BERSAMA MENCARI KEKAYAAN YANG DI ANUGERAHKAN OLEH ALLAH SWT. JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN DAN ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI.
4/18/2009
Sekadar Ingin Tahu
Zambry dan enam Adun BN tidak boleh hadiri sidang Dun Perak
Mohamed Hanipa Maidin
Saya sedar ramai yang ingin tahu kesan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 16 April lalu yang memutuskan bahawa keputusan V.Sivakumar, Speaker Perak menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya hadir di Dun Perak selama 18 bulan dan 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
Ramai yang bertanya saya adakah keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam exconya kini boleh menghadiri sidang Dun Perak?
Jika kita melihat kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar pro-Umno seperti Utusan Malaysia (17.4.2009) mereka dengan tidak bertanggungjawab menyatakan bahawa Zambry dan enam exconya kini dibenarkan menghadiri sidang Dun Perak yang mungkin akan diadakan dalam masa terdekat.
Sebagai salah seorang peguam yang terlibat dalam kes tersebut, saya menasihati rakyat agar tidak terkeliru dengan kenyataan peguam Umno dan laporan akhbar Umno tersebut. Banyak yang mereka sembunyikan dan tidak jelaskan tentang apa yang sebenarnya berlaku di Mahkamah Persekutuan pada tarikh tersebut.
Marilah kita mulakan dengan melihat apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya di dalam saman yang mereka kemukakan ke atas Sivakumar di Mahkamah Tinggi dan kemudiannya didengar di Mahkamah Persekutuan.
Sebenarnya Zambry telah memohon sepuluh (10) perintah Mahkamah dan dari sepuluh perintah tersebut Mahkamah hanya membenarkan dua (2) perintah sahaja. Dua perintah yang dibenarkan oleh Mahkamah adalah seperti berikut:
Pertama, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang Zambry hadir di Dun Perak selama 18 bulan.
Kedua, perintah membatalkan keputusan V. Sivakumar yang menggantung dan melarang enam exco Zambry untuk hadir di Dun Perak selama 12 bulan adalah terbatal dan tak sah.
lapan permohonan Zambry tidak dilulus Mahkamah
Itu sahaja dua perintah yang Mahkamah Persekutuan benarkan pada 16 April lalu. Tidak lebih dari itu. Apa sahaja kenyataan dari peguam Umno selain dari dua perintah tersebut bukanlah perintah Mahkamah sebaliknya adalah kenyataan mereka yang tidak berasas.
Memandangkan Mahkamah Persekutuan hanya membenarkan dua perintah di atas, adalah jelas Mahkamah tidak membenarkan lapan (8) perintah lain yang juga dipohon oleh Umno dan dihujahkan oleh para peguam Zambry dan pasukan peguam Sivakumar.
Apakah perintah-perintah yang dipohon oleh Zambry dan enam exconya tetapi tidak dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan? Mari sama-sama kita saksikan lapan perintah yang TIDAK DIBENARKAN tersebut.
Meskipun peguam Umno berhempas pulas dan bermati-matian berhujah, Mahkamah Persekutuan TIDAK MEMBENARKAN perintah-perintah berikut:
1. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar (defendan pertama di dalam kes tersebut) menggantung dan melarang Plaintif Pertama (Zambry) menghadiri pada sidang Dun selama 18 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
2. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry menghadiri sidang DUN selama 18 bulan adalah menyalahi undang-undang.
3. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Plaintif ke-2 hingga Plaintif ke-7 (enam Exco) menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah ultra vires (bertentangan) dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undang Negeri Perak (standing orders) dan Enakmen Dewan Perhimpunan Undangan (Keistimewaan) 1959 dan/atau undang-undang yang berkaitan dan oleh itu adalah terbatal dan tak sah.
4. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa perbuatan Sivakumar menggantung dan melarang enam Exco menghadiri sidang Dun selama 12 bulan adalah menyalahi undang-undang.
5. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Zambry dan enam Exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka di dalamnya.
6. Perintah untuk Mahkamah mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan keputusan Sivakumar menggantung dan melarang Zambry dan enam Exconya menghadiri sidang Dun Perak.
