ketika diminta mengulas mengenai kurangnya sambutan bumiputera terhadap unit tambahan ASM yang diumumkan Isnin lalu.
Berbeza dengan kaum Cina, kesemua 999 juta unit-unit dana ASM yang diperuntukkan pada mereka dan mula dijual kelmarin habis dilanggan sepenuhnya.
Bagaimanapun daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada bumiputera, hanya 7.65 juta sahaja yang berjaya dijual manakala 53.5 juta daripada 499.5 juta peruntukan kepada kaum India telah dilanggan.
Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata, kurangnya sambutan bumiputera untuk melabur dalam ASM bukan kerana tidak berkemampuan tetapi mempunyai peluang melabur dalam mana-mana saham amanah yang banyak ditawarkan kepada mereka sebelum ini.
Tambahan pula, katanya, dana ini adalah tawaran unit tambahan yang masih baru dibuka untuk langganan dan terlalu awal untuk dibuat kesimpulan mengenai minat kaum itu untuk melabur dalam saham-saham tersebut.
''Oleh itu kurangnya sambutan untuk unit-unit saham ini tidak boleh dikaitkan dengan ketidakmampuan bumiputera untuk melabur,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu berpendapat, sambutan kurang menggalakkan kaum bumiputera terhadap ASM juga tidak boleh dikaitkan dengan ekonomi semasa kerana peratus yang terjejas agak kecil.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan Fakulti Ekonomi UKM, Prof. Azmi Harun juga berpendapat, faktor kurang sambutan bumiputera terhadap ASM juga ada kaitannya dengan saham-saham amanah yang diperkenalkan sebelum ini.
Katanya, bumiputera mempunyai banyak pilihan untuk melabur dalam mana-mana saham amanah yang dibuka untuk mereka.
Tambahnya, sambutan kurang mungkin kerana kesedaran kaum bumiputera terhadap kepelbagaian melabur dalam saham-saham amanah yang lain juga agak rendah.
Katanya, situasi ini berbeza dengan kaum Cina kerana peluang untuk mereka melanggan saham-saham amanah agak terhad.
Pensyarah ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah juga memberi pendapat sama iaitu rata-rata bumiputera lebih tertumpu untuk menambah pelaburan dalam ASB atau ASN.
Selain itu, katanya, kemampuan bumiputera untuk menabung masih terhad berbanding dengan kaum Cina.
Katanya, kebanyakan kaum bumiputera di negara ini masih lagi bergelut dengan keperitan hidup terutama yang tinggal di kawasan bandar.
''Kos hidup tinggi juga menjadi faktor yang menghalang mereka untuk melabur dalam amanah-amanah saham yang diperkenalkan,'' katanya.
Ahli akademik yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Mad Shukri Shuib berkata, kurangnya sambutan bumiputera terhadap ASM bukan tanda penolakan kepada amanah saham tersebut.
Sebaliknya beliau berpendapat bumiputera lebih cenderung memilih ASB dan ASN kerana pulangan dividen tinggi dan mudah diuruskan.
''Mungkin juga kebanyakan bumiputera suka melabur dalam satu tabungan sahaja kerana bagi mereka lebih mudah untuk menguruskan kewangan tersebut,'' katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Lee Yok Fee berkata, kaum Cina merebut peluang melabur dalam ASM kerana peluang mereka untuk melabur dalam saham-saham amanah yang lain sangat terhad.
Katanya, ASM yang berisiko rendah dan dijamin kerajaan menyebabkan mereka tidak mahu menolak peluang itu.
Beliau mengakui sejak dahulu lagi kaum Cina mempunyai kesedaran yang tinggi dalam pelaburan yang boleh menguntungkan mereka.
''Latar belakang kehidupan kaum Cina yang pernah menempuhi kehidupan yang perit sewaktu mula-mula berhijrah ke negara ini menyebabkan mereka sangat berhati-hati untuk melabur. Sudah pasti ASM menjadi pilihan mereka dalam menjana pendapatan untuk hari tua,'' katanya.
