4/14/2009

Pendapatan antara kaum masih tidak seimbang

Oleh Patrici Gari - Utusan Borneo Online 13/04/2009 Link Indeks ekonomi, sosial, komposit pembangunan S’wak 2005 juga lebih rendah daripada purata negara BENARKAH pemilikan modal yang rendah, kebergantungan kepada ekonomi tradisional, masalah birokrasi dan dan tahap pendidikan serta guna tenaga rendah menyebabkan status sosioekonomi masyarakat Melayu di Sarawak masih rendah berbanding kaum Melayu di negeri-negeri lain? Pensyarah yang juga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Kota Samarahan Prof Madya Dr Jamil Hamali berkata indeks ekonomi, sosial dan komposit pembangunan Sarawak 2005 masih di tahap lebih rendah daripada purata negara. Walaupun kadar pertumbuhan tahunan purata untuk keluaran dalam negeri kasar Sarawak kata Jamil adalah agak baik berbanding negeri-negeri lain, pendapatan isi rumah bulanan purata Sarawak masih berada pada tahap lebih rendah daripada Malaysia secara amnya. Situasi itu ujarnya telah menyumbang kepada kadar kemiskinan yang lebih tinggi di negeri ini. “Jika dibandingkan dengan kaum Cina dan kaum bukan bumiputera yang lain, pendapatan Melayu Sarawak masih jauh lebih rendah tetapi apabila dibanding dengan Melayu di Sabah dan kaum bumiputera lain di negeri ini, kedudukan pendapatan purata Melayu Sarawak lebih tinggi pada 2007 (Rancangan Malaysia Ke-9),” jelasnya dalam satu kertas kerja yang dibentang baru-baru ini. Kertas kerja yang turut mendapat sumbangan idea dua lagi pensyarah UiTM iaitu Prof Madya Dr Rosita Suhaimi dan Dr Nurhani Aba Ibrahim itu dibentangkan pada Seminar Budaya Melayu Sarawak Ke-V lalu. Jamil menambah kata, situasi itu menggambarkan ketidakseimbangan dalam pengagihan pendapatan antara kaum di negara ini dan juga Sarawak. Pelbagai faktor menyumbang kepada status ekonomi Melayu yang rendah ialah majoriti masih terlibat dalam sektor ekonomi tradisional, kekurangan modal, masalah kerenah birokrasi (mendapatkan bantuan kewangan) dan pembangunan tenaga manusia yang rendah. Tidak dinafikan Sarawak telah banyak membangun sejak merdeka dalam Malaysia iaitu hampir 46 tahun lalu terutama dalam peningkatan pendapatan per kapita, kualiti hidup dan status sosioekonomi penduduk negeri ini. Namun matlamat untuk mencapai sasaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk menghapuskan kemiskinan dalam pelbagai dimensi dan identifikasi kaum mengikut fungsi mereka masih jauh lagi, tambahnya. Berdasarkan pelbagai Laporan Ekonomi dan Rancangan Malaysia, umum sedia maklum purata pendapatan bulanan isi rumah (PPBI) bumiputera Sarawak dan Sabah serta Orang Asli di semenanjung adalah lebih rendah daripada PPBI bagi seluruh Malaysia selama ini. Bermakna pendapatan Melayu Semenanjung sudah tentu lebih tinggi berbanding PPBI bumiputera lain dan apabila PPBI bumiputera Sarawak dan Sabah dianalisis mengikut bangsa, PPBI Melayu Sarawak (RM3,503) didapati 11 peratus lebih tinggi berbanding PPBI bumiputera Semenanjung (RM3,156) pada 2007, jelas Jamil. Dalam konteks kaum Bumiputera Sarawak pula, Melayu didapati memperoleh pendapatan PPBI lebih tinggi berbanding Iban, Bidayuh, Melanau dan bumiputera lain. “Walaupun PPBI Melayu Sarawak dianggap tinggi di kalangan bangsa-bangsa bumiputera di Malaysia, ia belum mampu lagi mengatasi PPBI Cina, India dan bukan bumiputera. “Bagi kes Sarawak, PPBI Cina dan bukan bumiputera lain adalah RM4,768 dan RM4,996, jumlah yang jauh lebih tinggi daripada PPBI Melayu iaitu RM3,503,” katanya. Namun menurut Jamil apabila pendapatan purata Malaysia diambil kira jurang perbezaan pendapatan antara Melayu dengan kaum Cina, India dan bukan bumiputera lain masih besar. Menjelas lanjut isu itu, Jamil berkata beberapa faktor penyebab perbezaan tahap pendapatan antara Melayu Sarawak dengan kaum lain seperti tahap pendidikan, penglibatan dalam sektor ekonomi tradisional, pemilikan modal yang rendah dan birokrasi dalam mendapat sokongan kewangan. Jurang pencapaian tahap pendidikan di Semenanjung Malaysia bagi semua kategori antara bumiputera dan Cina tidak jauh berbeza namun situasi itu tidak berlaku di Sarawak. Pada tahun 2007 misalnya, pencapaian tahap pendidikan tertiari (pendidikan tinggi) Cina jauh lebih tinggi berbanding taraf akademik kaum bumiputera di negeri ini. “Sebanyak 21.1 peratus daripada kaum Cina mempunyai pendidikan tertiari manakala bumiputera hanya 13.8 peratus. Bermakna orang Melayu yang mempunyai tahap pendidikan tertiari masih rendah. “Kaum Cina juga masih mendominasi tahap pendidikan menengah dengan 59.1 peratus daripada mereka memilikinya pada 2007,” beritahu Jamil. Manakala hanya 45.8 peratus kaum bumiputera tambahnya berjaya memperoleh taraf pendidikan menengah. “Lebih menyedihkan masih terdapat terlalu ramai kaum bumiputera, iaitu 12.7 peratus tiada pendidikan rasmi berbanding