7. Perintah untuk mengisytiharkan bahawa Dun Perak adalah tidak terikat dengan apa-apa arahan, perintah dan/atau petunjuk Sivakumar yang berbangkit daripada atau berhubung dengan keputusan Sivakumar yang bertarikh 18.2.2009.
8. Perintah-perintah, perisytiharan dan/atau relif lain yang difikir suaimanfaat oleh Mahkamah.
Sekali lagi saya ingin tegaskan di sini bahawa lapan perintah di atas yang Zambry dan enam exconya pohon TIDAK DIBENARKAN oleh Mahkamah Persekutuan.
Atas dasar itu jika peguam Umno atau akhbar pro-Umno mengatakan bahawa Zambry dan enam exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak, jelas kenyataan itu bukan datang dari mana-mana perintah Mahkamah sebaliknya ianya hanya kenyataan tidak berasas dari peguam Umno dan akhbar mereka.
Kenyataan tersebut tidak mempunyai apa-apa nilai di sisi undang-undang. Rakyat tidak perlu melayan kata-kata mereka yang dibuai khayalan tersebut.
Bagaimanakah Umno boleh mengatakan keputusan tersebut bermakna Zambry dan enam Exconya boleh menghadiri sidang Dun Perak sedangkan Mahkamah dengan secara jelas tidak membenarkan perintah yang mereka pohon iaitu perintah bahawa Zambry dan enam exconya adalah berhak menghadiri dan mengambil bahagian dalam semua sidang Dun dan menjalankan segala fungsi dan kewajipan mereka dalamnya.
Kalau perintah tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Persekutuan barulah mereka boleh mengatakan Zambry dan enam exconya boleh ke sidang Dun Perak.
Saya harap penjelasan di atas sedikit sebanyak dapat menjelaskan bahawa apa yang Umno kata di media massa adalah tidak menggambarkan apa yang sebenarnya berlaku.
Sivakumar masih Speaker dan beliau masih berbisa. Jika Umno terus mengeluarkan kenyataan mengelirukan tidak mustahil mereka mungkin akan dipatuk oleh Sivakumar dan saya percaya patukan selepas ini akan membuat Umno menderita lebih panjang.
Saya juga ingin tegaskan di sini apabila Zambry dan enam exconya membawa kes mereka di Mahkamah dengan mencabar keputusan Sivakumar sebagai Speaker yang sah, mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang melakukan satu kesalahan kerana mendedahkan dokumen-dokumen rasmi Dun Perak tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu dari Sivakumar sebagai Speaker.
Marilah kita sama-sama tunggu dan lihat apakah yang berlaku selepas ini.
Nota: Penulis ialah Pengerusi Lajnah Undang-undang dan hak Asasi Manusia PAS Pusat.- tajdid_
sumber - harakah online
Fri | Apr 17, 09 | 10:14:14 pm MYT
#########################################################
Dakwaan campur tangan terhadap kuasa speaker silap - Nazri
18/04/2009 2:24pm = Utusan Online
KUALA KANGSAR, 18 April — Dakwaan Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco daripada menghadiri persidangan Dewan sebagai satu bentuk campur tangan kuasa seseorang Speaker adalah satu kenyataan yang silap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata tidak timbul soal badan kehakiman mencampuri hal legislatif berhubung keputusan itu kerana mahkamah sebenarnya adalah tempat terbaik untuk mendapat penyelesaian berkenaan dengan tafsiran sesuatu perlembagaan ataupun undang-undang.
Beliau berkata undang-undang tidak berhajat memberikan seseorang Speaker dengan satu kuasa yang tidak terbatas, lebih-lebih lagi jika tindakan Speaker itu jelas tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.
“Kita semua tahu daripada segi prosedur, itu (tindakan menggantung) salah tapi dia (Sivakumar) kata dia betul. Jadi untuk menentukan siapa betul... siapa salah, kita pergi ke mahkamahlah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan dengan perlembagaan dan juga peraturan DUN.