PORN VS BELIA KITA
Pornografi di kalangan muda-mudi kita membimbangkan - UTUSAN ONLINE 24/04/2009
SHEIKH Muhammad Ahmad Ar Rashid dalam karyanya yang terkenal, Al-Muntalaq menceritakan perihal anak-anak muda, generasi muslimin pada masa ini yang seolah-olah menjadi anak-anak singa yang diubah menjadi kijang-kijang yang pengecut.
Beliau merumuskan tentang satu generasi yang melupakan sejarah keagungan lampau umatnya.
Suatu umat jihad yang mencintai kebenaran telah dimomokkan dengan idea-idea dan pemikiran yang palsu sehingga mereka melupai sejarah kemenangan umatnya.
Mereka kini dididik supaya menjadi materialistik hingga akhirnya kebanyakan mereka dangkal fikirannya. Jika ada yang mempunyai kesedaran ingin membangunkan masyarakat, banyaknya yang berlandaskan idea-idea yang bukan berdasarkan neraca Islam.
Anak-anak muda pada hari ini sebenarnya hamba. Mereka pula gemar pada perhambaan. Alat-alat yang digunakan untuk menjadikan hamba gembira dengan perhambaan itu banyak sekali pada hari ini. Namun, salah satu alat yang begitu besar impaknya ialah bahan lucah, pornografi.
Pornografi ia suatu wabak, penyakit dan suatu gejala yang unik.
Budaya kelucahan melampau ini telah melanda muda-mudi umat dengan suatu badai yang sangat dahsyat sekali. Dahulu, mungkin tidak pernah terbayang di benak fikiran sesiapa pun untuk membaca kisah seorang remaja dirogol belasan lelaki.
Tapi, berita sejenis dengan itu selalu timbul pada masa ini. Begitu juga dengan merogol kanak-kanak, seks luar tabii, dan macam-macam lagi gejala kelucahan melampau dalam masyarakat.
Dahulu, bila disebut pornografi, kita hanya akan terbayang video-video lucah yang dibawa dari Siam, Barat dan lain-lain. Siapa sangka pula kini anak kita sendiri yang membikin pornografi?!
Anak gadis kita begitu bangga sekarang merakam aksi bersama pasangan; gadis bertudung! Anak muda sudah berani mengeksperimen dengan telefon bimbit mereka. Hinggakan sekolah juga tidak terselamat daripada budaya kelucahan melampau ini.
Segenap lapisan masyarakat kini terlibat dan tertarik ke lembah pornografi ini. Daripada pelajar sekolah sehinggalah ahli politik. Media terus menerapkan budaya kelucahan sedikit demi sedikit ke dalam pemikiran masyarakat. Secara sedar atau tidak, media kita menjadi agen pornografi di tanah air.
Pergi sahaja ke vendor-vendor majalah dan akhbar jalanan dan nilai sendiri longgokan sampah sarap yang dijual secara terbuka kepada masyarakat. Maka, amat tidak peliklah jika kita lihat anak-anak muda hari ini semakin lalai dari landasan Islam.
Saudara, masih ingatkah kita suatu waktu dahulu ketika generasi 80-an masih lagi di peringkat sekolah? Kami ini ditanam dengan mentaliti bahawa Barat itu buruk. Globalisasi itu wabak dan budaya kuning penyakitnya.
Saudara, saya tinggal di negara blok Barat. Di sini, walaupun seks bebas itu menjadi norma, jarang sekali kedengaran pelajar-pelajar sekolah yang merakam kegiatan mereka. Jarang terdengar gadis dirogol belasan pemuda. Jarang sekali tabloid-tabloid yang mengandungi kelucahan terlampau dijual secara bebas seperti di Malaysia.
Maka saya persoalkan, sampai bilakah akan kita salahkan Barat tentang kepincangan akhlak yang melanda muda-mudi kita?
Kesimpulannya, pornografi telah berjaya melahirkan suatu generasi yang dilanda kelucahan melampau, kedangkalan minda, ketandusan akhlak dan kebendaan.
Bukanlah jarang dibaca tentang para pemudi yang membuat laporan polis mengenai bekas pasangan yang menyebarkan aksi terlarang mereka. Maka, kita fikirkan, apa telah jadi?
Ketika anak-anak gadis bertudung menjaja mahkota mereka dalam video-video Internet, apa perasaan kita?