hanya 1.7 peratus sahaja kaum Cina dalam kategori sama pada 2007,” jelasnya lagi. Selain faktor pencapaian tahap pendidikan guna tenaga bumiputera yang rendah di Sarawak, didapati guna tenaga bumiputera masih banyak terlibat dalam sektor ekonomi tradisional. Pada 2007 katanya 33.4 peratus bumiputera di Sarawak terlibat dalam pekerjaan berkaitan pertanian dan perikanan sedangkan hanya 7.5 peratus daripada kaum Cina terlibat dalam bidang berkenaan. “Ketika ramai bumiputera terlibat dalam sektor perindustrian, kaum Cina lebih menonjol dalam pekerjaan profesional, penggubal undang-undang, pegawai kanan dan pengurus, juruteknik dan profesional bersekutu. “Sebanyak 35 peratus daripada kaum Cina di Sarawak terlibat dalam pekerjaan tersebut, di Sabah 40.6 peratus dan 34.2 peratus di Semenanjung Malaysia pada 2007,” beritahu beliau. Apabila melihat penglibatan kaum bumiputera dalam sektor-sektor pekerjaan sama tambahnya, hanya 18.8 peratus di Sarawak, 19.5 peratus di Sabah dan 28.1 peratus di Semenanjung Malaysia. “Peratusan kaum Melayu yang terlibat dalam pekerjaan-pekerjaan berkenaan dijangkakan lebih kecil di Sarawak dan Sabah kerana bumiputera di kedua-dua negeri ini daripada pelbagai pecahan etnik,” jelasnya. Jamil berkata pemilikan modal yang masih rendah juga menyumbang kepada situasi berkenaan. Katanya pemilikan modal yang rendah boleh menyebabkan ketidakupayaan menjana pendapatan lebih tinggi. Menurutnya pemilikan modal saham bumiputera pada nilai tara meningkat daripada RM63 bilion pada 2000 kepada RM100 bilion pada 2004 (RMK9). Jamil bagaimanapun mem-beritahu secara kesuluruhannya bumiputera masih belum mencapai pemilikan modal 30 peratus seperti dikehendaki dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pada tahun 2000, bumiputera hanya berjaya memiliki 18.9 peratus daripada modal saham syarikat Berhad dan peratusan pemilikan itu masih tidak berubah empat tahun kemudian, katanya. “Kaum Cina terus mengungguli hak milik modal sebanyak 38.9 peratus (2000) dan meningkat kepada 39.0 peratus pada 2004. “Biarpun tiada maklumat diperoleh bagi pecahan hak milik modal di Sabah dan Sarawak tetapi diramal peratusan hak milik modal Melayu di kedua-dua negeri ini masih kurang berbanding bumiputera di Semenanjung,” beritahu Jamil lagi. Jamil dalam pada itu tidak menafikan kerajaan sentiasa berusaha membantu usahawan bumiputera di negeri ini dengan RM72 juta telah diperuntukkan bagi Sarawak untuk membina premis perniagaan dan perindustrian dalam tempoh RMK9. Pada masa sama katanya, bantuan lain daripada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau Dewan Perniagaan boleh diperolehi tetapi usahawan bumiputera masih merungut dengan sistem birokrasi pemprosesan pinjaman. “Pelbagai syarat dan terma harus dipenuhi untuk mendapatkan pinjaman kewangan. Akibatnya secara keseluruhan ramai usahawan bumiputera dibelenggu masalah modal,” ujarnya. Justeru Jamil berkata langkah proaktif pelu diambil masyarakat Melayu (Sarawak) sendiri untuk meningkatkan status sosioekonomi mereka antaranya mempertingkatkan lagi taraf pendidikan dan kemahiran modal insan. Umum sedia maklum pendi-dikan adalah kunci perubahan status sosioekonomi seseorang dan modal insan negara berkualiti merupakan elemen paling kritikal untuk menjana pendapatan lebih tinggi, ujar Jamil. Hubungan korelasi positif dan signifikan antara pencapaian tahap pendidikan dan pendapatan telah dibuktikan dalam Kajian Unit Perancang Negeri Sarawak (2003). “Oleh itu untuk meningkatkan kualiti sumber tenaga manusia amnya dan pendidikan kaum Melayu (Sarawak) khususnya, pelaburan dalam pendidikan mesti dipertingkatkan lagi,” katanya. Bukan itu sahaja katanya, Melayu di negeri ini mesti sanggup dan bersedia beralih kepada sektor ekonomi yang lebih produktif selain mempelbagaikan sumber pendapatan. Dalam konteks itu Jamil berkata kerajaan perlu memberi sokongan dan peluang kepada kaum Melayu terlibat dalam pertanian atau perikanan moden. “Produktiviti pekerja boleh me-ningkat dengan mempraktikkan amalam pertanian yang baik, penggunaan teknologi baru dan peralihan kepada aktiviti pertanian bersepadu dan pengeluaran komersial berskala besar,” cadangnya. Mengenai masalah birokasi dalam urusan pinjaman bantuan kewangan, Jamil berkata kerajaan harus meneliti lagi persoalan birokrasi yang wujud agar hasrat kerajaan meningkatan hak pemilikan modal saham kaum bumiputera tercapai. Apapun katanya, usaha keras daripada kaum Melayu sendiri amat perlu kerana bantuan kerajaan semata-mata bukan jaminan kesenangan jangka panjang dapat dinikmati. Bukan hanya kaum Melayu yang perlu berbuat demikian tetapi semua kaum bumiputera di negeri ini supaya mereka mempunyai status sosioekonomi setaraf kaum bukan bumiputera, tambahnya lagi.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...