“Jadi bagi saya dalam perkara ini tidak ada lain tempat melainkan pada mahkamah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan sama ada Sivakumar mempunyai hak yang tidak terbatas ataupun telah mengikuti peraturan DUN dalam dia mengharamkan Menteri Besar dan enam Exco tidak boleh datang ke Dewan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
#############################################
Notis sidang DUN dikeluar tanpa pengetahuan saya - Sivakumar
18/04/2009 3:32pm Utusan Online
IPOH, 18 April — Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V. Sivakumar hari ini mendakwa notis untuk DUN Perak bersidang pada 7 Mei ini telah dikeluarkan Setiausaha DUN Perak Abdullah Antong Sabri tanpa pengetahuan dan persetujuan beliau (Sivakumar) terlebih dahulu.
Sehubungan itu, Sivakumar berkata beliau telah menggantung tugas Abdullah sebagai Setiausaha DUN kerana mengeluarkan notis tersebut yang dianggap sebagai satu tindakan ketidakpatuhan.
“Saya dengan ini bersetuju melantik Mohd Misbahul Munir Marduki untuk menggantikan beliau sebagai Setiausaha DUN sehingga saya mengeluarkan keputusan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma DAP di sini hari ini.
Sivakumar berkata akan menulis surat untuk mendapatkan pengesahan dan penjelasan daripada pihak Istana berhubung perkara itu kerana sebarang notis untuk memanggil DUN bersidang mestilah dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan Speaker.
“Sementara itu, persidangan DUN yang dikatakan akan berlangsung pada 7 Mei tidak boleh diteruskan sementara menunggu untuk mendapatkan penjelasan.
Persidangan DUN berkenaan terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh lain berikutan keperluan untuk memberikan notis 14 hari kepada Anggota DUN,” katanya.
Semalam Abdullah mengesahkan bahawa beliau telah mengeluarkan notis untuk bersidang pada 7 Mei kepada semua anggota DUN mulai semalam.
Abdullah juga berkata pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung persidangan DUN itu semalam dan baginda berkenan menandatangani surat pengisytiharan berhubung persidangan itu.
Kali terakhir DUN Perak bersidang adalah pada 13 Nov 2008 dan sekiranya dewan berkenaan tidak bersidang dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir itu maka DUN Perak akan bubar secara automatik dan pilihan raya bagi DUN perlu diadakan.
— BERNAMA
#########################################
Mahkamah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires' - Dr Aziz Bari
Tarmizi Mohd Jam
KUALA LUMPUR, 18 April (Hrkh) - Meskipun keputusan mahkamah mengisytiharkan tindakan Speaker DUN Perak menggantung Dato Dr Zambry Kadir mengecewakan banyak pihak, ia terpaksa diterima.
Demikian kata Profesor Dr Abdul Aziz Bari ketika diminta mengulas keputusan mahkamah tertinggi negara pada 16 April lalu. Dalam keputusan lisannya mahkamah membuat keputusan sebulat suara. Ketika menyampaikan keputusan itu Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Sherif memutuskan bahawa Speaker V. Sivakumar tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
Aziz berkata, perlembagaan - baik negeri maupun persekutuan - tidak menyatakan dengan jelas kuasa-kuasa speaker dan selama ini undang-undang dan amalan yang ada baik di Malaysia dan seluruh Komanwel ialah ia tertakluk kepada budi bicara speaker dan ini dipandu oleh 'Standing Orders' atau peraturan dewan. Ini mempunyai asas di dalam perlembagaan dan kuasa mentafsir 'Standing Orders' itu ialah kuasa mutlak speaker.
"Saya tidak tahu apakah asas Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan tindakan Speaker DUN tidak sah. Dari mana mahkamah mendapat kuasa berbuat demikian?" soal profesor undang-undang itu.
Aziz berkata apa yang jelas ialah perlembagaan tidak membenarkan mahkamah mencampuri urusan dan prosiding dewan. Katanya ini dinyatakan dengan jelas oleh Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 72; khususnya 72(1) yang dengan jelas menyebut bahawa "Sahnya apa-apa perjalanan dalam mana-mana Dewan Negeri tidak boleh dipersoal dalam mana-mana mahkamah".
Dengan itu, Aziz berpendapat, mahkamah telah bertindak di luar kuasa atau 'ultra vires'.