Apa yang telah terjadi wahai saudara? Pornografi meracuni akal dan jiwa masyarakat. Apa yang telah terjadi? Lalu kita pula bersorak-sorai berbangga dengan masjid-masjid yang indah. Dan Islam sebagai agama rasmi dan pendidikan Islam di sekolah. Tapi soalnya, di mana dia roh itu?
Pokoknya, kita telah gagal dan akan terus gagal andai kita tidak mencari segera jalan pembaikan.
PENGEMBARA
Auckland, New Zealand
4/18/2009
Sekadar Ingin Tahu
Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak
Mohamed Hanipa Maidin
Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?
Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.
Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.
Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:
Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.
Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah
Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.
Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.
Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.
Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:
1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.
3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.
5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.
6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.
7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.
8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.
Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.
Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.
Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.
Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.
Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.
Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.
Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.
Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.
Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.
Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_
sumber - harakah online
Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT
#########################################################
Dakwaan campur tangan terhadap kuasa speaker silap - Nazri
18/04/2009 2:24pm = Utusan Online
KUALA KANGSAR, 18 April — Dakwaan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco daripada menghadiri persidangan Dewan sebagai satu bentuk campur tangan kuasa seseorang Speaker adalah satu kenyataan yang silap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tidak timbul soal badan kehakiman mencampuri hal legislatif berhubung keputusan itu kerana mahkamah sebenarnya adalah tempat terbaik untuk mendapat penyelesaian berkenaan dengan tafsiran sesuatu perlembagaan ataupun undang-undang.
Beliau berkata undang-undang tidak berhajat memberikan seseorang Speaker dengan satu kuasa yang tidak terbatas, lebih-lebih lagi jika tindakan Speaker itu jelas tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.
“Kita semua tahu daripada segi prosedur, itu (tindakan menggantung) salah tapi dia (Sivakumar) kata dia betul. Jadi untuk menentukan siapa betul... siapa salah, kita pergi ke mahkamahlah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan dengan perlembagaan dan juga peraturan DUN.
“Jadi bagi saya dalam perkara ini tidak ada lain tempat melainkan pada mahkamah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan sama ada Sivakumar mempunyai hak yang tidak terbatas ataupun telah mengikuti peraturan DUN dalam dia mengharamkan Menteri Besar dan enam Exco tidak boleh datang ke Dewan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
#############################################
Notis sidang DUN dikeluar tanpa pengetahuan saya - Sivakumar
18/04/2009 3:32pm Utusan Online
IPOH, 18 April — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini mendakwa notis untuk DUN Perak bersidang pada 7 Mei ini telah dikeluarkan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau (Sivakumar) terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Sivakumar berkata beliau telah menggantung tugas Abdullah sebagai Setiausaha DUN kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
“Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini hari ini.
Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
“Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.
Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN,” katanya.
Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 Nov 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.
— BERNAMA
#########################################
Mahkamah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires' - Dr Aziz Bari
Tarmizi Mohd Jam
KUALA LUMPUR, 18 April (Hrkh) - Meskipun keputusan mahkamah mengisytiharkan tindakan Speaker DUN Perak menggantung Dato Dr Zambry Kadir mengecewakan banyak pihak, ia terpaksa diterima.
Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tertinggi negara pada 16 April lalu. Dalam keputusan lisannya mahkamah membuat keputusan sebulat suara. Ketika menyampaikan keputusan itu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sherif memutuskan bahawa Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.
"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.
Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".
Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.
Ditanya mengenai Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak beliau berkata: "Peruntukan itu hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir perlembagaan negeri. Peruntukan ini tidak memberi lesen kepada mahkamah untuk berbuat sesuka hati dan membelakangkan perlembagaan."
Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu tersebut.
Mengenai soal pembahagian kuasa (separation of powers) pula Aziz mendedahkan Mahkamah Persekutuan memang masih kabur tentang konsep itu. Katanya, "Sesiapa yang tak percaya sila baca keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kok Wah Kuan (2008) yang menangani isu berkenaan".
Aziz menyeru Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua badan kehakiman mengambil perhatian dan memberi penghakiman muktamad mengenai isu pemisahan kuasa yang menjadi idea pokok dalam konflik undang-undang mengenai kuasa speaker itu.
