5/29/2007

Perspektif IKIM :Pertanian senjata baru penjajahan

Oleh Mohd Noor Omar - Berita Harian 29.05.2007 - Agama Barat tekan ekonomi negara membangun guna alasan globalisasi SUATU keadaan yang pasti di lalui dalam kehidupan ialah perubahan. Itulah tandanya baharu alam ini. Dunia juga berubah daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang sukar untuk kita fahami perubahan dan bagi mereka yang alpa sering menjadi mangsa perubahan. Begitu juga dengan perubahan dalam bentuk kuasa dan penjajahan. Daripada zaman penjajahan bersenjata atau kekerasan, yang lemah dan tidak bersatu menjadi mangsa kuasa besar. Yang kurang sifat kemanusiaan menjadi raja berpaksikan undang-undang rimba batu. Beralih kepada zaman penguasaan melalui kepintaran melampaui had. Kesederhanaan dalam berfikir ditinggalkan begitu saja. Takrifan agama atau cara hidup adalah berlandaskan nafsu dan kegilaan kepada kebendaan dan keutamaan untuk kelangsungan hidup kumpulan tertentu. Jika kita tinjau globalisasi, kita dapati ia satu cara baru menguasai maklumat pihak lain. Pada zaman dulu, globalisasi tidak wujud. Sebelum globalisasi mengambil tempat, kita didedahkan dengan modernisasi. Ia membabitkan usaha dua kuasa besar iaitu Russia dan Amerika Syarikat ingin menjadi jaguh di pentas dunia. Pelbagai propaganda digunakan Amerika untuk menjadikan mereka kiblat. Cerita Combat yang ditayangkan hampir ke seluruh dunia memperlihatkan bagaimana Russia sebagai satu kuasa jahat dan Amerika pula wiranya. Apabila runtuhnya Tembok Berlin, Amerika menguasai dunia. Era sudah berubah, maklumat menjadi perkara penting. Mereka perkenalkan penggunaan internet dan laman web. Pelbagai insentif diberikan termasuk pendaftaran emel percuma, transaksi talian dan banyak lagi. Apa yang menjadi persoalan ialah siapa yang menguasai teknologi ini? Dunia terpaksa akur dengan perubahan ini dan menerima pakainya dengan bangga. Padahal, jika ditinjau, semua maklumat penting dan rahsia boleh dicapai orang lain dengan mudah. Akibatnya, lahir ramai jutawan Amerika. Jika tidak kerana memperkenalkan sistem baru, hanya dengan mengetahui teknik menggodam, pelbagai masalah negara boleh timbul. Kini tiba pula suasana baru. Dalam sedar atau tidak, kita menghadapi tekanan dalam bentuk perdagangan. Pelbagai akta antarabangsa digubal dan diperkenalkan. Mungkin kulit luarnya nampak menguntungkan negara terutama negara membangun tetapi hakikat di sebaliknya mungkin jauh berbeza. Amerika giat berusaha memasarkan beras yang disahkan tidak selamat iaitu yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik (GE) kepada negara membangun. Isu beras yang boleh dikatakan isu global membabitkan makanan asasi penduduk Asia diselitkan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Jika padi biasa, kita hanya perlu semai dan ia akan tumbuh tanpa sekatan tertentu. Dengan menggunakan beras GE, benih padi mesti diimport dari Amerika yang mempatenkan hasil beras GE supaya mendapat hak di bawahnya. Tiga jenis beras yang berteknologi GE iaitu Liberty Link LL62, LL601 dan LL604 kini secara berleluasa dikembangkan di bawah WTO melalui dua perjanjian penting iaitu Perjanjian Mengenai Pertanian (AOA) dan Perjanjian Mengenai Dagangan Berkaitan Aspek Hak dan Harta Intelek (TRIPS). Di bawah perjanjian AOA, objektif pertama ialah ‘liberalisasi pertanian’ dengan membuang halangan perdagangan seperti tarif dan bantuan tempatan. Perjanjian itu sebagai pelindung kepada persaingan tidak adil terhadap barangan import. Manakala, di bawah TRIPS pula, melalui hak paten yang memberi jaminan kepada negara membangun untuk menggunakan paten mereka sehingga 20 tahun. Sebelum ini, petani tidak perlu membayar royalti terhadap paten beras tetapi dengan beras GE, petani perlu membayarnya atau dianggap sebagai lanun bio. Contohnya, sejenis beras Basmati didaftar paten di Amerika oleh Rice Tech Inc Pada 1970, Filipina adalah pengeksport terbesar beras. Tetapi apabila menyertai program WTO dan menandatangani perjanjian AOA, negara itu mengimport 2.2 juta tan beras pada tahun 1998 iaitu hampir 40 peratus daripada pengeluaran dalam negara. Secara tidak langsung, perkembangan itu memberi kesan kepada petani. Peningkatan ke atas kebergantungan kepada negara maju ketara sekali apabila kita lihat peningkatan import beras Asia daripada 4.8 juta tan kepada 15.4 juta tan iaitu peningkatan 300 peratus. Melaluinya juga WTO memaksa negara membangun mengamalkan Corporate Farming iaitu syarikat dari Amerika akan mengusahakannya secara besar-besaran. Tenaga buruh terdiri daripada petani tempatan yang dibayar murah. Petani yang mengusahakan sendiri tidak lagi mampu bersaing dengan skala pengeluaran dan harga ditawarkan akhirnya rela menjadi pekerja saja. Di samping itu, penggunaan racun yang berbahaya kepada kesuburan tanah digunakan secara berleluasa dan akhirnya tanah menjadi makin tidak subur. Inilah bentuk baru penjajahan yang menghilangkan hak negara mentadbir. Sejarah boleh bertukar. Jika Asia adalah pengeluar beras utama dunia, kini dengan terlaksananya tekanan melalui FTA, Asia menjadi pengimport beras dari negara maju. Pada tahun 2004, China menghasilkan 177 jua tan, India 129 juta tan, Indonesia 54 juta tan. Jika beras GE ini diguna pakai, kemungkinan negara ini hanya menjadi pengimport terbesar. Petani tidak mampu bersaing dengan harga beras GE yang zahirnya nampak lebih berkualiti. Saintis Kanan Institut Dasar Pengguna Amerika Syarikat, Dr Micheal K Hansen dalam usaha memberi kesedaran kepada negara membangun menegaskan bahawa petani di Amerika kerugian hampir RM4.6 juta bilion kerana produk mereka gagal dipasarkan ke negara luar. Kaedah baru memasarkannya ialah melalui FTA. Sementara negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Russia, United Kingdom dan Amerika sentiasa menutup pintu bagi menerima barangan dari negara membangun. Begitulah percaturan hidup yang dilakukan sebagai satu cara untuk mengaut keuntungan. Bagi negara yang lemah dan kurang pengalaman dalam urusan antarabangsa dan tiada kekuatan pengetahuan, mungkin menganggap tarikan bidang bioteknologi satu peluang tanpa menghalusi bagaimana bioteknologi ini akan menghilangkan kedaulatan negara akhirnya. Apa saja perkara dalam dunia ini tidak semudah yang disangkakan. Kalau terdetik satu keadaan mudah, pasti pemeriksaan rapi perlu dibuat bagi mengelak penyesalan di kemudian hari.

Haram lelaki suntik hormon jadi wanita

Bicara Agama - Utusan Malaysia - 29.05.2007

Isu ‘lelaki lembut’ atau mak nyah kembali menggegar negara baru-baru ini apabila ia turut dibincangkan pada sesi Dewan Negara. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin mencadangkan agar ‘lelaki lembut’ ini disuntik dengan hormon lelaki agar sifat kelelakian mereka lebih dominan. Islam pula tidak menilai seseorang berdasarkan rupa paras atau fizikal sebaliknya berdasarkan amalan. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w., Sabda Rasulullah, Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu tetapi kepada hati dan amal kamu. (riwayat Muslim) Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, NAZERI ABU BAKAR menemu bual pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid untuk mengupas persoalan ini. UTUSAN: Bagaimanakah ketentuan Allah dalam penetapan jantina seseorang? DR. MAHMOOD ZUHDI: Dalam banyak kes termasuk penentuan jantina tentu ada beberapa kes yang tidak kena. Allah menyebut menjadikan lelaki dan perempuan tetapi kadang-kadang jantinanya sama ada lelaki atau perempuan. Semua ini adalah sunah alam. Contoh lain, dalam banyak orang baik ada juga yang jahat. Begitu juga orang cerdik pun ada juga bab yang dia tidak tahu. Cuma ilmuwan Islam mempunyai tafsiran yang jelas bagi fenomena ini dalam masyarakat. Jika seseorang itu lahir tidak jelas jantinanya maka ulama kata ia perlu dijelaskan. Caranya, melihat kepada lebih cenderung ke arah mana fizikal dan psikologinya. Mengikut tafsiran ulama konservatif, yang dikecualikan ialah khunsa musykil (yang mempunyai dua alat kelamin). Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi perubatan, ulama dibantu oleh saintis dan para doktor mungkin ada penjelasan jantina untuk golongan ini. Kita berharap, kaedah perubatan moden ini dapat membantu menentukan jantina golongan ini sama ada lelaki atau perempuan. Jika dilahirkan sebagai khunsa, apakah yang patut dilakukan oleh ibu bapa dan juga individu berkenaan? DR. MAHMOOD ZUHDI: Sesiapa yang mengalami keadaan sebegini perlu reda dan menganggapnya sebagai sunah yang sentiasa berlaku kepada apa-apa sahaja. Bagaimanapun, ibu bapa dan masyarakat berperanan membantu golongan ini dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam bab ini, khunsa musykil terbahagi kepada dua iaitu yang musykil fizikal dan musykil psikologi. Bagi golongan pertama, ibu bapa dan masyarakat perlu membantu membimbing mereka membina psikologi ke arah kecenderungan jantina mereka. Maknanya, kalau fizikalnya cenderung sebagai lelaki, maka kita kena bimbing supaya psikologi mereka juga selari ke arah itu walaupun mereka mempunyai dua alat kelamin. Bagi golongan yang musykil atau keliru psikologi pula, kita perlu cuba membimbing mereka agar mengikut sifat fizikal masing-masing. Ibu bapa tidak boleh menerima realiti dari segi psikologi begitu sahaja. Ini kerana psikologi adalah tahap kedua berbanding fizikal yang menjadi tahap pertama. Lagipun, psikologi adalah sesuatu yang mendatang dan boleh diubah. Dalam kehidupan moden kini, kita mempunyai kepakaran saintifik psikologi yang tinggi. Golongan ini boleh membantu mengembalikan atau mengubah psikologi supaya ia selaras dengan bentuk fizikal seseorang. Adalah malang jika ibu bapa yang gagal membentuk psikologi anak-anak. Ini mungkin berlaku kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki. Akhirnya mereka membentuk psikologi anak perempuan itu ke arah menjadi tomboy. Bagaimana pula dengan individu yang dilahirkan dilahirkan sebagai lelaki atau wanita yang sempurna tetapi mahu menjadi jantina sebaliknya? DR. MAHMOOD ZUHDI: Orang begini mengalami kekeliruan psikologi. Mereka perlu dipulihkan melalui pemulihan psikologi agar kembali kepada jantina asal mereka. Bagaimanapun, dari segi hukum taklif, ketentuan adalah mengikut sifat fizikal jantina bukannya mengikut sikap seseorang itu. Hatta, jika mereka melakukan pembedahan penukaran jantina sekalipun. Perbuatan lelaki sengaja menyuntik hormon untuk menjadi wanita adalah haram. Malah perbuatan lelaki atau perempuan yang berlagak menyerupai jantina sebaliknya juga boleh dihukum mengikut Enakmen Undang-undang Islam. Bagi golongan mukhannas (mak nyah) yang seronok dalam dunia itu dan tidak berusaha secukupnya untuk keluar dari kemelut itu, mereka ini berdosa. Sebabnya dengan kemajuan kaedah perubatan masa kini, kita boleh menghentikan haid atau mengembalikan haid bagi wanita yang sudah menopaus. Islam tidak menerima konsep liberalisme Barat tentang kebebasan melakukan apa sahaja. Islam menuntut kita lebih tunduk kepada tabie. Golongan mak nyah yang tidak ada nafsu kepada wanita juga haram bernikah. Sebabnya pernikahan itu hanya menyeksa isteri. Adakah penggunaan kaedah perubatan moden termasuk menyuntik hormon kepada ‘lelaki lembut’ dibenarkan oleh Islam? DR. MAHMOOD ZUHDI: Ini adalah cadangan yang bagus dan idea oleh pakar perubatan ini perlu dihormati. Kemungkinan pakar-pakar perubatan boleh menambah hormon bagi golongan yang mengalami gangguan fisiologi. Jika dengan suntikan itu boleh mempengaruhi fizikalnya menjadi lelaki yang dominan, maka ia patut disokong. Jangan pula kita mengatakan ia tidak boleh sebab tidak diproses secara tabie. Sepatutnya kita menggunakan kemajuan sains perubatan untuk manfaat masyarakat. Adakah perbuatan menggunakan kaedah botox dan suntikan tertentu untuk menambah kecantikan dianggap mengubah ciptaan Allah? DR. MAHMOOD ZUHDI: Saya tidak berpendapat begitu. Namun, penggunaannya tidak digalakkan kerana ia adalah cara perhiasan diri yang melampau. Untuk mengekalkan prestasi rupa paras secara sederhana sekadar untuk dilihat berwajah ceria, itu diharuskan. Penggunaan botox dalam perubatan tidak salah. Yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah penggunaannya untuk kecantikan. Ia sama dengan dadah. Jika digunakan untuk perubatan Islam membenarkan tetapi ia jatuh haram apabila disalahgunakan. Islam mengamalkan ‘ekonomi bebas’ yang menghalang perbuatan berlebih-lebihan atau melampau. Ini bukan bermakna kita tidak boleh berhias atau berdandan tetapi ia mestilah sederhana. Jangan berlebih-lebihan sehingga menggunakan bahan yang melampau. Falsafahnya ialah Islam tidak mahu umatnya ada sikap melampau. Untuk awet muda jangan sampai melanggar batas moral. Jangan umur dah 80 tahun masih nak dilihat seperti umur 40 tahun. Ini juga boleh menjadi wabak. Orang akan berbelanja besar untuk kosmetik daripada hal yang lebih utama seperti pendidikan dan kesihatan. Islam tidak melihat kepada rupa paras sebaliknya kepada hati dan amalan seseorang. Bagaimanakah hadis ini boleh memberi kekuatan kepada golongan khunsa atau lelaki lembut ini? DR. MAHMOOD: Hadis ini memberi keyakinan dan motivasi kepada sesiapa yang mempunyai kekurangan fizikal. Allah menjelaskan, ada satu aspek yang lebih penting yang dinilai iaitu hati yang membina perasaan dan sikap. Ia mengembangkan spiritual seseorang sehingga lebih yakin pada diri. Dalam dunia moden, banyak yang hilang keyakinan diri. Jadi kita hendaklah kembali kepada Allah. Allah dengan sifat Pemurah dan Penyayang tidak pernah menzalimi umatnya. Walaupun takdirnya dilahirkan sebagai khunsa, jika mereka taat kepada Allah, mereka juga menerima balasan pahala. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walau sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakan dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar. (An-Nisa’: 40)

