BERSAMA MENCARI KEKAYAAN YANG DI ANUGERAHKAN OLEH ALLAH SWT. JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN DAN ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI.
4/24/2009
Saham Cina Habis
MCA ulas isu 'saham Cina habis'
Lee Wei Kiat | Apr 24, 09 4:18pm (malaysiakini online)
komentar Malaysia cukup istimewa bukan sahaja kerana kepelbagaiannya dari segi budaya, makanan dan bahasa; tetapi juga kesanggupan masyarakat berbilang kaum hidup dan bekerja sebumbung secara harmoni.
Keupayaan masyarakat majmuk Malaysia untuk wujud bersama, saling menghormati dan saling menghargai inilah yang menjadikan kita negara teladan kepada negara-negara lain yang masih dibelenggu dengan masalah perkauman.
Namun begitu, keharmonian ini ada kalanya diganggu-gugat oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.
Contohnya, dengan menguar-uarkan bahawa 'Amanah Saham Malaysia (ASM) kaum Cina habis' dalam sebuah akhbar arus perdana yang memaparkan bahawa masyarakat Cina adalah golongan kaya dan berkemampuan.
Laporan ini mungkin mengelirukan pembacanya yang kebanyakannya berbangsa Melayu. Penjelasan yang kabur mungkin mengundang pelbagai tafsiran yang berbeza-beza.
Perkara ini harus dielakkan supaya tidak menimbulkan perasaan tidak puas hati atau salah faham yang boleh memudaratkan keharmonian kaum.
Penggunaan frasa "ASM kaum Cina habis" seolah-olah memberi gambaran bahawa kaum Cina kaya-raya walaupun negara kita dilanda krisis ekonomi dunia.
Perlu diingatkan masyarakat Cina lazimnya menabung demi kegunaan masa depan. Mereka lebih suka menabung sebagai persiapan untuk menghadapi hari-hari sukar, daripada mengharapkan bantuan sesiapa.
Amalan menabung ini memang satu tradisi dan sudah lama tersemat dalam diri masyarakat Cina.
Sememangnya, pembelian saham berdasarkan kuota kaum amatlah tidak kena pada tempatnya kerana rakyat Malaysia masih dibahagi-bahagikan mengikut kaum.
Rupa-rupanya pembahagian seperti ini satu-satu caranya untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan menyusun semula masyarakat setelah 52 tahun negara mencapai kemerdekaan.
Harus diingatkan biarpun semua kuota ASM kaum Cina atau mana-mana kaum lain habis dibeli dalam masa yang singkat, tetapi bukan semua orang Cina terlibat dalam pembelian ASM.
Besar kemungkinan cuma sebilangan kecil orang Cina yang membeli ASM dengan jumlah unit yang besar kerana had setiap pembeli adalah RM 20,000.
Pandangan bahawa semua orang Cina kaya dan mampu adalah tidak benar dan tidak berasas sama sekali.
Jika kita berpeluang turun ke padang dan meninjau keadaan sebenarnya, masih ada kelompok masyarakat Cina di kawasan luar bandar dan bandar yang terpaksa hidup dalam kemiskinan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Melihat dari sudut yang lebih positif pula, sambutan luar dugaan masyarakat Cina terhadap skim ASM membuktikan bahawa komuniti ini amat peka kepada peluang-peluang pelaburan yang ada, sama ada dilancarkan oleh kerajaan atau sektor swasta.
Hakikatnya, mereka juga sedar apakah yang terbaik dan dapat menjamin masa depan diri dan keluarga mereka.
Mereka sentiasa melihat ke hadapan dan berada dalam keadaan kesiapsiagaan untuk berhadapan dengan segala macam cabaran yang mendatang.
Lebih penting lagi, sambutan luar dugaan terhadap skim ASM ini bukti kukuh bahawa mereka menaruh kepercayaan tinggi kepada skim-skim amanah yang diperkenalkan kerajaan.
Mereka membeli unit-unit dana ASM ini kerana yakin akan keberkesanan, pulangan dan juga kredibiliti kukuh yang dimiliki oleh agensi kerajaan yang menguruskan dana berkenaan.
Lee Wei Kiat, jurucakap rasmi MCA, mengulas laporan utama muka depan Utusan Malaysia semalam berjudul 'ASM kaum Cina habis' . Berita itu menyebut kesemua 999 juta unit - diperuntukkan kaum tersebut - telah habis terjual dalam sehari, sementara bumiputera hanya membeli 7.65 juta daripada peruntukan 1.665 bilion unit.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Masih tertumpu pada ASB, ASN
Oleh NORAINI NORDIN
pengarang@utusan.com.my - Utusan online 24/04/2009
KUALA LUMPUR 23 April - Kurangnya sambutan bumiputera untuk melanggan unit dana Amanah Saham Malaysia (ASM) kerana minat mereka masih tertumpu kepada pelaburan dalam saham amanah sedia ada termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).