Aziz berkata kekaburan dan kekeliruan itu menyebabkan mahkamah terlalu menumpukan kepada isu-isu teknikal dan prosedur yang sepatutnya dibaca dalam konteks teori tadi. Beliau berharap Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan bertulis secepat mungkin supaya kita dapat mengetahui asas keputusannya.
"Setakat ini ia masih kabur dan kalau kita melihat isu ini dalam konteks pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada perlembagaan itu keputusan itu adalah keputusan yang salah".
Bagaimanapun, oleh kerana Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah paling tinggi yang sekaligus memainkan peranan mahkamah perlembagaan maka isu itu terhenti di situ. Aziz berkata terpulang kepada ahli-ahli politik untuk menjelaskan kepada rakyat isu yang sulit dan kontroversial ini.
"Merekalah hakim yang sebenar dalam kemelut politik di Perak. Apa yang malang ialah semua institusi yang sepatutya mempertahankan perlembagaan gagal berbuat demikian," ujarnya.
Sebelum ini tokoh-tokoh dan NGO tertentu seperti Datuk Param Coomaraswamy (bekas Presiden Majlis Peguam), Prof. Dr Shad Faruqi dan ALIRAN meragui keberkesanan penyelesaian melalui jalan mahkamah.- tmj_
Harakah online Sat | Apr 18, 09 | 6:04:00 pm MYT
##############################################
Dakwaan campur tangan kuasa Speaker silap
BH Online 18/04/2009
KUALA KANGSAR: Dakwaan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco daripada menghadiri persidangan Dewan sebagai satu bentuk campur tangan kuasa seseorang Speaker adalah satu kenyataan yang silap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tidak timbul soal badan kehakiman mencampuri hal legislatif berhubung keputusan itu kerana mahkamah sebenarnya adalah tempat terbaik untuk mendapat penyelesaian berkenaan dengan tafsiran sesuatu perlembagaan atau undang-undang.
Beliau berkata undang-undang tidak berhajat memberikan seseorang Speaker dengan satu kuasa yang tidak terbatas, lebih-lebih lagi jika tindakan Speaker itu jelas tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.
"Kita semua tahu daripada segi prosedur, itu (tindakan menggantung) salah tapi dia (Sivakumar) kata dia betul. Jadi untuk menentukan siapa betul... siapa salah, kita pergi ke mahkamahlah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan dengan perlembagaan dan juga peraturan DUN.
"Jadi bagi saya dalam perkara ini tidak ada lain tempat melainkan pada mahkamah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan sama ada Sivakumar mempunyai hak yang tidak terbatas ataupun telah mengikuti peraturan DUN dalam dia mengharamkan Menteri Besar dan enam Exco tidak boleh datang ke Dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
Waspada serunding babi di pasaran
Apr 17, 09 5:13pm
Malaysia Kini
Awas! Serunding daging babi di pasaran negara jiran kita dan pelancong negara ini diminta berwaspada apabila makan sewaktu berkunjung ke Indonesia.
Penemuan lima jenama 'abon' (serunding) dan daging dendeng siap makan yang dibuat daripada babi di pasaran disahkan oleh pihak berkuasa Indonesia, lapor Bernama.
Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia yang melakukan ujian DNA ke atas 35 jenama serunding dan daging panggang yang dijual di pasaran di Jakarta, Jambi, Bogor, Semarang, Surabaya dan Bandung, mengesahkan kandungan daging babi
dalam lima jenama.
"Sebenarnya tekstur serat babi lebih tidak kelihatan kerana banyak mengandungi lemak. Oleh itu, kita menguji di makmal dengan menggunakan alat bernama the real-time PCR (tindakan berangkaian polimera)," ketua badan itu Husniah Rubiana dipetik berkata.
Menurut sebuah akhbar negara itu Republika, jenama-jenama itu ialah:
Dendeng/abon sapi (lembu) gurih cap Kepala Sapi 250 gram
Abon/dendeng sapi cap Limas 100 gram (keluaran syarikat palsu)
Abon/dendeng sapi asli cap ACC
Dendeng sapi istimewa berjenama Beef Jerky Lezaaat (keluaran MDC Food Surabaya)
Dendeng sapi Istimewa No 1 cap 999 (keluaran S Hendropurnomo Malang).
