5/05/2011

Hegemoni Amerika "Raison d'etre" kepada Fenomena Osama

MENGHARAPKAN dunia aman (atau lebih aman) semata-mata kerana Amerika mendakwa ia telah membunuh Osama Bin Laden adalah naif.


Osama adalah ciptaan Amerika untuk memerangi Rusia di Afghanistan pada tahun-tahun penutup Perang Dingin. Selagi Amerika bermaharajalela dengan hegemoninya, adalah tidak mustahil “Osama” lain akan muncul atau sudah pun muncul.

Hanya mereka yang pro-Amerika secara melulu dan cetek mengenai geopolitik sahaja percaya bahawa “kematian” Osama akan mengamankan dunia.

Dunia tidak akan aman dan tidak akan selamat selagi hegemoni politik, ketenteraan dan ekonomi Amerika menjadi punca ketidakadilan.

Amerika melabelkan Allahyarham Saddam Hussein pemilik senjata pemusnah massa (WMD) dan melanggar negaranya. Tidak ada WMD ditemui. Lebih ramai rakyat Iraq mati dan menderita akibat penaklukan Amerika daripada berdekad-dekad diperintah Saddam. Ramai rakyat negara itu membenci Amerika. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Berpuluh ribu orang muda, belia dan remaja Palestin membesar tanpa ibu bapa kerana dibunuh rejim Yahudi Israel yang dilindungi Amerika. Mereka hidup tanpa pendidikan dan pekerjaan. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu orang muda, belia dan remaja Afghanistan hanya kenal peperangan dan hidup dengan hukum rimba “siapa yang bersenjata, dia berkuasa.” Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu rakyat Pakistan menjadi radikal akibat kepemimpinan yang kalau-bilau ketika negara mereka menjadi negara satelit Amerika sewaktu Perang Dingin. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Ratusan ribu anggota masyarakat cempera (diaspora) Arab/Islam di Amerika dan Eropah hidup ibarat melukut di tepi gantang dan diprofilkan sebagai berpotensi menjadi pengganas. Salah seorang daripada mereka boleh muncul menggantikan Osama.

Dunia tidak akan aman atau lebih aman semata-mata kerana Osama sudah “mati” kerana ramai umat Islam yang berfikiran sinis bertanya, kalau mati mana mayatnya. Ramai tidak percaya Osama “dikebumikan” di laut.

Kalau mati sekalipun, rohnya akan hidup di kalangan pengikutnya dan di kalangan orang yang berasa tertindas akibat hegemoni Amerika.

Dan sesiapa pun yang percaya Amerika mahu keamanan dan kedamaian mutlak adalah naif. Ideologi politik Amerika berpaksikan “managed chaos” di mana Amerika mengambil kesempatan daripada kacau-bilau dan ketidaktentuan antarabangsa untuk memperkukuhkan kelangsungannya.

Dalam suasana kacau-bilau yang terkawal itulah Amerika mengekalkan hegemoninya dan menjustifikasikan kewujudan kompleks perindustrian perangnya.

Setiap tahun, “military industrial complex” Amerika mendapat berbilion dolar subsidi daripada Pentagon bagi menyelidik dan mencipta kelengkapan perang baru sambil mewujudkan berpuluh juta pekerjaan. Untuk itu, Amerika memerlukan medan ujian.

Iraq, Afghanistan, Pakistan dan Palestin adalah antara medan ujian hidup produk kompleks perindustrian perang Amerika masa ini. Orang Islam menjadi tikus makmal kepada “military industrial complex” Amerika.

Amerika mewujudkan Osama untuk memerangi Rusia di Afghanistan. Apabila Osama tidak diperlukan lagi, Amerika dan sekutu Baratnya menjadikan “war on terror” sebagai “raison d’etre” (alasan) untuk menakluki Iraq, menduduki Afghanistan dan memaksa negara-negara Islam tunduk kepada kehendaknya.

Malangnya, ada negara Islam dan pembesar mereka yang secara sukarela menyerah diri kepada Amerika semata-mata kerana mahu dijemput ke Rumah Putih untuk bergambar dengan Barrak Hussein Obama. Wallahualam.

ORIGINAL POST

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...