Ego jadikan umat keras hati, kasar, sukar mengalah

Oleh Mohd Shukri Hanapi - B. Harian 29.05.07 - Agama EGO atau sombong adalah sifat mazmumah (keji dan tercela) yang wajib ditinggalkan. Ia bermaksud tidak mahu menerima kebenaran, menganggap diri lebih tinggi dan mulia daripada orang lain. Jika ditanya adakah kita tergolong dalam golongan orang yang ego atau sombong, tentu ramai mengatakan tidak. Sebenarnya kita perlu menilai diri dan menjawab sejujur-jujurnya, sejauh manakah keegoan atau kesombongan dalam hati selama ini. Pernahkah kita mengatakan orang lain sombong? Kadangkala perkelahian dan perselisihan pendapat menyebabkan kita tidak bertegur sapa untuk beberapa hari. Dalam hal ini, adakah kita mulakan salam kepadanya atau menunggu dia memulakan dulu? Jika kita enggan menegur dulu, bermakna kita sombong dan ego. Orang yang merendah diri akan berbaik semula dengan temannya, tanpa menghiraukan maruahnya tercemar atau menampakkan dia yang bersalah. Sebenarnya orang yang mengatakan orang lain itu sombong atau ego menunjukkan dirinya yang ego. Bukankah Islam menuntut umatnya saling bertegur sapa dan mengeratkan hubungan silaturahim. Orang yang ego selalu mengiyakan pendapat atau pandangan orang lain apabila berhadapan dengan orang ramai. Di belakang mereka, dia akan mencaci dan menganggap pendapat itu tidak bernas, malah merendahkan personaliti orang berkenaan. Orang sombong juga enggan mengalah walaupun dia bersalah. Dia sanggup bertegang urat asalkan dia menang. Mereka yang sebegini akan berasa puas apabila melihat orang lain diam dan hanya mengiyakan kata-katanya. Dia langsung tidak menghiraukan larangan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan taatilah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46) Antara sifat sombong atau ego ialah tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadapnya. Bagaimanapun, apabila dia melakukan kesalahan tidak pula berasa kesal di atas perkara yang berlaku. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya itu, melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmat; dan sesungguhnya hari kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustamu itu wahai Muhammad) serta layan mereka dengan cara yang elok.” (Surah al-Hijr, ayat 85) Satu lagi sifat ego ialah suka ‘pilih bulu’ dalam pergaulan. Jika kita daripada jemaah A, kita tidak mahu bercampur dengan jemaah B atas alasan dasar perjuangan berbeza. Kadangkala, kita juga hanya bergaul dengan mereka yang difikirkan setaraf dari segi kemewahan dan pangkat serta pendidikan. Ada juga menganggap diri cukup ilmu agama, hingga enggan bergaul dengan mereka yang kononnya cetek dan tidak mengamalkan Islam sepenuhnya. Ada juga golongan yang suka mengasingkan diri daripada mereka yang miskin dan susah. Mereka bimbang orang miskin itu akan menyusahkan mereka. Dalam kehidupan, tanpa disedari kita selalu berkasar dengan orang di sekeliling. Di rumah, seorang ibu atau ayah menunjukkan keegoannya dengan memarahi anaknya, biarpun anak hanya melakukan kesilapan kecil. Perkataan seperti ‘anak degil’, ‘tidak guna’ dan ‘keras kepala’ menjadi amalan biasa. Natijahnya, tidak hairanlah jika dilihat apabila anak bergaduh sesama mereka, perkataan yang sama akan dilafazkan. Apabila anak meningkat dewasa, mereka tidak lagi menghormati ibu bapa. Puncanya kerana sewaktu kecil kita menganggap kehadiran mereka menyusahkan dan tidak menghormati mereka sebagai anak. Allah memerintahkan hamba-Nya agar sentiasa bercakap dengan lemah lembut dan tidak kasar dalam berbahasa. Allah berfirman yang bermaksud: “Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah) daripada Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari daripada kelilingmu. Oleh, itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu) dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepada-Nya.” (Surah Ali Imran, ayat 159)

5/28/2007

Melayu Terlalu Berlembut dan Patutkah Orang Melayu Mengamuk?

Forum – utusan Malaysia – 28.05.07 Orang Melayu terlalu berlembut BARU-baru ini orang Melayu dikejutkan dengan kenyataan menghina oleh Tony Pua di Malaysiakini bahawa penjawat awam hanya terdiri daripada orang Melayu mengalami masalah pengangguran. Ada beberapa hikmah yang orang Melayu perlu sedar dan insafi daripada kenyataan beliau itu sama ada yang tersurat apa lagi yang tersirat. Pertamanya, bagi Tony Pua dan DAP, jawatan awam tidak penting dan wujud hanya sebagai memberi tempat dan peluang pekerjaan kepada orang Melayu. Tetapi beliau mesti akur bahawa jika kerajaan sendiri tidak mengambil graduan bumiputera mahukah sektor swasta mengambil graduan bumiputera dengan ikhlas dan memberi peluang yang sama rata? Ini termasuk dari segala aspek antaranya kenaikan gaji dan pangkat dalam jangka masa yang panjang. Terlanjur menulis mengenai isu ini, apabila pihak Maybank mahu mengambil firma guaman yang ada rakan kongsi atau rakan niaga bumiputera banyak pihak bukan Melayu juga menentang. Mungkin pihak kerajaan patut melihat pada senarai panel guaman bank-bank lain dan firma yang dikaitkan dengan penguasaan Cina. Adakah mereka juga memberi peluang yang sama rata kepada firma guaman bumiputera atau pembekal bumiputera sama ada secara terbuka atau tidak? Kita mahu lihat kesan sebenarnya adakah orang Melayu mendapat peluang dalam syarikat gergasi Cina di Malaysia. Sekatan untuk bumiputera dalam firma gergasi Cina ini mungkin tidak tertulis dalam hitam dan putih atau dasar syarikat mereka tetapi kita cuba lihat dalam realiti sebenarnya, siapa yang diberi peluang berurusan dengan mereka? Perlukan graduan yang hendak bekerja dengan sesetengah firma Cina fasih berbahasa Mandarin? Keduanya, Tony Pua menuduh pula Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin memutarbelitkan kenyataannya. Betapa mudahnya beliau cuba lari daripada isu asas. Beliau ingin menukar arah kenyataan ini supaya Khairy pula yang menjadi sasaran. Ketiganya, hikmah tersirat dari kenyataan Tony Pua ini adalah satu wake up call bagi semua orang Melayu betapa pentingnya kita semua bersatu demi masa depan masyarakat Melayu. Orang Melayu dulu tidak buat pepatah ‘bersatu teguh bercerai roboh’, ‘seperti aur dengan tebing’ dengan sia-sia sahaja. Orang Melayu dan Islam walau apa pun pegangan politik mereka mesti dengan serius mementingkan dan memikirkan nasib bangsa untuk tempoh akan datang dan bertindak dengan bijak sekarang ini. Kita mesti bersatu untuk sama-sama membetulkan apa yang boleh mengganggu- gugat survival bangsa Melayu. Kita telah terlalu banyak berlembut dan bertolak ansur demi keharmonian sebagai rakyat dalam masyarakat berbilang kaum dan agama tetapi ini tidak bermakna mereka boleh ‘memijak’ kepala kita. Hanya dengan ‘kesatuan kita’, kita boleh menguatkan bangsa, seiring dan boleh maju seperti mereka. – AZIZAH RAHMAD, Shah Alam. >>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> Rencana - Utusan Malaysia (28.05.07) Hentikan agenda gugat perpaduan kaum Pendapat SAIZ perkhidmatan awam yang tidak terkawal hari ini sebahagian besarnya berpunca dari dasar kerajaan yang telah menjadikan perkhidmatan awam negara sebagai tapak buangan bagi golongan yang sensitif dari sudut politik iaitu graduan Melayu yang menganggur. Dengan menyerap para graduan yang tidak mampu memperoleh pekerjaan di sektor swasta, ia telah melahirkan perkhidmatan awam yang memiliki tenaga kerja berkualiti rendah di samping meningkatkan beban kewangan kerajaan. Itu adalah terjemahan paragraf lima dan enam kenyataan Tony Pua, Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP yang diambil dari kenyataan akhbar beliau seperti yang dipaparkan di blognya di bawah tajuk Pay Day For The Civil Service bertarikh 22 Mei 2007. Saya amat bersetuju dengan kenyataan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin bahawa kenyataan Tony Pua bersifat menghina dan angkuh terhadap lebih sejuta kakitangan awam di negara ini dan beliau perlu meminta maaf kepada mereka. Kedegilan Tony Pua yang enggan meminta maaf kepada anggota perkhidmatan awam negara dan langkahnya mencabar Khairy untuk berdebat tajuk “Kecemerlangan Perkhidmatan Awam: Kualiti vs Kuantiti” mencerminkan hakikat bahawa kenyataan menghina yang dibuat oleh beliau sememangnya disengajakan dan ia memaparkan pandangannya terhadap standard perkhidmatan awam negara khasnya dan kualiti graduan Melayu amnya. Kenyataan beliau adalah sebenarnya urutan kepada pendapatnya yang terdahulu seperti yang terkandung di ruangan blog educationmalaysia di mana beliau turut menyumbang pendapat. Di blog tersebut di bawah tajuk Civil Service Dump For Unemployed Graduate bertarikh 13 Julai 2006. Sebenarnya Tony Pua sengaja menutup mata kepada fakta dan hakikat bahawa anggota perkhidmatan awam adalah antara penyumbang terbesar kepada kemajuan yang telah dicapai oleh negara semenjak merdeka melalui dedikasi, profesionalisme, usaha gigih dan kualiti yang dimiliki mereka. Sebenarnya kenyataan Tony Pua ini sebahagian daripada siri tindakan memprovokasi orang Melayu oleh parti DAP. Manakan tidak graduan Melayu yang menganggur dan gagal mendapat pekerjaan di sektor swasta terus dicap dan ditanggap sebagai mempunyai kualiti rendah. Beliau langsung tidak mengambil kira pelbagai sebab lain yang menyebabkan mereka gagal memperoleh pekerjaan di sektor swasta terutamanya sikap sesetengah syarikat swasta yang dimiliki kaum bukan Melayu yang mengamalkan sikap diskriminasi dalam memilih pekerja dengan memperkenalkan pelbagai syarat diskriminatif seperti keperluan menguasai bahasa Mandarin. Kenapa kebelakangan ini kerap sangat parti DAP, pemimpin atau bekas pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan perhubungan kaum di negara tercinta ini? Sebelum timbul isu kenyataan Tony Pua ini beberapa isu sensitif yang lain telah dibangkitkan oleh golongan ini. Adakah DAP terutamanya golongan pemimpin pelapisnya sudah tidak ada cara lain untuk mendapat sokongan rakyat. Perlukah mereka meneruskan warisan parti mereka yang meniup api perkauman bagi memperoleh sokongan kaum Cina. Semua rakyat Malaysia yang cintakan keamanan perlu menyoal parti DAP dan parti-parti yang sewaktu dengan mereka adakah parti-parti ini mahu melihat Malaysia yang aman damai, stabil, makmur dan berpaksikan keadilan sosial atau mereka mahu lihat Malaysia yang sarat dengan masalah perhubungan kaum sehingga rakyat tidak dapat mencari rezeki dan membina kehidupan mereka. Sebenarnya Tony Pua dan rakan-rakannya adalah simptom kepada apa yang menjadi masalah utama kepada parti DAP. Mereka adalah wajah sebenar kepada DAP iaitu sebuah parti yang sebenarnya tidak berminat untuk mewujudkan Malaysia untuk semua orang Malaysia seperti slogan muluk yang dilaung- laungkan. Sebaliknya parti tersebut berpijak di atas kebimbangan, ketakutan dan ketidakyakinan kaum Cina tanpa mengambil kira bahawa masyarakat Melayu pun mempunyai kebimbangan, ketakutan dan ketidakyakinannya yang tersendiri yang perlu ditangani. Apa yang lebih menggerunkan bahawa DAP tidak sedar atau sengaja tidak mahu sedar bahawa jalan yang diambilnya adalah jalan yang boleh merosakkan negara untuk jangka masa panjang. – IRMOHIZAM IBRAHIM, Ahli Majlis Tertinggi, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). >>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>. Orang Melayu janganlah terlalu layu di Tanahair sendiri...jangan terlalu leka sehingga tergadai maruah diri, jangan lena dibuai mimpi, ambil dan fikir secara mendalam apa yang terjadi hari ini dan jadilah Melayu yang perkasa dalam pelbagai bidang baik dari sudut agama islam, ekonomi, politik, sosial, pendidikan, ICT, keselamatan, pertanian, aero angkasa, perubatan, dan banyak lagi... Memang orang Melayu tinggi budi bahasa, lembut hati, sopan santun, mesra, tapi ingat orang Melayu mempunyai satu sikap yang suka "mengamuk". Itu kata orang putih/seorang penulis kolonial dahulu.... Apa salahnya sikap mengamuk ini orang Melayu terapkan dalam kehidupan masa kini...'AMUK' dalam erti kata yang baik....kita 'mengamuk' secara bersatu padu dan bersatu hati. Semua orang Melayu perlu 'Mengamuk' untuk menguasai ekonomi, politik, pendidikan, perubatan, sosial, agama dan segala bidang yang ada...secara baik dan beradab tanpa membelakangkan Islam (al-quran dan sunnah nabi) Jangan menindas bangsa lain....kerana agama islam tidak mahu umatnya menindas orang lain. Kita mengamuk habis-habisan dalam meninggikan martabat bangsa Melayu Islam itu sendiri. Perlu diketahui juga bahawa semangat juang yang ada dalam diri orang mengamuk itu amatlah tinggi, dia tidak akan memperdulikan apa yang berada disekelilingnya.. Apa salahnya semangat tersebut kita aplikasi dan ubahsuaikan bukan untuk kehancuran atau kemusnahan, tapi untuk kebaikan dan motivasi kita sendiri. Ayuh....bersama-samalah kita mengamuk untuk menjanakan kebaikan bangsa Melayu Islam... Kita terbalikkan maksud jahat mengamuk tersebut kepada maksud yang baik... Kerana kita orang Melayu...dan beragama ISLAM. Bergerak maju bersama-sama dan yang penting bangsa Melayu yang dah berjaya janganlah mencantas dan menindas bangsa Melayu itu sendiri yang tengah terkapai-kapai untuk mencapai kejayaan. Janganlah bangsa Melayu menjadi penghalang kepada bangsa Melayu itu sendiri. Umpama duri dalam daging...