Husniah dilaporkan berkata satu daripada jenama itu didapati menggunakan tanda halal yang kononnya dikeluarkan Majlis Ulama Indonesia (MUI), manakala pengeluar lain menggunakan nama syarikat milik orang lain, menggunakan alamat tidak benar
atau tidak tercatat pengeluarnya.
Umat Islam - yang menggemari makanan itu termasuk kalangan anak-anak yang sukakan roti berisi serunding - boleh membezakan produk daripada babi yang warnanya lebih muda berbanding warna daging lembu dan serat babi juga lebih lembut, lapor agensi berita Malaysia dari Jakarta.
MUI dan Jabatan Kesihatan yang melakukan pemeriksaan mendapati para pengeluar itu pada mulanya mengakui menggunakan daging lembu tetapi setelah diuji didapati positif daripada babi.
4/14/2009
Pendapatan antara kaum masih tidak seimbang
Oleh Patrici Gari - Utusan Borneo Online 13/04/2009 Link
Indeks ekonomi, sosial, komposit pembangunan S’wak 2005 juga lebih rendah daripada purata negara
BENARKAH pemilikan modal yang rendah, kebergantungan kepada ekonomi tradisional, masalah birokrasi dan dan tahap pendidikan serta guna tenaga rendah menyebabkan status sosioekonomi masyarakat Melayu di Sarawak masih rendah berbanding kaum Melayu di negeri-negeri lain?
Pensyarah yang juga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Samarahan Prof Madya Dr Jamil Hamali berkata indeks ekonomi, sosial dan komposit pembangunan Sarawak 2005 masih di tahap lebih rendah daripada purata negara.
Walaupun kadar pertumbuhan tahunan purata untuk keluaran dalam negeri kasar Sarawak kata Jamil adalah agak baik berbanding negeri-negeri lain, pendapatan isi rumah bulanan purata Sarawak masih berada pada tahap lebih rendah daripada Malaysia secara amnya.
Situasi itu ujarnya telah menyumbang kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi di negeri ini.
“Jika dibandingkan dengan kaum Cina dan kaum bukan bumiputera yang lain, pendapatan Melayu Sarawak masih jauh lebih rendah tetapi apabila dibanding dengan Melayu di Sabah dan kaum bumiputera lain di negeri ini, kedudukan pendapatan purata Melayu Sarawak lebih tinggi pada 2007 (Rancangan Malaysia Ke-9),” jelasnya dalam satu kertas kerja yang dibentang baru-baru ini.
Kertas kerja yang turut mendapat sumbangan idea dua lagi pensyarah UiTM iaitu Prof Madya Dr Rosita Suhaimi dan Dr Nurhani Aba Ibrahim itu dibentangkan pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-V lalu.
Jamil menambah kata, situasi itu menggambarkan ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan antara kaum di negara ini dan juga Sarawak.
Pelbagai faktor menyumbang kepada status ekonomi Melayu yang rendah ialah majoriti masih terlibat dalam sektor ekonomi tradisional, kekurangan modal, masalah kerenah birokrasi (mendapatkan bantuan kewangan) dan pembangunan tenaga manusia yang rendah.
Tidak dinafikan Sarawak telah banyak membangun sejak merdeka dalam Malaysia iaitu hampir 46 tahun lalu terutama dalam peningkatan pendapatan per kapita, kualiti hidup dan status sosioekonomi penduduk negeri ini.
Namun matlamat untuk mencapai sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menghapuskan kemiskinan dalam pelbagai dimensi dan identifikasi kaum mengikut fungsi mereka masih jauh lagi, tambahnya.
Berdasarkan pelbagai Laporan Ekonomi dan Rancangan Malaysia, umum sedia maklum purata pendapatan bulanan isi rumah (PPBI) bumiputera Sarawak dan Sabah serta Orang Asli di semenanjung adalah lebih rendah daripada PPBI bagi seluruh Malaysia selama ini.
Bermakna pendapatan Melayu Semenanjung sudah tentu lebih tinggi berbanding PPBI bumiputera lain dan apabila PPBI bumiputera Sarawak dan Sabah dianalisis mengikut bangsa, PPBI Melayu Sarawak (RM3,503) didapati 11 peratus lebih tinggi berbanding PPBI bumiputera Semenanjung (RM3,156) pada 2007, jelas Jamil.
