2/09/2010

Kesan Sihat Kepelbagaian Suara Melayu

SATU perkembangan menarik yang berlaku kepada bangsa Melayu selepas pilihan raya umum 2004 adalah penyemarakan semula kepelbagaian suara.


Walaupun Melayu mempunyai banyak badan dan pertubuhan sukarela akar umbi, namun untuk jangka masa yang agak lama, suara mereka jarang kedengaran atau tidak lantang.

Mereka berasa lega dan yakin menyerahkan penentuan agenda hala tuju bangsa Melayu dan agama kepada parti-parti politik yang mewakili mereka dan kepada pentadbiran awam yang majoriti anggotanya adalah Melayu.

Tetapi keselesaan dan kelegaan orang Melayu mula terganggu dan akhirnya menjadi keresahan apabila Pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi dilihat sebagai hilang arah tuju, menjadi elitis dan dikuasai oleh segelintir pembantu, penasihat serta sahabat handai.

Pentadbiran Abdullah membuka pintu penyuaraan melalui dasar liberalisme dan keterbukaannya, tetapi gagal memacu agenda itu.

Dalam masa yang singkat, dasar itu dirampas dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh pembangkang, khasnya parti-parti yang mewakili kaum Cina dan India.

Provokasi politik mereka melalui tunjuk perasaan dan tindakan mahkamah melemahkan parti-parti bukan Melayu Barisan Nasional yang tidak boleh membuat tuntutan melampau kerana menghormati kontrak sosial BN.

Menjelang PRU 2008, majoriti pengundi Cina dan India berpindah kepada pakatan longgar DAP-PKR-Pas manakala ramai pengundi Melayu, termasuk ahli dan penyokong Umno, sama ada memulau pilihan raya atau mengundi pembangkang “untuk mengajar BN.”

Walaupun Umno masih merupakan parti terkuat di Malaysia dan menjadi penyelamat BN dalam PRU 2008, imejnya telah tercalar dan kepemimpinannya tidak lagi disanjung tinggi oleh orang Melayu.

Akibat perubahan pola politik nasional itu, yang bermula dengan agenda liberalisme Abdullah dan kegagalan BN memacu agenda berkenaan, Umno dan BN menjadi lemah.

Kepada orang Melayu yang berkesedaran dan mampu bersuara, kelemahan Umno ini dilihat sebagai punca pelbagai perkembangan yang mencabar dan merugikan kepentingan bangsa Melayu. Antara ciri yang dibimbangkan termasuk:-

1. Sudah menjadi tanggapan umum bahawa akibat perpecahan dan kelemahan politik ini, orang Melayu tidak lagi berdaya mempertahankan hak dan keistimewaan mereka;

2. Akibat perpecahan dan kelemahan politik orang Melayu itu, lebih mudahlah bangsa-bangsa lain membuat tuntutan;

3. Dilema orang Melayu diburukkan lagi oleh anasir-anasir Melayu liberal. Mereka ini menolak identiti kaum dan menafikan sumbangan Dasar Ekonomi Baru (DEB) ke arah menjadikan mereka golongan elit;

4. Kemudian terdapat semakin ramai orang Melayu yang tercicir daripada aliran pemikiran perdana kerana kurang pendidikan atau bersikap tidak peduli.

5. Kepemimpinan baru Umno (yang menerajui kepemimpinan negara) dilihat sebagai tidak cukup kuat mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu dan terlalu bertolak-ansur dengan rakan-rakan bukan Melayu mereka dalam BN;

6. Pas pula dilihat sebagai semakin bercelaru akibat percubaan mengimbangkan antara dasar Islamnya dengan keperluan bertolak-ansur dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang berideologi sekular;

Akibat ketidakyakinan kepada kepemimpinan politik Melayu inilah muncul suara alternatif Melayu, sama ada daripada pertubuhan sedia ada atau daripada pertubuhan baru seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan Gabungan Badan Ekonomi Melayu (Gabem).

Walaupun Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang juga Ahli Parlimen (Bebas) Pasir Mas, dilemparkan pelbagai tuduhan dan diberi label yang menghina oleh pihak pro-Pakatan Rakyat, Perkasa kini muncul sebagai suara alternatif Melayu yang lantang dan mendapat liputan meluas oleh media baru.

Sementara itu, dalam Umno sendiri muncul beberapa kumpulan dan individu pendesak yang boleh dilabelkan sebagai “Umno Bebas” atau “Free Umno” yang tidak terikat dengan dasar perdana parti.

Mereka ini terdiri daripada veteran parti, ahli-ahli profesional yang tidak bergantung kepada ihsan Umno, cendekiawan dan pemikir, penulis, wartawan dan blogger.

Perkembangan ini penting bagi orang Melayu jika mereka mahu terus mengekalkan identiti bangsa, menaikkan taraf ekonomi Melayu dan Bumiputera, mempertahankan Islam, menuntut persamaan hak ekonomi dan sosial dengan bangsa-bangsa yang lebih maju dan mengurangkan jurang pendapatan dalam masyarakat Melayu.

Kepelbagaian suara inilah yang menjadi landasan kepada kekuatan politik, ekonomi dan pendidikan Cina. Selain suara politik, bangsa Cina disokong oleh badan-badan bebas seperti dewan-dewan perniagaan, badan-badan pendidikan, persatuan suku kaum dan badan-badan profesional.

Hatta bangsa India yang lebih kecil pun diwakili oleh pelbagai pertubuhan di luar kerangka politik, termasuk Badan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) yang diharamkan.

Kemunculan semula kepelbagaian suara dan pendapat umum Melayu ini adalah sihat dan boleh menjuruskan bangsa Melayu ke arah politik tanpa parti di mana sokongan terhadap parti politik tidak lagi bergantung kepada taat setia, tetapi kepada dasar dan pencapaian.

Thursday, February 04, 2010 \A kadir Jasin\  http://kadirjasin.blogspot.com/2010/02/kesan-sihat-kepelbagaian-suara-melayu.html

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...