5/24/2007

Kenapa Melayu? Lelaki Dan Perempuan!!!!!

Untuk Pengisian Kita Bersama Demi Satu Misi Yang Paling Agung. Tiada Siapa Yang Boleh Membantu Kecuali Kita Sendiri Yang Sanggup Mengubahnya . Dalam Diam Dan Membisu Adakah Kita Sanggup Menerimanya Bulat-bulat Atau Menyangkalnya Sejauh Yang Mungkin Atau Berusaha Untuk Memperbetulkannya. Sama-sama Kita Selami Dan Fikirkan.

001. Rencana - BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

- utusan malaysia 24.05.07 AWANG cukup terganggu kebelakangan ini melihat adanya kecenderungan pihak tertentu yang mengasak kepentingan dan sensitiviti masyarakat Melayu. Setakat ini, masyarakat Melayu masih menampakkan kesabaran demi kestabilan. Tetapi itu tidak bermakna mereka mengizinkan tindak tanduk sedemikian diteruskan. Belumpun reda dengan isu Maybank dan buku mengenai 13 Mei yang menimbulkan keresahan orang Melayu, seorang pemimpin DAP pula mengeluarkan kenyataan menghina kakitangan awam. Adalah keterlaluan mengaitkan sektor awam sebagai tempat pembuangan bagi orang Melayu termasuk siswazah yang menghadapi masalah pengangguran. Awang bersetuju dengan kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin bahawa DAP dan pemimpin berkenaan perlu memohon maaf kepada seluruh kakitangan awam. Pada Awang, DAP mempunyai pilihan untuk menjadikan isu-isu sebegini panas dan mungkin membakar. Tetapi pilihan terbaik ialah berpegang kuat kepada semangat menghormati antara kaum selain tidak mencabar kontrak sosial. Awang – Membara dalam diam. ******************************************* 002. Pemuda desak DAP minta maaf

berita harian 24.05.07 KUALA LUMPUR: Pemuda Umno mendesak DAP, terutama Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung parti itu, Tony Pua memohon maaf kepada lebih sejuta kakitangan awam berikutan kenyataan angkuh bahawa penjawat awam hanya terdiri orang Melayu yang menghadapi masalah pengangguran. Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata kenyataan Pua adalah tidak berasas dan perlu ditolak kerana hakikatnya ramai kakitangan awam sanggup melepaskan tawaran kerja dengan gaji dan manfaat lumayan di sektor swasta berkhidmat kepada negara. “Saya mendesak Pua dan DAP memperbetulkan kata-kata mereka yang langsung tidak bertimbang rasa dan begitu menghina sekali dengan meminta maaf kepada seluruh kakitangan sektor awam merangkumi ribuan guru, jururawat, polis, tentera dan juga kakitangan sokongan yang sudah dan akan terus berbakti kepada seluruh rakyat Malaysia. “Ramai juga kakitangan awam yang berkerja dengan kerajaan kerana mahu menabur bakti kepada masyarakat,” katanya di sini, semalam. Beliau mengulas kenyataan Pua kelmarin yang menyatakan perkhidmatan awam hanyalah ‘tapak pembuangan bagi penganggur berijazah golongan Melayu satu golongan yang sensitif dari segi politik’. Khairy berkata, nyata sekali Pua hanya memperkecilkan kebolehan, jasa serta sumbangan kakitangan kerajaan kepada negara. “Kenyataan melulu yang begitu angkuh sebegini sudah tentu menjatuhkan semangat kakitangan Kerajaan yang sebenarnya sudah memilih jalan yang mulia untuk berkhidmat kepada kerajaan dan negara,” katanya. ******************************************* 003. Lelaki Melayu bermasalah?