Dalam konteks kaum Bumiputera Sarawak pula, Melayu didapati memperoleh pendapatan PPBI lebih tinggi berbanding Iban, Bidayuh, Melanau dan bumiputera lain.
“Walaupun PPBI Melayu Sarawak dianggap tinggi di kalangan bangsa-bangsa bumiputera di Malaysia, ia belum mampu lagi mengatasi PPBI Cina, India dan bukan bumiputera.
“Bagi kes Sarawak, PPBI Cina dan bukan bumiputera lain adalah RM4,768 dan RM4,996, jumlah yang jauh lebih tinggi daripada PPBI Melayu iaitu RM3,503,” katanya.
Namun menurut Jamil apabila pendapatan purata Malaysia diambil kira jurang perbezaan pendapatan antara Melayu dengan kaum Cina, India dan bukan bumiputera lain masih besar.
Menjelas lanjut isu itu, Jamil berkata beberapa faktor penyebab perbezaan tahap pendapatan antara Melayu Sarawak dengan kaum lain seperti tahap pendidikan, penglibatan dalam sektor ekonomi tradisional, pemilikan modal yang rendah dan birokrasi dalam mendapat sokongan kewangan.
Jurang pencapaian tahap pendidikan di Semenanjung Malaysia bagi semua kategori antara bumiputera dan Cina tidak jauh berbeza namun situasi itu tidak berlaku di Sarawak.
Pada tahun 2007 misalnya, pencapaian tahap pendidikan tertiari (pendidikan tinggi) Cina jauh lebih tinggi berbanding taraf akademik kaum bumiputera di negeri ini.
“Sebanyak 21.1 peratus daripada kaum Cina mempunyai pendidikan tertiari manakala bumiputera hanya 13.8 peratus. Bermakna orang Melayu yang mempunyai tahap pendidikan tertiari masih rendah.
“Kaum Cina juga masih mendominasi tahap pendidikan menengah dengan 59.1 peratus daripada mereka memilikinya pada 2007,” beritahu Jamil.
Manakala hanya 45.8 peratus kaum bumiputera tambahnya berjaya memperoleh taraf pendidikan menengah.
“Lebih menyedihkan masih terdapat terlalu ramai kaum bumiputera, iaitu 12.7 peratus tiada pendidikan rasmi berbanding hanya 1.7 peratus sahaja kaum Cina dalam kategori sama pada 2007,” jelasnya lagi.
Selain faktor pencapaian tahap pendidikan guna tenaga bumiputera yang rendah di Sarawak, didapati guna tenaga bumiputera masih banyak terlibat dalam sektor ekonomi tradisional.
Pada 2007 katanya 33.4 peratus bumiputera di Sarawak terlibat dalam pekerjaan berkaitan pertanian dan perikanan sedangkan hanya 7.5 peratus daripada kaum Cina terlibat dalam bidang berkenaan.
“Ketika ramai bumiputera terlibat dalam sektor perindustrian, kaum Cina lebih menonjol dalam pekerjaan profesional, penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, juruteknik dan profesional bersekutu.
“Sebanyak 35 peratus daripada kaum Cina di Sarawak terlibat dalam pekerjaan tersebut, di Sabah 40.6 peratus dan 34.2 peratus di Semenanjung Malaysia pada 2007,” beritahu beliau.
Apabila melihat penglibatan kaum bumiputera dalam sektor-sektor pekerjaan sama tambahnya, hanya 18.8 peratus di Sarawak, 19.5 peratus di Sabah dan 28.1 peratus di Semenanjung Malaysia.
“Peratusan kaum Melayu yang terlibat dalam pekerjaan-pekerjaan berkenaan dijangkakan lebih kecil di Sarawak dan Sabah kerana bumiputera di kedua-dua negeri ini daripada pelbagai pecahan etnik,” jelasnya.
Jamil berkata pemilikan modal yang masih rendah juga menyumbang kepada situasi berkenaan.
Katanya pemilikan modal yang rendah boleh menyebabkan ketidakupayaan menjana pendapatan lebih tinggi.
