11/09/2009

Dr. Asri dan Politik.

Dr Asri Sedia Sertai Politik Untuk Berdakwah

KOTA BAHARU, 9 Nov (Bernama) -- Bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.


Menurutnya beliau memang tidak bercadang menyertai politik dan lebih menumpu kepada usaha menyebarkan pemikiran Islam yang dianggap luas kerana Islam adalah agama untuk semua.

"Tapi jika semua pintu tertutup dan saya tidak boleh bercakap melainkan boleh bercakap dalam pentas politik, terpaksa berfikir lain. Saya harap ini tidak akan berlakulah," katanya kepada pemberita selepas mengunjungi Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini Isnin.

Mohd Asri ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor baru-baru ini kerana didakwa berceramah tanpa tauliah di negeri itu. Beliau kemudian dihadapkan ke Mahkamah Syariah tetapi tidak ada pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Sambil menafikan pertemuannya dengan Nik Aziz sebagai usaha ke arah mendekati politik, beliau berkata ia adalah sebagai tanda hormat kerana Nik Aziz sebelum ini turut memberi sokongan kepadanya dalam gerakan dakwah.

-- BERNAMA 09 November, 2009 17:27 PM

=========================================

Dr Asri Jangan Cebur Diri Dalam Politik - Zulkifli Noordin

KUALA LUMPUR, 9 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Noordin Isnin meminta bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya tidak menyertai sebarang parti politik untuk menyebarkan dakwah.


Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata beliau yakin bahawa Dr Mohd Asri tidak akan menghadapi halangan dalam menyebarkan dakwah keagamaan ekoran kedudukannya yang diterima ramai sama ada kerajaan mahupun pembangkang.

"Saya berpendapat bahawa Dr Asri ini sudah sampai ke peringkat melangkaui politik partisan. Kedudukan dia diterima oleh masyarakat dari semua peringkat. Saya kira lebih sesuai Dr Asri main peranan sebagai ulamak non-partisan.

"Dakwah dia itu akan lebih efektif kalau dia kekal dalam kedudukan sekarang (tidak berparti)..sebab dalam politik ini banyak kompromi, banyak konsesi dan dia lebih sesuai dalam keadaan sekarang," katanya kepada Bernama di lobi Parlimen di sini.

Hari ini, Dr Mohd Asri dilaporkan berkata bahawa beliau sedia menyertai politik sebagai jalan terakhir jika usahanya untuk menyebarkan dakwah melalui ceramah agama berdepan dengan halangan.

-- BERNAMA  09 November, 2009 21:15 PM

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...