Forum – utusan Malaysia 22.05.2007 Pada ketika Wawasan 2020 hanya tinggal 13 tahun sahaja lagi, saya percaya kita semua harus bekerja kuat pada masa ini. Namun, saya berasa kecewa dengan sikap kaum lelaki Melayu di negara ini. Baru-baru ini, saya dan beberapa orang rakan perempuan melalui Stadium Hoki Jalan Pantai Bahru di Lembah Pantai. Pada masa itu, ada sekumpulan pelajar lelaki sedang berehat di tepi pagar dengan hanya berseluar pendek dan tidak berbaju. Saya percaya mereka adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur. Sudahlah tidak berpakaian dengan sopan, mereka tanpa segan silu bersiul dan cuba mengganggu kami. Entah apa agaknya di fikiran mereka. Mereka ingat lulusan luar negara seperti kami ini berminat hendak berkenalan dengan budak sekolah yang belum habis belajar seperti mereka. Saya dan kawan-kawan sebenarnya sudah banyak kali diganggu lelaki-lelaki muda tidak bertamadun seperti ini dan berasa sangat sakit hati setiap kali diganggu seperti itu. Kadang-kadang, yang mengusik itu hanya berpakaian compang-camping dan kotor, berbau seperti sudah 10 tahun tidak mandi dan kelihatan seperti penagih dadah pun masih berani mengganggu anak gadis orang. Pernah suatu ketika saya berada di Bangsar, saya nampak seorang lelaki berpakaian selekeh dengan rokok di tepi bibirnya mengganggu dua orang pelancong wanita berbangsa Inggeris yang hendak ke restoran mamak di situ. Dua pelancong wanita itu kelihatan takut, lalu beredar dari situ dengan segera. Barangkali niat mereka untuk mencuba makanan mamak, terbatal. Saya berpendapat, sikap lelaki Melayu tidak berubah walau betapa maju pun negara kita. Mereka masih beranggapan wanita perlukan mereka dan mereka tidak peduli untuk memalukan diri sendiri dengan berperangai seperti itu. Banyak pelajar perempuan di universiti enggan bekerjasama dengan pelajar lelaki kerana mereka merasakan pelajar lelaki memang tidak boleh diharap. Walaupun mereka lulusan luar negara, kerap kali pelajar lelaki kaum lain jauh lebih baik daripada pelajar lelaki Melayu. Diganggu Saya menetap di luar negara selama dua tahun ketika belajar di sana dan dalam tempoh itu, saya tidak pernah diganggu walaupun berjalan seorang diri pada pukul 2 pagi pada malam Sabtu. Sebaik sahaja pulang ke Malaysia selama dua bulan ini, sudah ada tiga lelaki Melayu yang berperangai seperti sampah, bersiul dan mengganggu saya yang berjalan di pesiaran kaki di ibu kota. Setelah pulang dari luar negara, saya berpendapat lelaki-lelaki Inggeris lebih bersopan santun daripada lelaki Melayu, sekalipun kita selalu berpendapat mereka itu tidak bermoral. Saya tidak pernah disentuh walau seinci pun oleh lelaki-lelaki Inggeris. Saya pernah menghadiri sebuah parti untuk mengumpul data kajian saya dan saya tidak dipaksa minum arak, sekalipun arak dihidangkan di parti itu. Setelah melihat sendiri budaya dan cara hidup bangsa Inggeris yang selalu kita katakan tidak bermoral, saya berpendapat sebenarnya mereka jauh lebih baik daripada lelaki Melayu. Golongan wanita tidak kira daripada bangsa apa pun, lebih selamat berada di kalangan lelaki Inggeris daripada bersama lelaki Melayu. Sekumpulan lelaki Inggeris pun tidak pernah menimbulkan sebarang gangguan. Tetapi kalau lelaki Melayu, seorang pun cukuplah untuk menimbulkan masalah. Saya tidak faham mengapa lelaki Melayu mesti berkelakuan begitu buruk sekali. Fikirkanlah. Lelaki Melayu di Kuala Lumpur pun berperangai seperti ini, bagaimana di kampung-kampung? Budak-budak sekolah semuda 16 tahun sudah pandai mengusik anak gadis orang, bagaimana sikap mereka apabila dewasa kelak? Janganlah harap mereka akan berubah sendiri apabila dewasa kerana lelaki seperti mereka inilah yang akan mengabaikan keluarga mereka kelak. Seorang ilmuwan pernah berkata; “Jika hendak tahu keadaan masyarakat pada zaman hadapan, lihatlah anak-anak muda hari ini.” Jika perempuan boleh dilatih sejak kecil untuk menguruskan rumah tangga, kenapa tidak lelaki juga dilatih bertanggungjawab? Kerap kali kita mendengar golongan tua meleteri gadis-gadis muda, “Kalau tidak tahu masak macam mana nak kahwin?” Kenapa tidak katakan perkara yang sama kepada anak-anak lelaki? Kenapa tidak ada yang berkata, “Kalau perangai macam sampah, macam mana hendak kahwin?” Saya hendak berterus-terang; saya sudah bosan dengan sikap lelaki Melayu yang terus-terusan menimbulkan masalah dan sentiasa juga enggan mengaku itu ialah masalah mereka. Malah, mereka tidak pun berasa malu mempertanggungjawabkan orang lain atas masalah mereka. Atas tujuan mewujudkan persekitaran yang lebih selesa untuk wanita supaya mereka bebas keluar masuk rumah mereka, saya mencadangkan agar lelaki-lelaki yang bersantai di tepi jalan yang mengusik anak-anak gadis didakwa atas kesalahan melakukan gangguan sosial. Mereka ini perlu diajar menghormati wanita. Wanita bukannya bodoh seperti dahulu. Yang bodoh sekarang ini ialah lelaki Melayu, kerana tidak tahu memanfaatkan keadaan negara yang aman dan makmur ini. Barangkali saya bersikap terlalu cauvinis wanita. Tetapi saya percaya cauvinis wanita tidak akan wujud jika puncanya tidak ada. Fikirkanlah. Lelaki Melayu sudah semakin terpinggir. Masihkah kita mahu berpeluk tubuh? – AKMAL FAIRUZ, Victoria University of Wellington, New Zealand. ************************************************** 004. Apa Kata Ustaz Zaharuddin Apa pandangan anda? Sekali baca tulisan di atas, saya tidak dapat mengelak dari bersetuju dengan apa yang disebutkan. Walaupun tidak semua lelaki Melayu demikian tetapi kebanyakkan mereka mungkin tergolong dalam kategori itu. Saya tidak berpeluang mengulas panjang, tetapi cukuplah bagi kita mengambil pengajaran bahawa ia semuanya berpunca dari ketiadaan ilmu, malas, iman yang tipis dan jauhnya Islam dalam kehidupan. Hiburan menjadi rutin, seks dan duit menjadi kiblat dan Tuhan rekaan. La Hawla Wala Quwwata Illa Billah. Firman Allah SWT : وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُواْ دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا Ertinya : Dan tinggalkanlah orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai main-main dan senda-gurau, dan mereka telah ditipu oleh kehidupan dunia.." ( Al-An'am : 70) Memang benar ia satu masalah sebahagian lelaki melayu yang jenis 'sampah' ( sebagaimana dibahasakan tadi) , tetapi jika dilihat lebih mendalam, mengapa lelaki seperti ini berani mensampahkan dirinya untuk bersiul dan mengganggu wanita yang lalu lalang, jawabnya kerana ramai juga wanita yang mensampahkan dirinya dan 'amat murah' , boleh dimiliki hanya dengan top up prepaid card RM 10. """"Ini petikan email yang amat memening dan merungsingkan saya :- Sekarang nie masalah sosial dan seks bebas sangat serius di kalangan kawan² saya.. oh ya, utk pengetahuan ustaz saya baru habis blajar dari univ ( XXX saya delete-uzar) ..sebenarnye benda nie saya tau dah lama, tapi tak tau kepada siapa harus saya mengadu.. kawan² saya walaupun bergelar siswa, sembahyang tak penah miss, kalo ade kwn lain yg tak sembayang, dia siap marah lg.. tp hidup dia bergelumang maksiat..sepanjang 1 semester..lebih kurang 2 minggu sekali dia akan ke (deleted by uzar) atau tempat² yang ramai pompuan..dia just duduk n menunggu pompuan tegur..dengan bermodalkan senyum..tentu ade pompuan yang tegur.. bersembang dan pergi minum²..lepas minum, diorang akan cari tempat untuk lepas gian..kadang² rumah sewa pompuan tu...sebelum 6 pg kawan saya tu akan balik..nie baru 1 kes yg saya cerita..ade lg 2-3 kes, pengakuan ikhlas dari kawan saya yg lain lebih kurang sama jer kisahnyer.. Pompuan skarang nie begitu murah..dengan modal senyum, belanja minum, kadang² blanja topup..dah boleh dapat 'one night stand'..yang paling kerap saya dengar, dalam bas on the way nak balik kampug..kalau kebetulan kawan saya dapat dok sebelah pmpuan..dia akan try tekel pmpuan tu..pastu dpt la 'ringan²' sebelum sampai ke destinasi..>>>>(deleted).., lain kali kat tempat yg lebih selesa lagi..tu kes yang dlm bas..dia penah citer..stakat nie stiap kali balik kg, kalo dok sebelah pompuan jer, mesti dapat 'benda' tu.. dia penah citer jugak, dia ader pegi mandi kat wet world..nampak 2 orang pompaun (deleted by uzar).. bila saya dgr benda nie..saya fikir betapa teruknyer remaja sekarang..pompuan murah sangat..pmpuan kat (univ ....) nie sendiri tak terkecuali dari terlibat dlm seks bebas..yang saya cerita nie cuma kawan² saya dia (deleted)..bukan sorang dua, tapi ramai lagi. Saya ader jugak adik angkat..baru 16 tahun..tapi dah terlibat dengan seks bebas sejak usia 13 thn lg..saya try nasihat tapi tak guna, bila dia rasa nak..kadang² saya pun dia ajak..dia tu yg tinggal kat felda..dia ckp kebanyakan budak² felda dah biasa dgn benda nie..mak ayah tak tau..tu kes yg kat pedalaman..yg kat bandar pun sama..mak ayah benarkan anak pompuan dia bawak kawan laki tido kat rumah, bila smua org dah tido, yang laki² td menyusup masuk ke bilik pompuan..berlaku la adengan yg tak perlu saya cakap.. saya cakap nie berdasarkan pengalaman saya tangkap org buat camtu..dia mengaku dia rapat sangat dgn parents pompuan tu, so diorang tak kisah laki² tu tido rumah dia..dan dia ade ckp jugak, kawan² dia yg lain pun buat benda yg sama..dan saya sendiri pernah diizinkan tido di rumah kawan pompuan saya..tu baru kawan..camner la kalo pakwe dia dtg rumah.. - tamat petikan - """"""" Inilah yang disampaikan kepada saya oleh seorang pelajar Univeristi melalui email, memberitahu berkenaan masalah ke'murah'an wanita di areanya, hingga sekadar senyum pun seorang lelaki itu sudah mampu memiliki gadis itu secara haram. Sudahnya? ..mungkin lelaki sebegini bersifat tidak beradab kerana dalam kamus hidupnya mendapati tidak ramai wanita yang marah atau menolak ajakan 'sampah' mereka.. menyebabkan mereka sangka semua wanita boleh ber'sampah' dengan mereka. Maka ia adalah silap kaum wanita dan kaum lelaki sekaligus sebenarnya. Fikirkan.. Kemunculan 'wanita' sampah akan melahirkan lebih banyak lelaki 'sampah'. Akhirnya telur dulu atau ayam dulu??,. Jawabnya ..? Jawabnya, jangan salahkan 'dahan' dan 'ranting' yang rosak..tapi carilah puncanya iaitu akarnya yang beracun dan ubatilah, nescaya ia akan subur kembali. Firman Allah SWT : وَالْبَلَدُ الطَّيِّبُ يَخْرُجُ نَبَاتُهُ بِإِذْنِ رَبِّهِ وَالَّذِي خَبُثَ لاَ يَخْرُجُ إِلاَّ نَكِدًا كَذَلِكَ نُصَرِّفُ الآيَاتِ لِقَوْمٍ يَشْكُرُونَ Ertinya : Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh subur dengan seizin Allah; dan tanah yang tidak subur, tanaman-tanamannya hanya tumbuh merana. Demikianlah Kami mengulangi tanda-tanda kebesaran (Kami) bagi orang-orang yang bersyukur ( Surah Al-A'raf : 58) Justeru dari firman Allah SWT, tanahnya adalah punca kesuburan atau keracunan dahan dan buahnya. Hari ini lelaki 'sampah' dan wanita 'sampah' lahir akibat tanahnya tidak dibajai iman dan ilmu yang benar. Hal ini menjadikan beberapa wanita bertanya kepada saya akan apakah hukum wanita itu tidak berkahwin kerana tidak menjumpai lelaki soleh yang sesuai dijadikan suami yang boleh diharap. Saya tangguh jawapannya dulu. Ini pula adalah bukti kesopanan lelaki asing ? gambar di bawah menunjukkan Sejumlah 18,000 orang dengan sukarelanya berbogel di Zocalo Square, Mexico City kononnya atas nama seni. Tanpa rasa malu mereka berkumpul awal bulan lalu, semata-mata memenuhi hasrat seorang jurugambar profesional, Spencer Tunick untuk mencatat rekod dunia Sekian Ust Zaharuddin ********************************************* 005 . Apa Kata Yang Lain - "Jangan hukum lelaki Melayu"