Menurutnya pemilikan modal saham bumiputera pada nilai tara meningkat daripada RM63 bilion pada 2000 kepada RM100 bilion pada 2004 (RMK9).
Jamil bagaimanapun mem-beritahu secara kesuluruhannya bumiputera masih belum mencapai pemilikan modal 30 peratus seperti dikehendaki dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).
Pada tahun 2000, bumiputera hanya berjaya memiliki 18.9 peratus daripada modal saham syarikat Berhad dan peratusan pemilikan itu masih tidak berubah empat tahun kemudian, katanya.
“Kaum Cina terus mengungguli hak milik modal sebanyak 38.9 peratus (2000) dan meningkat kepada 39.0 peratus pada 2004.
“Biarpun tiada maklumat diperoleh bagi pecahan hak milik modal di Sabah dan Sarawak tetapi diramal peratusan hak milik modal Melayu di kedua-dua negeri ini masih kurang berbanding bumiputera di Semenanjung,” beritahu Jamil lagi.
Jamil dalam pada itu tidak menafikan kerajaan sentiasa berusaha membantu usahawan bumiputera di negeri ini dengan RM72 juta telah diperuntukkan bagi Sarawak untuk membina premis perniagaan dan perindustrian dalam tempoh RMK9. Pada masa sama katanya, bantuan lain daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau Dewan Perniagaan boleh diperolehi tetapi usahawan bumiputera masih merungut dengan sistem birokrasi pemprosesan pinjaman.
“Pelbagai syarat dan terma harus dipenuhi untuk mendapatkan pinjaman kewangan. Akibatnya secara keseluruhan ramai usahawan bumiputera dibelenggu masalah modal,” ujarnya.
Justeru Jamil berkata langkah proaktif pelu diambil masyarakat Melayu (Sarawak) sendiri untuk meningkatkan status sosioekonomi mereka antaranya mempertingkatkan lagi taraf pendidikan dan kemahiran modal insan.
Umum sedia maklum pendi-dikan adalah kunci perubahan status sosioekonomi seseorang dan modal insan negara berkualiti merupakan elemen paling kritikal untuk menjana pendapatan lebih tinggi, ujar Jamil.
Hubungan korelasi positif dan signifikan antara pencapaian tahap pendidikan dan pendapatan telah dibuktikan dalam Kajian Unit Perancang Negeri Sarawak (2003).
“Oleh itu untuk meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia amnya dan pendidikan kaum Melayu (Sarawak) khususnya, pelaburan dalam pendidikan mesti dipertingkatkan lagi,” katanya.
Bukan itu sahaja katanya, Melayu di negeri ini mesti sanggup dan bersedia beralih kepada sektor ekonomi yang lebih produktif selain mempelbagaikan sumber pendapatan.
Dalam konteks itu Jamil berkata kerajaan perlu memberi sokongan dan peluang kepada kaum Melayu terlibat dalam pertanian atau perikanan moden.
“Produktiviti pekerja boleh me-ningkat dengan mempraktikkan amalam pertanian yang baik, penggunaan teknologi baru dan peralihan kepada aktiviti pertanian bersepadu dan pengeluaran komersial berskala besar,” cadangnya.
Mengenai masalah birokasi dalam urusan pinjaman bantuan kewangan, Jamil berkata kerajaan harus meneliti lagi persoalan birokrasi yang wujud agar hasrat kerajaan meningkatan hak pemilikan modal saham kaum bumiputera tercapai.
Apapun katanya, usaha keras daripada kaum Melayu sendiri amat perlu kerana bantuan kerajaan semata-mata bukan jaminan kesenangan jangka panjang dapat dinikmati.
Bukan hanya kaum Melayu yang perlu berbuat demikian tetapi semua kaum bumiputera di negeri ini supaya mereka mempunyai status sosioekonomi setaraf kaum bukan bumiputera, tambahnya lagi.
Subscribe to:
Posts (Atom)
Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.
Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...
-
Takziah Kepada Keluarga CM KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawata...
-
KAEDAH MELARUTKAN STOK A DAN B Pada masa kini, ramai masyarakat diluar mula mendapat kesedaran dan berminat bercucuk tanam ...
-
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009 KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Tai...