Ditanya mengenai Perkara 63 Perlembagaan Negeri Perak beliau berkata: "Peruntukan itu hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Persekutuan untuk mentafsir perlembagaan negeri. Peruntukan ini tidak memberi lesen kepada mahkamah untuk berbuat sesuka hati dan membelakangkan perlembagaan."
Beliau bersetuju dengan pandangan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk NH Chan yang mengkritik keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai isu tersebut.
Mengenai soal pembahagian kuasa (separation of powers) pula Aziz mendedahkan Mahkamah Persekutuan memang masih kabur tentang konsep itu. Katanya, "Sesiapa yang tak percaya sila baca keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Kok Wah Kuan (2008) yang menangani isu berkenaan".
Aziz menyeru Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi sebagai ketua badan kehakiman mengambil perhatian dan memberi penghakiman muktamad mengenai isu pemisahan kuasa yang menjadi idea pokok dalam konflik undang-undang mengenai kuasa speaker itu.
Aziz berkata kekaburan dan kekeliruan itu menyebabkan mahkamah terlalu menumpukan kepada isu-isu teknikal dan prosedur yang sepatutnya dibaca dalam konteks teori tadi. Beliau berharap Mahkamah Persekutuan mengeluarkan keputusan bertulis secepat mungkin supaya kita dapat mengetahui asas keputusannya.
"Setakat ini ia masih kabur dan kalau kita melihat isu ini dalam konteks pemisahan kuasa yang menjadi tunjang kepada perlembagaan itu keputusan itu adalah keputusan yang salah".
Bagaimanapun, oleh kerana Mahkamah Persekutuan adalah mahkamah paling tinggi yang sekaligus memainkan peranan mahkamah perlembagaan maka isu itu terhenti di situ. Aziz berkata terpulang kepada ahli-ahli politik untuk menjelaskan kepada rakyat isu yang sulit dan kontroversial ini.
"Merekalah hakim yang sebenar dalam kemelut politik di Perak. Apa yang malang ialah semua institusi yang sepatutya mempertahankan perlembagaan gagal berbuat demikian," ujarnya.
Sebelum ini tokoh-tokoh dan NGO tertentu seperti Datuk Param Coomaraswamy (bekas Presiden Majlis Peguam), Prof. Dr Shad Faruqi dan ALIRAN meragui keberkesanan penyelesaian melalui jalan mahkamah.- tmj_
Harakah online Sat | Apr 18, 09 | 6:04:00 pm MYT
##############################################
Dakwaan campur tangan kuasa Speaker silap
BH Online 18/04/2009
KUALA KANGSAR: Dakwaan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak dan enam Exco daripada menghadiri persidangan Dewan sebagai satu bentuk campur tangan kuasa seseorang Speaker adalah satu kenyataan yang silap.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata tidak timbul soal badan kehakiman mencampuri hal legislatif berhubung keputusan itu kerana mahkamah sebenarnya adalah tempat terbaik untuk mendapat penyelesaian berkenaan dengan tafsiran sesuatu perlembagaan atau undang-undang.
Beliau berkata undang-undang tidak berhajat memberikan seseorang Speaker dengan satu kuasa yang tidak terbatas, lebih-lebih lagi jika tindakan Speaker itu jelas tidak mengikut undang-undang dan peraturan yang ada.
"Kita semua tahu daripada segi prosedur, itu (tindakan menggantung) salah tapi dia (Sivakumar) kata dia betul. Jadi untuk menentukan siapa betul... siapa salah, kita pergi ke mahkamahlah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan dengan perlembagaan dan juga peraturan DUN.
"Jadi bagi saya dalam perkara ini tidak ada lain tempat melainkan pada mahkamah untuk mendapat tafsiran sebenarnya berkenaan sama ada Sivakumar mempunyai hak yang tidak terbatas ataupun telah mengikuti peraturan DUN dalam dia mengharamkan Menteri Besar dan enam Exco tidak boleh datang ke Dewan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.
Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...
-
Takziah Kepada Keluarga CM KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawata...
-
KAEDAH MELARUTKAN STOK A DAN B Pada masa kini, ramai masyarakat diluar mula mendapat kesedaran dan berminat bercucuk tanam ...
-
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009 KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Tai...
No comments:
Post a Comment