Forum - utusan Malaysia 23.05.07

SURAT 1
SAYA amat tertarik dengan komentar saudari Akmal Fairuz dalam ruangan Forum, Utusan Malaysia bertarikh 22 Mei 2007. Sebagai individu yang pernah belajar di United Kingdom selama empat tahun, saya bersetuju dengan pendapat beliau yang menyatakan lelaki barat jauh lebih bermoral daripada kebanyakan lelaki Melayu di Malaysia. Mereka lebih mudah memberikan tempat duduk mereka kepada wanita atau kanak-kanak semasa menaiki kenderaan awam. Mereka juga bersedia membuka pintu jikalau kita mendukung anak atau waktu tangan kita sarat membawa barang-barang. Namun saya terkilan dengan kata-kata Akmal Fairuz di akhir tulisan beliau. Beliau mengatakan, “Mereka ini (lelaki Melayu) perlu diajar menghormati wanita. Wanita bukannya bodoh seperti dahulu. Yang bodoh sekarang ini ialah lelaki Melayu, kerana tidak tahu memanfaatkan keadaan negara yang aman dan makmur ini.” Atas dasar apakah Akmal Fairuz membuat kenyataan bahawa wanita dahulu bodoh? Pada pengamatan saya, walaupun ibu bapa atau nenek moyang kita dahulu tidak belajar hingga ke universiti apatah lagi keluar negara, tetapi kebanyakan mereka pandai mendidik anak-anak. Kerana didikan wanita-wanita dahulu maka kita mempunyai pemimpin yang berkaliber, pentadbir dan pengurus yang berwawasan, anak-anak muda yang mencipta pelbagai kejayaan di persada dunia. Kenapa sampai mengecam wanita dahulu sebagai bodoh hanya kerana marahkan lelaki-lelaki yang tidak menghormati wanita? Wanita dahulu lebih terjaga adabnya dan terpelihara maruahnya. Mereka tahu menjaga batas pergaulan di antara lelaki dan perempuan. Bersifat pemalu dan bersopan-santun. Adakah sikap sebegini yang menyebabkan mereka ini dikatakan bodoh? Hari ini kita dapat lihat betapa ramai wanita yang cemerlang dari segi akademiknya tapi runtuh moral dan peribadi mereka. Wanita-wanita yang hebat dalam bidang akademik ini belum tentu pandai dan bijak mendidik anak-anak mereka. Apa yang penting sebenarnya ialah kita semua tahu tanggungjawab kita sebagai seorang Islam, sebagai seorang lelaki dan sebagai seorang perempuan. Tegur-menegur itu penting tapi jangan sampai menghina sesiapa sebagai bodoh. – DR. FAUZIAH MOHD. NOOR, Kuala Lumpur.
SURAT 2
SEBAGAI seorang yang pernah tinggal di New Zealand, Australia, Amerika Syarikat dan England kesemuanya lebih 22 tahun (bukan dengan kedutaan Malaysia), saya kira saya layak mengulas tulisan Akmal Fairuz ini. Pertama, inilah sindrom anak-anak muda kita yang dihantar belajar ke negara-negara berbahasa Inggeris. Tidak sampai pun empat tahun di sana mereka pulang dengan pemikiran semua yang terdapat di negara berkenaan baik belaka. Walhal pemikiran-pemikiran ini kadang-kadang sempit dan tidak objektif. Sebagai seorang terpelajar Akmal seharusnya mengemukakan pertanyaan kenapa setengah-setengah muda-mudi Melayu berkelakuan demikian, sebab tiap fenomena buruk mesti ada sebab musababnya. Adakah ini kerana agama sudah diabaikan. Atau adakah ia disebabkan persekitaran yang kita wujudkan sendiri di mana hiburan adalah segala-galanya. Atau adakah ia disebabkan masalah sosio-ekonomi di mana bangsa Melayu sendiri merasa seperti mereka merempat di tanah airnya sendiri. Akmal pergi belajar di New Zealand, sebuah negara di mana bilangan kambing-birinya jauh melebihi penduduknya dan nilai-nilai dan cara-cara hidup adalah lebih baik dari England sendiri. Waktu saya di New Zealand 30 tahun lalu, hari Ahad memang hari agama. Kedai-kedai ditutup, semua orang bangun pagi dan pergi ke gereja. Bandar-bandar sunyi senyap. Tetapi sekarang Auckland, Wellington atau Christchurch sudah pun dicemari dengan gaya hidup 7-eleven dan sudah tidak tahu tidur lagi. Semasa di Melbourne 30 tahun lalu, saya sudah pun berdepan depan dengan anak-anak muda dalam kereta menunjukkan punggong kepada saya di satu hentian bas dan waktu melihat kawan-kawan main billiard saya dilontarkan dengan panggilan perkauman. Di Amerika dan England pun orang-orang bukan kulit putih (termasuk warga negara itu sendiri) sentiasa berdepan dengan kata-kata dan perbuatan yang terang-terang menyatakan mereka tidak dikehendaki. Soalnya ia bergantung kepada di kawasan mana kita berada. Kalau Akmal di London atau Birmingham dia bukan akan diganggu oleh anak-anak muda kulit putih tetapi anak-anak muda keturunan India, Bangladesh, Pakistan, Arab atau Filipina. Tetapi kalau di Scotland, Ireland atau Wales maka Akmal akan berdepan dengan muda-mudi kulit putih yang kurang ajar dan tidak menghormati wanita. Di California atau New York, Akmal akan berdepan dengan pelbagai bangsa, kulit hitam, Korean, Hispanic dan lain-lain bergantung kepada kawasan. – SAAD HASHIM, Ampang, Selangor.
SURAT 3
SAYA merupakan penuntut tahun ketiga University of Auckland, New Zealand dalam jurusan Perakaunan dan Kewangan. Pada hemat saya, pendapat yang saudari Akmal Fairuz utarakan amat keterlaluan dan tidak melambangkan sikap keseluruhan pelajar lelaki Melayu sama ada di tanah air mahupun di luar negara. Meletakkan tuduhan yang begitu serius dengan hanya berdasarkan pengalaman-pengalaman yang saudari alami, ternyata menampakkan saudari berhujah dengan emosional dan bukannya secara rasional. Cuba saudari fikirkan, adakah dengan penghujahan seperti itu dapat menginsafkan kaum Adam yang saudari gelar sebagai bodoh? Sudah pasti, tidak! Saudari harus melihat situasi semasa dengan skop yang lebih luas. Bukan sahaja pemuda Melayu, pemudi pun dua kali lima teruknya. Merokok, seks bebas, berpakaian menjolok mata, isu lesbian, pengkid, bohsia dan sebagainya antara isu yang melibatkan beliawanis masa kini. Saya pasti pengalaman saudari selama dua tahun di New Zealand boleh membantu saudari melihat permasalahan ini dari perspektif yang lebih luas. Sebagai contoh, tidakkah pernah saudari mendengar kisah pelajar-pelajar perempuan bertudung dikacau oleh lelaki-lelaki Inggeris? Dicemuh dengan panggilan yang menjijikkan, diludah, serta dibaling dengan telur dan botol arak ataupun diekori lelaki Inggeris untuk dijadikan ‘rakan sekatil’. Ini adalah di antara seribu satu pengalaman pahit yang mungkin tidak dapat saya lupakan. Bahkan, saban hari media tempatan seperti New Zealand Herald kerap membicarakan isu pemuda New Zealand yang terlibat dengan pelbagai masalah sosial; lumba haram, memandu secara mabuk, seks bebas, sumbang mahram, kes buli, gangsterisme dan sebagainya. Bahkan masalah keciciran di kalangan pemuda New Zealand di sekolah. Di New Zealand budaya berparti lebih-lebih lagi pada Jumaat malam, sudah sebati dengan kehidupan sosial mereka. Mereka hidup tanpa haluan dan tujuan yang jelas. Adakah ini contoh perlakuan pemuda-pemuda New Zealand yang saudari banggakan? Biarpun masalah yang hampir serupa turut melanda segelintir lelaki-lelaki Melayu, saudari tidak boleh meletakkan tuduhan serius sedemikian rupa kepada majoriti lelaki Melayu Muslim, yang rata-rata masih bertanggungjawab serta mempunyai misi dan visi dalam hidup mereka. Membebankan pemuda Melayu dengan pelbagai cemuhan dan tuduhan yang bias, bukanlah suatu tindakan yang bijak. Sewajarnya jika mereka dianggap bermasalah, kita wajar mengkaji penyelesaian yang sesuai untuk menangani permasalahan ini. Terima kasih kepada saudari kerana membangkitkan isu ini. Cuma lain kali, tajamkan minda sebelum ingin menajamkan pena. Lelaki Melayu yang boleh diharap, tidak bodoh, dan tidak bermasalah, – PELAJAR, University of Auckland, New Zealand.

5/21/2007

Psikologi TV realiti

Kesihatan Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN Prof. Dr. Azhar Md. Zain (Pakar Perunding Kanan perubatan Tingkahlaku/Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia). WALAUPUN anda bukanlah penggemar program televisyen (TV) realiti seperti Akademi Fantasia (AF), namun tidak mudah bagi anda untuk mengelaknya. Obsesi terhadap televisyen realiti membuat sesetengah orang tertanya-tanya, ada apa dengan genre baru ini yang membuatkan kita melekat di hadapan televisyen sepanjang musim penayangannya. Terdapat dua tanggapan lazim yang dilemparkan kepada para penonton televisyen realiti. Pertama, mereka terpaksa menontonnya sebagai buah mulut untuk dikongsikan bersama rakan-rakan di sekolah mahupun pejabat, agar nanti tidak dikatakan sebagai ketinggalan. Kedua, para penonton televisyen realiti kebanyakannya didakwa mempunyai tahap intelektual (IQ) yang lebih rendah berbanding para penonton rancangan televisyen lain. Bagaimanapun, kajian telah membuktikan sebaliknya. Dan ketika para penggemar AF semakin suspen menantikan konsert akhir musim kelimanya yang bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan, mungkin juga untuk selama-lamanya, Pakar Perunding Kanan perubatan Tingkahlaku/Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Md. Zain bersedia menjawab beberapa persoalan mengenai televisyen realiti dari sudut pandangan psikologi. ?Kenapakah program televisyen realiti boleh menjadi begitu popular? Apa-apa sahaja yang menyebabkan kita rasa teruja akan menyebabkan hormon adrenalin – sejenis neurotransmiter yang diperlukan oleh saraf untuk berfungsi, meningkat. Tugasnya merangsang saraf-saraf autonomi supaya bersedia dalam keadaan yang bahaya. Adrenalin dirembeskan dan akan ke saraf jantung agar mengepam darah lebih banyak, ke otot-otot untuk lawan atau lari. Dalam kes AF, kita cemas nak tahu siapa yang bakal tersingkir, pada masa itu adrenalin akan naik, pergi ke jantung, jadi laju, seram sejuk, tak selesa dan tekak kering. Kalau sentiasa berlaku begini tak baik juga kerana ia akan menyebabkan sistem saraf autonomik sentiasa aktif. Jantung yang sentiasa dalam keadaan laju akan memberi kesan kepada tekanan darah terutamanya di kalangan orang tua yang tidak sihat. ?Kesannya terutama sekali terhadap remaja yang menjadi golongan sasar program-program seumpama ini? Apa-apa sahaja aktiviti yang kita buat tidak semuanya negatif dan tidak semuanya positif. Samalah juga kesannya kalau kita tengok Piala Dunia. Orang sanggup tunggu sampai tengah malam walaupun esok kerja sebab tarikannya kuat. Pada dasarnya, ia bagus kerana remaja boleh berkumpul bersama keluarga dan fokus pada satu-satu rancangan walaupun dalam masa singkat. Mereka boleh menyasarkan kesukaan kepada idola atau kelab peminat. Sekurang-kurangnya, pada waktu itu, mereka tidak terlibat dengan gejala sosial seperti mat rempit. Remaja merupakan satu peringkat umur yang mempunyai banyak tenaga. Mereka bertindak melalui tekanan rakan sebaya. Cuba kita bayangkan kalau kumpulan itu kita boleh positifkan lagi hingga terbit ciri-ciri keusahawanan seperti menjual baju T atau sebagainya. Kalau kita perhatikan, bukan semua peserta yang menghadiri uji bakat benar-benar berbakat. Ada sesetengahnya yang dilihat sampai ke tahap ‘memalukan’ diri sendiri semata-mata untuk menarik perhatian dan mengejar populariti melalui jalan singkat. Bukan menarik perhatian sangat tapi orang yang pergi uji bakat majoritinya tidak sedar mereka tidak bagus. Istilah psikologinya, state of denial (penafian). Ramai orang yang rasa mereka boleh menyanyi jadi bila dia pergi karaoke, dia rasa dia menyanyi sedap. Maka, jadilah uji bakat tersebut medan menguji peluang mereka untuk menang dan menjadi terkenal. Mungkin dia patut buat benda lain kalau tidak berjaya. Salah satu ramuan kejayaan program realiti seperti AF adalah kerana penonton seolah-olah melihat diri sendiri dalam diri idola mereka yang cuma orang biasa seperti mereka juga. Itu sebabnya mereka pergi uji bakat kerana faktor penafian itu, rasa macam berkebolehan yang tinggi tapi sebenarnya biasa sahaja. ?Tidakkah ia mengajar remaja mengambil jalan mudah dalam apa jua yang mereka lakukan? Menyanyi bakat semula jadi yang ada pada seseorang, bukan nak jadi guru, peguam, akauntan. Kalau dah ada bakat menyanyi Allah taala bagi, jika dibentuk dengan betul dalam masa yang singkat, dia boleh jadi baik. Bukan dalam akademi sahaja tapi lepas keluar pun kerana ini satu proses pembelajaran berterusan. Dia akan belajar lagi setahun dua, akan jadi penyanyi yang semakin baik dan baik. ?Bagaimana Prof. melihat komen-komen pedas dan keras seperti ‘awak teruk’ oleh pengkritik? Mereka ini remaja, cara kita kritik tak boleh kritikal tetapi lebih bersifat psikologi. Biasanya kita positifkan dulu lepas tu kita cakaplah yang tak berapa baik dengan cara yang berlapik. Pertamanya, dia remaja, tak cukup matang terima kritikan macam orang dewasa. Keduanya, ia disaksikan oleh seluruh negara. Imej dia akan jatuh. Kalau kita nak kritik orang, biasanya secara tertutup. Mereka perlu kritik dengan tujuan nak bagi improve, itu bagus tapi dia kena belajar cara nak kritik depan orang ramai. Daripada anda melemahkan semangatnya, pengkritik boleh kata: “Anda dah buat yang bagus, saya akan bagi 80 peratus tapi anda boleh naik 90 peratus kalau buat A, B, C.’’ Jadi remaja tu pun akan kata, “Oh, saya okey, bagus tapi boleh jadi lebih baik.’’ Kalau peserta tak kuat, dia rasa “Oh tuhanku, aku tak berguna,’’ itu boleh memberikan impak psikologi seperti rasa rendah diri, tak berguna, malu pada semua orang, rasa bersalah. Mungkin dia ada keturunan sakit jiwa kita tak tahu, jadi dia ada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kemurungan. Tapi Prof., bukankah cara begitu lebih realistik. Kalau tak boleh menyanyi, cakap sahaja tak boleh menyanyi daripada menggula-gulakan mereka dengan kata-kata yang berbentuk peneguhan (reinforcement) positif. Betul, anda boleh buat begitu tapi para peserta ini bukan teruk sangat. Kalau benar, mereka takkan berada di situ. Daripada berapa ribu yang pergi uji bakat, mereka antara beberapa yang terpilih. Jadi, tak patutlah kalau nak kata mereka teruk. Anda boleh kritik orang macam pemain bola sepak profesional yang dibayar RM100,000 sebulan misalnya tapi tak boleh sumbat gol. Mereka layak dikritik sebab mereka dibayar tapi budak-budak ini baru nak belajar. ?Apakah sikap yang perlu diambil oleh para peserta apabila dikritik? Tentu sekali bersikap positif dan selalu berfikiran bahawa pengkritik tiada niat buruk, cuma mungkin teknik tak berapa tepat. Pengkritik berpengalaman dari segi pengetahuan mereka tapi mungkin tak ada pengalaman mengkritik. Kita rakyat malaysia tak melawan balik. Tapi kalau kita lihat American Idol, Simon Cowell sampai kena hentam dengan kata-kata kesat oleh peserta kerana keceluparannya. Lagipun, dia sendiri bukan performer, tak adapun bakat yang idola tu ada, jadi adillah. Luahkan kalau kita rasa kritikan tak membina. Kadang- kadang, benda yang dikritik pun ada yang tak logik juga. ?Kalau kita pun guna pendekatan sama, bolehkah rakyat Malaysia menerimanya? Menarik juga untuk melihat apa yang bakal terjadi, sejauh mana orang kita boleh menerimanya. Tapi kemungkinan besar kebanyakan dari kita belum bersedia kerana budaya menerima sahaja. Sebab itulah kita tak boleh maju. Lain dengan di luar negara, kita dibenarkan untuk bercakap dan mencabar pendapat pensyarah tapi kat sini apa yang pensyarah cakap, itu sahajalah. Ia tak baik dalam jangka panjang. Tapi ini proses tumbesaran, cara dia tidak bersetuju kena berhemah, tak boleh macam di Amerika. Tapi kalau cabar, “Terima kasih, saya setuju dengan apa yang pengkritik katakan bagaimanapun saya rasa saya tak dapat buat salah satu yang anda katakan tadi sebab... (terangkan kenapa).’’ Saya rasa ia sesuatu yang positif patut kita ada. Saya harap satu hari nanti satu dua peserta akan menjadi lebih berani untuk mencabar. Orang ramai akan menyukainya. ?Secara psikologi, apa kelebihannya? Ia menunjukkan anda matang, berani, ada prinsip, dan punya kemahuan untuk meletakkan pendirian di depan. Ada kalanya pengkritik hanya perlu mengatakan sesuatu sebab mereka perlu mengkritik. Jadi dia kena cari salah, yang sebenarnya tidak betul. Kalau semuanya okey, okeylah. Orang mungkin akan kata, nanti peserta besar kepala, ingat dia bagus. Apa salahnya kalau dia dah terror? Ada yang berpendapat, rancangan seperti AF boleh memberikan inspirasi kepada remaja dan anak-anak untuk mencapai matlamat mereka. Saya rasa kita patut ada benda lain juga bukan setakat fokus nyanyian dan hiburan semata-mata contohnya masakan, keusahawanan, kepimpinan, sukan, fotografi dan sebagainya. Kita boleh adakan program realiti yang boleh membentuk remaja menyeluruh, sesuatu yang ada pada remaja dan boleh diketengahkan. Ada remaja yang mungkin tak pandai belajar tapi pandai buat fesyen rambut, jahit baju, masak, kenapa kita tak gunakannya. Semasa awal kemunculannya dahulu, program realiti mendapat kritikan hebat dan dikatakan bakal berkubur dalam masa singkat. Namun, ia masih bertahan hingga kini. Tidak lama..., akan tiba masanya orang akan bosan dan cipta benda baru. Kita kena bergerak bersama masa, dalam masa sama positifkan benda tu dan cuba kekalkan budaya kita. Macam kritikan, mungkin bukan budaya kita tapi kalau kita boleh cakap dengan cara yang elok, itu satu kemajuan dalam budaya kita. Kita akan membina remaja yang berani untuk menyatakan pendirian secara bertamadun.