Selain itu, kaum bumiputera juga berpeluang untuk melabur dalam pelbagai saham amanah lain yang diperuntukkan kepada mereka sejak awal 80-an lagi.
Pandangan ini dikemukakan oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli akademik ketika diminta mengulas mengenai kurangnya sambutan bumiputera terhadap unit tambahan ASM yang diumumkan Isnin lalu.
Berbeza dengan kaum Cina, kesemua 999 juta unit-unit dana ASM yang diperuntukkan pada mereka dan mula dijual kelmarin habis dilanggan sepenuhnya.
Bagaimanapun daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada bumiputera, hanya 7.65 juta sahaja yang berjaya dijual manakala 53.5 juta daripada 499.5 juta peruntukan kepada kaum India telah dilanggan.
Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata, kurangnya sambutan bumiputera untuk melabur dalam ASM bukan kerana tidak berkemampuan tetapi mempunyai peluang melabur dalam mana-mana saham amanah yang banyak ditawarkan kepada mereka sebelum ini.
Tambahan pula, katanya, dana ini adalah tawaran unit tambahan yang masih baru dibuka untuk langganan dan terlalu awal untuk dibuat kesimpulan mengenai minat kaum itu untuk melabur dalam saham-saham tersebut.
''Oleh itu kurangnya sambutan untuk unit-unit saham ini tidak boleh dikaitkan dengan ketidakmampuan bumiputera untuk melabur,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu berpendapat, sambutan kurang menggalakkan kaum bumiputera terhadap ASM juga tidak boleh dikaitkan dengan ekonomi semasa kerana peratus yang terjejas agak kecil.
Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan Fakulti Ekonomi UKM, Prof. Azmi Harun juga berpendapat, faktor kurang sambutan bumiputera terhadap ASM juga ada kaitannya dengan saham-saham amanah yang diperkenalkan sebelum ini.
Katanya, bumiputera mempunyai banyak pilihan untuk melabur dalam mana-mana saham amanah yang dibuka untuk mereka.
Tambahnya, sambutan kurang mungkin kerana kesedaran kaum bumiputera terhadap kepelbagaian melabur dalam saham-saham amanah yang lain juga agak rendah.
Katanya, situasi ini berbeza dengan kaum Cina kerana peluang untuk mereka melanggan saham-saham amanah agak terhad.
Pensyarah ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah juga memberi pendapat sama iaitu rata-rata bumiputera lebih tertumpu untuk menambah pelaburan dalam ASB atau ASN.
Selain itu, katanya, kemampuan bumiputera untuk menabung masih terhad berbanding dengan kaum Cina.
Katanya, kebanyakan kaum bumiputera di negara ini masih lagi bergelut dengan keperitan hidup terutama yang tinggal di kawasan bandar.
''Kos hidup tinggi juga menjadi faktor yang menghalang mereka untuk melabur dalam amanah-amanah saham yang diperkenalkan,'' katanya.
Ahli akademik yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Mad Shukri Shuib berkata, kurangnya sambutan bumiputera terhadap ASM bukan tanda penolakan kepada amanah saham tersebut.
Sebaliknya beliau berpendapat bumiputera lebih cenderung memilih ASB dan ASN kerana pulangan dividen tinggi dan mudah diuruskan.
''Mungkin juga kebanyakan bumiputera suka melabur dalam satu tabungan sahaja kerana bagi mereka lebih mudah untuk menguruskan kewangan tersebut,'' katanya.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Lee Yok Fee berkata, kaum Cina merebut peluang melabur dalam ASM kerana peluang mereka untuk melabur dalam saham-saham amanah yang lain sangat terhad.
Katanya, ASM yang berisiko rendah dan dijamin kerajaan menyebabkan mereka tidak mahu menolak peluang itu.
Beliau mengakui sejak dahulu lagi kaum Cina mempunyai kesedaran yang tinggi dalam pelaburan yang boleh menguntungkan mereka.
''Latar belakang kehidupan kaum Cina yang pernah menempuhi kehidupan yang perit sewaktu mula-mula berhijrah ke negara ini menyebabkan mereka sangat berhati-hati untuk melabur. Sudah pasti ASM menjadi pilihan mereka dalam menjana pendapatan untuk hari tua,'' katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.
Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...
-
Takziah Kepada Keluarga CM KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawata...
-
KAEDAH MELARUTKAN STOK A DAN B Pada masa kini, ramai masyarakat diluar mula mendapat kesedaran dan berminat bercucuk tanam ...
-
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009 KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Tai...
No comments:
Post a Comment