Subhanallah - Bayi Disah Mati Bergerak Sebelum Dikapan

Oleh Zuliaty Zulkiffli JITRA: Penduduk Kampung Padang di sini yang menghadiri majlis pengebumian seorang bayi perempuan yang disahkan mati oleh doktor di Hospital Jitra kerana tidak cukup bulan, gempar apabila bayi itu tiba-tiba bergerak. Kejadian berlaku kira-kira jam 12 tengah hari semalam, di rumahnya di kampung berkenaan, ketika bayi yang dilahirkan pada usia dalam kandungan enam bulan itu, dikapan. Bayi itu kemudian dibawa semula ke Hospital Jitra dan dimasukkan semula ke dalam inkubator di wad kanak-kanak sekitar jam 1 petang, manakala ibunya, Nordewiyana Din, 28, dihantar ke Hospital Alor Star untuk rawatan lanjut kerana komplikasi ketika bersalin. Bapa bayi itu, Azmi Masiron, 26, berkata anak keduanya itu dilahirkan kira-kira jam 11 pagi semalam dengan berat kira-kira 330 gram dan 15 sentimeter panjang tetapi doktor memaklumkan dia meninggal dunia sebaik saja dilahirkan. "Isteri saya menunggu di unit kecemasan sejak jam 7.50 pagi dan dibenarkan masuk ke bilik bersalin kira-kira jam 11 pagi. Beberapa minit kemudian, doktor memanggil saya dan memaklumkan bayi saya sudah meninggal dunia lalu meminta kami menguruskan pengebumiannya,” katanya ketika ditemui Berita Harian, di rumahnya, di sini. Azmi kemudian menghubungi bapa mentuanya, Din Ahmad, 65, supaya membuat persediaan untuk mengebumikan anaknya itu termasuk menggali kubur. Sepanjang perjalanan van dari hospital ke rumahnya sejauh lima kilometer, dia memangku bayinya dalam keadaan bertutup. "Bagaimanapun, ketika bapa mentua saya mahu meletakkannya di atas kain kapan, bayi itu bergerak dan penduduk kampung terkejut," katanya yang kemudian terus menghubungi ambulans untuk membawa semula anaknya itu ke hospital. Bayi yang belum bernama itu dimasukkan semula ke dalam inkubator Wad Kanak-kanak Hospital Jitra sekitar jam 1 petang. Azmi, pembantu kantin di Sekolah Menengah Tanjung Pauh di sini, yang mempunyai seorang lagi anak lelaki berusia sembilan bulan, kesal dengan kejadian itu dan bercadang membuat laporan polis. Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Hasnah Ismail, berkata jabatan akan menyiasat dakwaan itu tetapi enggan mengulas lanjut. ©The New Straits Times Press (M) Berhad-21.05.2007

Subhanallah - Lelaki ‘hamil’ kembar sendiri

“BHAGAT tak malu, Bhagat mengandung, ada bayi di dalam perut Bhagat.’’. Begitulah antara ejekan yang diterimanya daripada orang kampung. Perut Sanjay Bhagat, 36, sudah seperti wanita mengandung sembilan bulan. Tambah malang, dia juga tidak boleh bernafas dengan lancar. Pada suatu malam, Jun 1999, petani yang tinggal di Nagpur, India itu terpaksa dikejarkan ke hospital dengan ambulans. Pada mulanya, doktor menyangkakan, ia tidak lebih dari kes ketumbuhan gergasi lantas mereka mengambil keputusan untuk membedahnya. ‘‘Pada dasarnya, tumor itu terlalu besar sehingga menekan diafragma Bhagat dan mengganggu pernafasannya,’’ kata Dr. Ajay Mehta dari Tata Memorial Hospital di Mumbai. Menurut Dr. Mehta, selalunya dia boleh mengenal pasti sesuatu ketumbuhan sejurus selepas memulakan pembedahan. Bagaimanapun, semasa melakukan prosedur itu ke atas Bhagat, pakar bedah berkenaan menjumpai sesuatu yang tidak pernah terlintas di akal fikirannya. Semakin dalam pisaunya menoreh perut Bhagat, bergelen-gelen cecair tertumpah keluar sebelum sesuatu yang lebih luar biasa terjadi. “Sungguh dahsyat. Saya boleh berjabat tangan dengan seseorang yang berada di dalam perutnya,’’ ujar beliau. Seorang doktor lain mengimbas kembali hari berkenaan di dalam bilik pembedahan: ‘‘Dr. Mehta menyeluk tangannya ke dalam perut pesakit dan berkata, dia dapat merasa banyak tulang-temulang di dalamnya. “Mula-mula, satu anggota badan keluar, kemudian keluar lagi satu anggota badan. Berikutnya, bahagian alat sulit pula dikeluarkan, diikuti dengan rambut, rahang, tangan, dan seterusnya,’’ katanya. Sungguh aneh. Makhluk separuh terbentuk yang menumpang Bhagat selama ini mempunyai kaki dan tangan yang sudah agak sempurna manakala kuku jarinya pula panjang seperti puntianak. ‘‘Kami sangat ketakutan, keliru dan kehairanan,’’ tambah Dr. Mehta. Sekali pandang, Bhagat seolah-olah baru sahaja melahirkan seorang bayi. Sedangkan sebenarnya, Dr. Mehta baru sahaja mengeluarkan tubuh saudara kembar Bhagat daripada perutnya. Kes Bhagat disifatkan sebagai salah satu keadaan perubatan yang paling pelik di dunia yang dikenali sebagai fetus in fetu. Ia merupakan keganjilan yang sangat jarang berlaku di mana fetus atau janin terperangkap di dalam tubuh badan salah seorang pasangan kembar. Janin yang terperangkap itu boleh hidup sebagai parasit sekalipun selepas dilahirkan dengan membentuk struktur mirip tali pusat yang meresap bekalan darah kembar mereka, sehingga ia menjadi begitu besar dan menjejaskan ‘tuan rumah’. Kurang 90 kes fetus in fetu yang pernah direkodkan dalam bidang perubatan. Ia terjadi pada peringkat awal kehamilan kembar apabila salah satu janin akan menyelaputi tubuh janin yang satu lagi. Lazimnya, kedua-dua pasangan kembar itu akan mati di dalam perut lagi dan tidak sempat dilahirkan akibat ‘pertarungan’ untuk berkongsi uri yang membekalkan zat pemakanan. Bagaimanapun, ada ketikanya, dalam kes-kes seperti Bhagat, kembar perumah (Bhagat) terus hidup dan dilahirkan seperti biasa. Namun, apa yang menjadikan insiden ini sangat luar biasa, tiada seorang pun yang mengesyaki Bhagat mengandungkan kembarnya sendiri selama 36 tahun! Tiada uri yang dijumpai di dalam perut Bhagat. Mungkin kerana kembar parasitnya yang berselubung itu mempunyai kaitan secara langsung dengan bekalan darah Bhagat. Bhagat ternyata begitu lega selepas pembedahan itu. Dia langsung tidak mahu ambil tahu apa yang telah Dr. Mehta lakukan ke atas dirinya mahupun berminat untuk melihat objek yang berjaya dikeluarkan dari dalam perutnya. ‘‘Dia enggan melihatnya kerana ia begitu mengecutkan perut,’’ kata Dr. Mehta lagi sambil memberitahu, Bhagat kini berada dalam keadaan yang stabil dan menjalani hidup yang normal walaupun sesekali dia masih tidak dapat lari daripada terus dipersenda. Glosari Diafragma – otot nipis bermembran berbentuk kubah yang memisahkan ruang torasik dan abdomen yang memainkan peranan penting dalam pernafasan. -utusan Malaysia – 19.05.07 – kesihatan

5/20/2007

Memartabatkan e-fatwa

Oleh: MOHD. NOR MAMAT PORTAL Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mentakrifkan e-fatwa sebagai satu laman web yang menyediakan maklumat-maklumat fatwa iaitu keputusan fatwa dan fatwa yang telah diwartakan di negeri-negeri seluruh Malaysia. e-fatwa adalah aplikasi berasaskan web dan dibangunkan oleh Bahagian Perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan dikemas kini oleh Jawatankuasa Teknikal yang terdiri daripada pegawai-pegawai di Jabatan-Jabatan Mufti di seluruh Malaysia. Secara teknikalnya, e-fatwa bukan sahaja berupa laman web tetapi lebih berperanan sebagai aplikasi pengurusan pangkalan data fatwa secara elektronik yang telah dibangunkan bersama oleh autoriti Jakim dan Jabatan-Jabatan Mufti seluruh Malaysia. Kemunculan portal e-fatwa membuka lembaran baru ke arah menyemarakkan maklumat Islam di Internet. Portal e-fatwa telah diusahakan oleh Jakim dan Jabatan Mufti seluruh Malaysia sejak 2001. Ia telah dilancarkan secara rasminya pada 23 Disember 2003 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Setelah lebih empat tahun digunakan, e-fatwa kini menerima 169,316 pelawat sejak 1 April 2003. Mutakhir ini, kita sering didedahkan dengan istilah tekno-daie yang awalnya diperkenalkan secara meluas dalam negara kita oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kejayaan menggabungkan teknologi dan daie dalam projek portal e-fatwa membuktikan umat Islam perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam suatu kumpulan ataupun secara kolektif. Kejayaan berikutnya pula ialah usaha memberikan komitmen dalam mempelbagaikan lagi maklumat di dalam e-fatwa ini dan menggunakan aplikasi tambahan seperti e-forum di kalangan pentadbir pengurusan istinbat dan mufti seluruh negeri. Ini sudah tentu memberikan suatu manfaat yang baik dan boleh menyelesaikan sesuatu masalah tanpa bertemu di dalam sesuatu mesyuarat. Bahkan e-forum boleh memberi peluang berbincang secara langsung sebelum sesuatu muzakarah diadakan. Ketua Pengarah IKIM, Datuk Dr. Abdul Munir Yaacob membayangkan laman web itu bakal memberikan maklumat yang lengkap kepada umat Islam di negara ini. Ini boleh menjadi jalan penyelesaian kepada sikap sebahagian besar umat Islam tidak mengendahkan fatwa-fatwa yang dikeluarkan kerana sukar memperoleh maklumat atau dokumen berkaitan sebelum ini. Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menggambarkan pelancaran laman web e-fatwa itu tepat pada masanya dan orang ramai terutamanya golongan muda mudah mengetahui fatwa yang dikeluarkan. Di Malaysia, e-fatwa telah menjadi satu sumber utama yang menghubungkan masyarakat Islam dengan mufti sebagai mewakili ulama yang autoritatif dalam menjalani kehidupan harian membabitkan aspek akidah, ibadah, muamalat, munakahat dan sebagainya. Portal e-fatwa ini mengandungi dua bahagian utama berkaitan fatwa iaitu fatwa yang diwartakan dan fatwa yang tidak diwartakan bagi setiap negeri di seluruh Malaysia. Tinjauan ke atas kandungan fatwa dalam portal e-fatwa semasa mendapati sebahagian negeri memasukkan fatwa yang diwartakan sementara sebahagian negeri tidak berbuat demikian termasuk WP, Sarawak dan Sabah. Malah terdapat juga fatwa berkaitan penggunaan hormon umpamanya diletakkan dalam klasifikasi ‘perubatan’ sementara di negeri lain diletakkan dalam klasifikasi ‘lain-lain’. Tinjauan juga mendapati klasifikasi fatwa yang digunakan adalah tidak terpiawai dengan satu kaedah yang tertentu. Ini dapat dilihat dengan kepelbagaian klasifikasi yang digunakan oleh setiap negeri malah lebih menarik apabila terdapat negeri yang menggunakan klasifikasi ‘lain-lain’ sebagai jalan mudah. Ini tentunya menyukarkan pengguna yang keliru dengan kedudukan fatwa yang sama di negeri yang berbeza. Terdapat juga perbezaan dari sudut penyediaan maklumat keterangan kepada hujah sesuatu fatwa. Keterangan ini adalah sesuatu yang amat penting kepada masyarakat dalam memahami ketelusan sesuatu fatwa yang dikeluarkan. Didapati sebahagian negeri memasukkan ruang keterangan manakala sebahagian besarnya tidak. Keputusan fatwa semata-mata tanpa keterangan jelas bakal mengundang seribu satu perbahasan selanjutnya. Dari sudut maklumat semasa fatwa yang dipaparkan dalam e-fatwa, didapati kandungan fatwa yang paling terkini adalah dikeluarkan pada 2002. Secara ironisnya, tiada sebarang fatwa diputuskan atau diwartakan oleh mana-mana negeri mahupun Jawatankuasa Muzakarah Fatwa Kebangsaan sejak 2003 sehingga kini. Rintisan pembangunan portal e-fatwa adalah seharusnya mempercepatkan penyebaran fatwa kepada masyarakat umum yang sudah tentu tidak memerlukan tempoh lama untuk tujuan percetakan dan penjilidan seperti amalan konvensional. Memandangkan dasar dan kandungan e-fatwa boleh ditentukan oleh negeri-negeri dengan persetujuan Bahagian Penyelidikan dan Keurusetiaan & Perhubungan Antarabangsa Jakim, beberapa cadangan dikemukakan untuk dipertimbangkan bagi tujuan penyeragaman serta penambahbaikan e-fatwa. Tinjauan evaluatif ini bukanlah dibuat secara komprehensif tetapi agak memadai untuk tujuan pemantapan portal e-fatwa yang sedia ada demi memartabatkan lagi kedudukan fatwa dan institusi mufti peringkat nasional dan global. Perhatian dan penelitian perlu ditumpukan kepada beberapa perkara yang asas iaitu: Fatwa yang tertera dalam e-fatwa hendaklah sentiasa dikemas kini memandangkan masyarakat Islam memerlukan fatwa bagi tujuan rujukan kes atau permasalahan yang berlaku dari semasa ke semasa. Jenis klasifikasi yang digunakan hendaklah seragam dan konsisten antara setiap negeri agar tidak mengelirukan pengguna dan memudahkan carian maklumat fatwa oleh masyarakat Islam. Kaedah klasifikasi hendaklah ditentukan oleh mufti atau jawatankuasa instinbat berdasarkan dominasi hukum yang lebih cenderung kepada permasalahan akidah, ibadah, muamalat dan sebagainya. Keupayaan carian pantas menerusi enjin carian perlu disediakan untuk lebih efisien dan efektif berdasarkan kepada klasifikasi yang seragam. Rujukan keterangan/ulasan adalah sangat penting untuk memberi kefahaman dan keyakinan masyarakat Islam terhadap sesuatu hukum yang diputuskan. Ia juga melambangkan ketelusan institusi mufti membuat sesuatu hukum berasaskan kepada prinsip dan premis yang tepat. Sokongan grafik/multimedia juga boleh membantu mempertingkatkan kefahaman masyarakat Islam. Umpamanya, permasalahan berkaitan suntikan hormon yang disertakan dengan grafik hormon akan lebih memperjelaskan kepada pengguna yang tidak mengetahui tentang hormon. Interaksi masyarakat dengan mufti menerusi e-forum juga wajar disediakan terutamanya yang membabitkan panduan kehidupan. Meskipun tidak memerlukan kepada keseluruhan panduan dan jawapan daripada mufti itu diwartakan atau disebarkan, namun panduan autoritatif daripada mufti adalah amat berharga bagi masyarakat Islam di samping mengelakkan kepelbagaian pandangan yang tidak autoritatif. Komitmen kerajaan dalam menyebarkan sesuatu fatwa untuk kesejahteraan dan keharmonian masyarakat sudah tentu memerlukan ketekunan masyarakat untuk mengakses fatwa serta menghormatinya dalam kehidupan harian mereka. Sebagaimana pengalaman di Brunei yang penguatkuasaan fatwanya agak mudah apabila jumlah masyarakat Islam yang kecil mudah menerima dan mengakses fatwa yang disampaikan. Aspek penambahbaikan yang perlu ditekankan, bagaimana pula fatwa tersebut juga boleh menjadi rujukan global umat Islam yang lain, sekurang-kurangnya rujukan umat serantau. Secara mudahnya, kita memahami bahawa fatwa adalah sesuatu yang amat penting untuk umat Islam selepas terhentinya wahyu, al-Quran dan hadis. Apatah lagi dalam suasana semasa yang semakin mengelirukan dan umat Islam berada dalam ketandusan ilmu, maka fatwa adalah jalan penyelesaian kehidupan yang paling bermakna. Dengan wujudnya e-fatwa, ia menjadi sumber rujukan autoritatif mudah akses, sebagai panduan kepada kehidupan masyarakat dengan hanya klik, sebagai medan forum interaksi masyarakat-mufti secara maya, sebagai sumber ilmu autoritatif akademik yang tersedia sepanjang masa dan juga sebagai penyelesaian kekeliruan dan salah faham isu semasa pada bila-bila masa dan di mana-mana secara global. Akhirnya, adalah amat wajar e-fatwa digarap secara lebih efisien dan efektif dengan kandungan yang terkini dan sistematik. - PENULIS ialah Koordinator Perhubungan Korporat dan Pensyarah Kanan Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

SEKADAR BERKONGSI MAKLUMAT

SILA BACA MAKLUMAT INI UNTUK MAKLUMAN SEMUA : -

ASN

5/12/2007

SC KEMASKINI SENARAI AMARAN

Oleh: TAN MING WAI - UTUSAN MALAYSIA 12.05.2007 KUALA LUMPUR 11 Mei – Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang mengemas kini nama-nama syarikat dan web dalam Senarai Amaran badan itu, hari ini mengeluarkan tiga syarikat dan lima laman web yang sebelum ini kegiatannya disifatkan melanggar undang-undang sekuriti. Ketiga-tiga syarikat yang dikeluarkan daripada senarai itu ialah Lamp Berger dan Matrix Cash di samping Jai Network Sdn. Bhd. tetapi SC mengekalkan Jai Network System Sdn. Bhd. dalam senarai tersebut kerana kedua- duanya adalah syarikat berbeza. Laman web yang dikeluarkan pula ialah Gold Quest/Quest International (www.goldquest.com), Quest International (www.goldquest.com), Quest (www.quest.net), Solid Group (www.solidworldwide.org) dan www.32505.com. Pada masa yang sama, laman web SC (www.sc.com.my) menyenaraikan satu lagi laman web dalam Senarai Amaran tersebut iaitu ABFund (www.abfund.us). Ini menjadikan keseluruhan dalam Senarai Amaran itu ialah 45 laman web dan 15 syarikat, yang mana kesemuanya dikesan menjalankan aktiviti pasaran modal dan sekuriti tanpa kelulusan SC. Utusan Malaysia difahamkan, tindakan SC mengeluarkan nama syarikat-syarikat itu daripada senarai tersebut disebabkan semakan semula oleh suruhanjaya tersebut setelah diberi penjelasan oleh pihak syarikat terbabit. SC juga membuat keputusan itu selepas mengkaji dan menerima penjelasan daripada ketiga-tiga syarikat berkenaan bahawa mereka tidak terlibat dalam kegiatan menawarkan pelaburan yang melanggar undang- undang. Orang ramai yang ingin meminta penjelasan atau membuat aduan boleh berbuat demikian kepada SC di talian 03-62048999 atau e-mel aduan@seccom.com.my.

PINJAMAN PERUMAHAN PERBENDAHARAAN

Ke web berkaitan - klik sini

Jenis-jenis pembiayaan - SPPP & SPPI

Kepada yang beragama Islam seharusnya kita memilih SPPI (Pembiayaan Secara Islam - PRINSIP AL-BAI' BITHAMAN 'AJIL)

Ingin melihat perbezaannya sila klik dekat link SPPP & SPPI di atas.

Sebarkannya maklumat berguna ini kepada Kakitangan/Pegawai Kerajaan Islam yang lain.

Pandangan peribadi mufti bukan fatwa – Mashitah

12 mei 2007 - utusan malaysia
BALING 11 Mei – Pandangan peribadi seseorang mufti terhadap sesuatu isu yang timbul dalam masyarakat Islam di negara ini tidak boleh dianggap sebagai satu fatwa selagi ia tidak diputuskan oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, kekeliruan berlaku di kalangan umat Islam apabila beberapa orang mufti membuat kenyataan berhubung sesuatu perkara sehingga ia dianggap sebagai satu fatwa.

Menurutnya, kenyataan seseorang mufti tentang sesuatu isu merupakan pandangan peribadi beliau dan sebarang fatwa yang mahu dikeluarkan seharusnya diputuskan melalui Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.

“Ini mungkin pandangan peribadi mufti berkenaan dan tidak patut ia dibincangkan secara terbuka sehingga umat Islam menjadi keliru,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung kali ke-22 Koperasi Pekebun Kecil Getah Daerah Baling Berhad di Dewan Tun Razak di sini, semalam.

Menurutnya, bukan orang biasa sahaja yang membincangkan tentang kenyataan mufti tetapi perkara itu juga dibincangkan dalam Parlimen kerana Ahli Dewan Rakyat juga terkeliru dengan isu berkenaan.

Dr. Mashitah menambah, pihaknya menerima banyak reaksi daripada masyarakat Islam yang mahukan kerajaan memberi penjelasan berhubung kenyataan mufti terbabit.

Apabila berlaku kekeliruan berhubung sesuatu perkara katanya, mufti-mufti perlu duduk berbincang sesama mereka dan memberikan satu kenyataan yang jelas termasuk sama ada ia merupakan satu fatwa atau sebaliknya.

Tegas beliau, semua pihak tidak boleh terlalu peribadi dengan mengeluarkan fatwa sendiri tanpa penelitian khusus dan mendalam terhadap soal hukum.

Katanya, mufti mempunyai ruang khusus untuk membincangkan tentang sesuatu dan tidak membincangkannya di khalayak ramai sebelum mengumumkannya kepada khalayak.

pppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp

Muslim diperintah jana semangat rajin bekerja

Oleh Mohd Shukri Hanapi – Bicara agama BH 23.04.07 TIADA seorang pun yang menafikan bahawa setiap orang mahu bekerja atau mendapatkan pekerjaan untuk menjamin kehidupan dan keluarganya. Namun, ada segelintir pekerja dalam masyarakat Islam hari ini, mempunyai persepsi agak berbeza terhadap kerja.

Bagi mereka, kerja adalah perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari atau sebagai satu amalan rutin yang tidak membabitkan perancangan, etika dan peningkatan mutu.

Mereka bekerja sambil lewa dan sesuka hati saja, malah hanya dibuat seperti disebut dalam pepatah Melayu, “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Ada juga tidak mengambil berat mengenai pekerjaan, tetapi hanya memperbanyakkan ibadat kepada Allah kerana hanya inginkan keuntungan akhirat tanpa mempedulikan hal dunia.

Apakah mereka tidak sedar bahawa bekerja itu adalah ibadat yang dijanjikan ganjaran pahala di dunia dan di akhirat? Bekerja adalah perkara yang sangat dituntut Allah untuk membolehkan umat manusia memakan rezeki kurniaan-Nya dan secara tidak langsung memakmurkan bumi.

Hal itu bertepatan dengan konsep penciptaan manusia itu sendiri sebagai khalifah di muka bumi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya.” – (Surah al-Mulk, ayat 15)

Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya.” – (Surah Hud, ayat 61)

Berdasarkan ayat itu, kerja adalah tugas yang tidak dapat dielakkan dan tanggungjawab agama. Malah sebarang usaha mencari rezeki yang halal adalah fardu ain.

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Mencari sesuatu yang halal adalah satu fardu sesudah menunaikan fardu (sebelumnya).”Allah mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya untuk membolehkan mereka bekerja mencari rezeki yang halal. Oleh itu, kita hendaklah berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah.

Adapun bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan pula, mereka itu samalah seperti pesakit yang mengharapkan sembuh tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor.

Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (ketika engkau) kembali kepada Tuhan-mu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya).” – (Surah al-Insyiqaq, ayat 6)

Dalam firman Allah itu ada tiga perkara yang berkait rapat dengan kerja iaitu:

l Allah mengajar dan menjana semangat manusia supaya kuat bekerja.

l Allah menggesa manusia rajin berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan mengikut ajaran yang betul dan diredai-Nya.

l Allah menggesa umat manusia bekerja untuk membolehkan mereka mengecapi kebahagiaan, sama ada di dunia dan akhirat.

Oleh itu, setiap pekerjaan yang dilakukan manusia mestilah mencerminkan tiga perkara itu. Adapun perbuatan mencuri, merompak, memeras ugut, menipu, skim cepat kaya mempunyai unsur kezaliman dan penganiayaan yang jelas tidak diredai Allah.

Bagi tujuan membawa umat kepada pembangunan yang pesat maka kaedah bekerja yang sihat hendaklah sentiasa diikuti. Kadangkala akibat terdorong perasaan tamak dan haloba ingin cepat menjadi kaya, seseorang itu tidak memikirkan kaedah bekerja yang dianjurkan Islam.

Mereka sanggup melaburkan beribu-ribu ringgit menerusi skim cepat kaya, pelaburan internet yang dipenuhi unsur-unsur riba, menipu, merompak dan sebagainya. Sesuatu pekerjaan yang dilakukan tidak akan terlepas daripada kesukaran dan kesulitan.

Namun, ia bukan alasan untuk kita membiarkan masa kosong tidak diisi dengan sebarang pekerjaan, tetapi sebaliknya harus diingat bahawa bersama kesukaran atau kesulitan itu ada kesenangan.

Perlu diingatkan juga, Allah menciptakan waktu di tempatnya yang tinggi sehingga manusia dikatakan-Nya rugi jika tidak memanfaatkan waktu.Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguh engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain) dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” – (Surah al-Insyirah, ayat 7-8)

©The New Straits Times Press (M) Berhad

ppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp

Elak pelaburan dalam sektor meragukan

Surat & Emel – 23.04.07 - BH

PELABURAN di internet kini menjadi tumpuan utama mahasiswa sebagai jalan pintas mendapatkan pendapatan sampingan. Ternyata pelaburan ini mendapat sambutan amat memberangsangkan sehingga sengaja lupa atau terlupa soal halal dan haram transaksi berkenaan.

Mahasiswa memilih cara ini kerana ia tidak mengganggu pelajaran dan hanya menanti pulangan pada setiap bulan. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan mereka kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak mencukupi berbanding kos perbelanjaan.

Pendapatan jenis ini mempengaruhi mahasiswa mengecapi kemewahan dalam jangka masa pendek.

Adakah mahasiswa terfikir dari mana datangnya sumber ini dan di mana ia di laburkan? Menurut Bank Negara Malaysia deposit yang diterima tanpa lesen adalah salah dari segi undang-undang.

Secara tidak langsung pelaburan di internet adalah satu jenayah di negara ini. Ada lebih 50 jenis pelaburan seperti ini menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) didalangi beberapa sindiket yang menawarkan pelbagai bentuk pelan pelaburan menerusi internet.

Sejak kebelakangan ini banyak persoalan diutarakan memohon penjelasan mengenai hukum melabur di internet. Mengikut perspektif Islam, bakal pelabur wajib menyelidik sektor perniagaan yang kita laburkan sama ada ia sektor halal atau haram.

Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, Islam tidak membenarkan umatnya melabur dalam skim pelaburan internet. Hal ini boleh dikaitkan dengan mahasiswa yang melabur dalam skim ini kerana pulangan diperoleh akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan mahupun pendidikan.

Misalnya perbelanjaan terhadap keperluan adalah seperti makanan dan minuman yang menjadi darah daging. Sumber tidak halal akan menghilangkan keberkatan dalam kehidupan seharian. Bagi tujuan pendidikan pula mahasiswa menggunakan pulangan itu untuk membeli bahan rujukan.

Secara tidak langsung penggunaan duit haram akan memberi kesan negatif. Mahasiswa mungkin sukar mencapai kejayaan dalam hidup kerana tidak mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Persoalannya, apakah langkah yang harus diambil mahasiswa terbabit bagi mengatasi masalah itu? Bagi mahasiswa yang mendapat kesedaran selepas fatwa dikeluarkan yang menyatakan pelaburan internet adalah haram, mereka harus mengambil tindakan sewajarnya.

Bagi mahasiswa yang melabur hendaklah mengambil pulangan bagi jumlah di laburkan dan selebihnya harus diberikan atau dibelanjakan kepada institusi seperti rumah anak yatim, masjid dan sekolah bagi membantu golongan yang tidak mampu. Dengan cara ini mahasiswa dapat memperbaiki diri mereka daripada kesalahan yang dilakukan tanpa disedari. Majlis Fatwa Kebangsaan harus meneliti perkara ini secara terperinci kerana ia adalah isu sensitif berkaitan agama.

Sama-sama kita berdoa agar dengan panduan ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman mengenai perkara paling asas berkaitan isu meragukan dalam bentuk urus niaga pelaburan di internet dan dicadangkan beberapa tempat pelaburan yang diyakini dapat menyelamatkan kita daripada bergelumang perkara syubhah.

AZIZUL AKHBAR AZIZ dan MOHD LOKMAN HAKIM SYED SULTAN,Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia.

©The New Straits Times Press (M) Berhad ppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp Bicara Agama – utusan Malaysia 23.04.07

Pentingnya keberkatan dalam rezeki

Oleh ASMADI ABDUL RAHMAN

Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah s.w.t.

Dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita mengetahui bahawa kehidupan kita tidak hanya terhenti di dunia sahaja.

Sebaliknya kita mempercayai bahawa terdapat kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah s.w.t.

Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah seperti yang telah digariskan-Nya di dalam al-Quran mahupun hadis.

Di antara perintah Allah s.w.t yang penting bagi mencapai keberkatan di dunia ini adalah berkaitan dengan punca rezeki yang diperolehi oleh setiap hambanya. Boleh dikatakan bahawa punca rezeki di sini adalah pendapatan kita untuk menyara kehidupan sendiri ataupun untuk keluarga.

Punca rezeki ataupun pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pendapatan yang berpunca dari sumber yang jelas halal seperti bekerja sebagai guru, berniaga barang yang halal ataupun melakukan pelaburan yang dihalalkan oleh syariat untuk mendapat keuntungan.

Pendapatan yang kedua adalah pendapatan yang bersumberkan kepada perkara yang haram seperti menjual arak, mencuri, membuat pelaburan ditempat perjudian dan pelacuran, sumber pendapatan seperti ini adalah jelas hukumnya adalah haram.

Sumber yang ketiga dikenali sebagai syubhat iaitu meragukan. Kebanyakan perkara syubhat tidak diketahui oleh orang ramai, tetapi hanya diketahui oleh pengamal agama. Seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu berkaitan dengan pelaburan Internet sebagai sumber pendapatan, pelaburan ini telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana terdapat unsur syubhat di dalamnya.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram dinamakan syubhat yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari perkara syubhat sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya, barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang haram. (riwayat Bukhari dan Muslim].

Hadis ini jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada sumber makanan ataupun sumber pendapatan. Justeru, amat tepat apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memfatwakan pelaburan Internet adalah haram. Ini kerana terdapat unsur-unsur syubhat di dalamnya yang perlu dihindari bagi menyelamatkan agama dan kehidupan orang Islam sendiri.

Menurut Abu Darda’ R.a : Kesempurnaan takwa adalah taatnya hamba kepada perintah Allah s.w.t sehinggakan apabila didapati keraguan sebesar zarah terhadap perkara yang halal, maka ditinggalkan perkara tersebut. Maka apabila terdapat unsur yang jelas tentang keraguannya, sewajarnya kita mengelakkan diri daripada terlibat dengannya seperti mana yang yang telah difatwakan tentang pelaburan di Internet.

Kemuliaan seseorang individu adalah berpunca daripada sumber pemakanan yang halal. Menurut al-Syafie : Terdapat lima perkara untuk memelihara hati iaitu membaca al-Quran dan menghayatinya, sentiasa mengosongkan perut (berpuasa), menghadiri majlis ilmu dan bersama orang-orang soleh, mendirikan solat malam, serta sentiasa memohon pertolongan Allah s.w.t.

Namun begitu punca kepada kemuliaan hati adalah makan makanan yang berpunca dari perkara halal. Menurut beliau lagi makanan adalah benih kepada perbuatan, apabila makan sumber yang halal akan lahirlah perbuatan yang mulia, apabila makan makanan berpunca dari sumber yang haram, maka lahirlah perbuatan yang tercela.

Daripada sumber makanan yang bersih maka golongan yang akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera. (Al-Syu'ara':89].

Ayat ini menjelaskan bahawa di hari pembalasan nanti, tiada apa yang dapat membantu atau menyelamatkan kita dari seksaan Allah s.w.t kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati dan jiwa yang sejahtera iaitu golongan-golongan yang sentiasa memelihara diri mereka dari melakukan perkara yang dilarang dan sentiasa menjauhi diri dari perkara-perkara yang syubhat.

Selain itu, Rasulullah s.a.w ada meriwayat hadis yang menerangkan tentang syarat-syarat amalan yang diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t baik, tidak menerima apa perkara kecuali perkara yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kepada semua golongan mukmin, seperti mana diperintahkan kepada para rasulnya.

Hadis ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menerima amalan hambanya kecuali melakukan dengan jiwa yang tulus suci, Allah s.w.t juga tidak menerima sedekah kita jika bersumberkan punca yang haram atau syubhat.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51].

Bagaimanakah Allah s.w.t ingin menerima ibadah kita jika kita mencari rezeki dengan bersumberkan perkara yang terdapat keraguannya, memakan makan yang berpunca dari pendapatan yang tidak pasti halalnya. Setiap perkara yang haram atau syubhat akan merosakkan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.

Apabila seseorang itu tidak menitikberatkan soalan soal halal dan haram dalam kehidupan, maka doa yang dipohonnya sukar diterima oleh Allah s.w.t. Seperti mana yang dijelaskan dalam sebuah hadis, apabila Said Bin Abi Wuqaz meminta agar Rasulullah s.a.w mendoakannya supaya Allah s.w.t memperkenankan doanya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.”

Justeru, marilah kita bersama-sama muhasabah diri masing-masing agar mensucikan diri daripada perkara yang syubhat, agar Allah s.w.t memperkenankan setiap doa yang kita pohon kepadanya, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan pendapatan kita yang sudah semestinya digunakan untuk keperluan harian kita.

Bagi mereka yang mempunyai simpanan hasil dari pendapatan yang syubhat, gunakanlah untuk bersedekah agar dapat digunakan oleh orang ramai, seperti mana yang diceritakan oleh Malik Bin Dinar, beliau bertanya kepada ‘Ato’ Bin Abi Rabah bagaimana ingin menguruskan harta yang tidak bertuan dan harta yang haram, lalu beliau menjawab: bersedekahlah. Pendapat ini turut disokong oleh Ibn Rajab.

Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan untuk terus mencari keberkatan dalam setiap punca rezeki yang kita perolehi, dan membangkitkan kita dalam golongan hati yang sejahtera.

* ASMADI ABDUL RAHMAN ialah Pensyarah Kolej Shahputra Kuantan, Pahang.

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...