5/29/2007

Haram lelaki suntik hormon jadi wanita

Bicara Agama - Utusan Malaysia - 29.05.2007

Isu ‘lelaki lembut’ atau mak nyah kembali menggegar negara baru-baru ini apabila ia turut dibincangkan pada sesi Dewan Negara. Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md. Zin mencadangkan agar ‘lelaki lembut’ ini disuntik dengan hormon lelaki agar sifat kelelakian mereka lebih dominan. Islam pula tidak menilai seseorang berdasarkan rupa paras atau fizikal sebaliknya berdasarkan amalan. Ini dijelaskan menerusi sabda Rasulullah s.a.w., Sabda Rasulullah, Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras dan harta kamu tetapi kepada hati dan amal kamu. (riwayat Muslim) Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, NAZERI ABU BAKAR menemu bual pensyarah Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid untuk mengupas persoalan ini. UTUSAN: Bagaimanakah ketentuan Allah dalam penetapan jantina seseorang? DR. MAHMOOD ZUHDI: Dalam banyak kes termasuk penentuan jantina tentu ada beberapa kes yang tidak kena. Allah menyebut menjadikan lelaki dan perempuan tetapi kadang-kadang jantinanya sama ada lelaki atau perempuan. Semua ini adalah sunah alam. Contoh lain, dalam banyak orang baik ada juga yang jahat. Begitu juga orang cerdik pun ada juga bab yang dia tidak tahu. Cuma ilmuwan Islam mempunyai tafsiran yang jelas bagi fenomena ini dalam masyarakat. Jika seseorang itu lahir tidak jelas jantinanya maka ulama kata ia perlu dijelaskan. Caranya, melihat kepada lebih cenderung ke arah mana fizikal dan psikologinya. Mengikut tafsiran ulama konservatif, yang dikecualikan ialah khunsa musykil (yang mempunyai dua alat kelamin). Bagaimanapun, dengan perkembangan teknologi perubatan, ulama dibantu oleh saintis dan para doktor mungkin ada penjelasan jantina untuk golongan ini. Kita berharap, kaedah perubatan moden ini dapat membantu menentukan jantina golongan ini sama ada lelaki atau perempuan. Jika dilahirkan sebagai khunsa, apakah yang patut dilakukan oleh ibu bapa dan juga individu berkenaan? DR. MAHMOOD ZUHDI: Sesiapa yang mengalami keadaan sebegini perlu reda dan menganggapnya sebagai sunah yang sentiasa berlaku kepada apa-apa sahaja. Bagaimanapun, ibu bapa dan masyarakat berperanan membantu golongan ini dalam menjalani kehidupan seharian. Dalam bab ini, khunsa musykil terbahagi kepada dua iaitu yang musykil fizikal dan musykil psikologi. Bagi golongan pertama, ibu bapa dan masyarakat perlu membantu membimbing mereka membina psikologi ke arah kecenderungan jantina mereka. Maknanya, kalau fizikalnya cenderung sebagai lelaki, maka kita kena bimbing supaya psikologi mereka juga selari ke arah itu walaupun mereka mempunyai dua alat kelamin. Bagi golongan yang musykil atau keliru psikologi pula, kita perlu cuba membimbing mereka agar mengikut sifat fizikal masing-masing. Ibu bapa tidak boleh menerima realiti dari segi psikologi begitu sahaja. Ini kerana psikologi adalah tahap kedua berbanding fizikal yang menjadi tahap pertama. Lagipun, psikologi adalah sesuatu yang mendatang dan boleh diubah. Dalam kehidupan moden kini, kita mempunyai kepakaran saintifik psikologi yang tinggi. Golongan ini boleh membantu mengembalikan atau mengubah psikologi supaya ia selaras dengan bentuk fizikal seseorang. Adalah malang jika ibu bapa yang gagal membentuk psikologi anak-anak. Ini mungkin berlaku kepada ibu bapa yang tidak mempunyai anak lelaki. Akhirnya mereka membentuk psikologi anak perempuan itu ke arah menjadi tomboy. Bagaimana pula dengan individu yang dilahirkan dilahirkan sebagai lelaki atau wanita yang sempurna tetapi mahu menjadi jantina sebaliknya? DR. MAHMOOD ZUHDI: Orang begini mengalami kekeliruan psikologi. Mereka perlu dipulihkan melalui pemulihan psikologi agar kembali kepada jantina asal mereka. Bagaimanapun, dari segi hukum taklif, ketentuan adalah mengikut sifat fizikal jantina bukannya mengikut sikap seseorang itu. Hatta, jika mereka melakukan pembedahan penukaran jantina sekalipun. Perbuatan lelaki sengaja menyuntik hormon untuk menjadi wanita adalah haram. Malah perbuatan lelaki atau perempuan yang berlagak menyerupai jantina sebaliknya juga boleh dihukum mengikut Enakmen Undang-undang Islam. Bagi golongan mukhannas (mak nyah) yang seronok dalam dunia itu dan tidak berusaha secukupnya untuk keluar dari kemelut itu, mereka ini berdosa. Sebabnya dengan kemajuan kaedah perubatan masa kini, kita boleh menghentikan haid atau mengembalikan haid bagi wanita yang sudah menopaus. Islam tidak menerima konsep liberalisme Barat tentang kebebasan melakukan apa sahaja. Islam menuntut kita lebih tunduk kepada tabie. Golongan mak nyah yang tidak ada nafsu kepada wanita juga haram bernikah. Sebabnya pernikahan itu hanya menyeksa isteri. Adakah penggunaan kaedah perubatan moden termasuk menyuntik hormon kepada ‘lelaki lembut’ dibenarkan oleh Islam? DR. MAHMOOD ZUHDI: Ini adalah cadangan yang bagus dan idea oleh pakar perubatan ini perlu dihormati. Kemungkinan pakar-pakar perubatan boleh menambah hormon bagi golongan yang mengalami gangguan fisiologi. Jika dengan suntikan itu boleh mempengaruhi fizikalnya menjadi lelaki yang dominan, maka ia patut disokong. Jangan pula kita mengatakan ia tidak boleh sebab tidak diproses secara tabie. Sepatutnya kita menggunakan kemajuan sains perubatan untuk manfaat masyarakat. Adakah perbuatan menggunakan kaedah botox dan suntikan tertentu untuk menambah kecantikan dianggap mengubah ciptaan Allah? DR. MAHMOOD ZUHDI: Saya tidak berpendapat begitu. Namun, penggunaannya tidak digalakkan kerana ia adalah cara perhiasan diri yang melampau. Untuk mengekalkan prestasi rupa paras secara sederhana sekadar untuk dilihat berwajah ceria, itu diharuskan. Penggunaan botox dalam perubatan tidak salah. Yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah penggunaannya untuk kecantikan. Ia sama dengan dadah. Jika digunakan untuk perubatan Islam membenarkan tetapi ia jatuh haram apabila disalahgunakan. Islam mengamalkan ‘ekonomi bebas’ yang menghalang perbuatan berlebih-lebihan atau melampau. Ini bukan bermakna kita tidak boleh berhias atau berdandan tetapi ia mestilah sederhana. Jangan berlebih-lebihan sehingga menggunakan bahan yang melampau. Falsafahnya ialah Islam tidak mahu umatnya ada sikap melampau. Untuk awet muda jangan sampai melanggar batas moral. Jangan umur dah 80 tahun masih nak dilihat seperti umur 40 tahun. Ini juga boleh menjadi wabak. Orang akan berbelanja besar untuk kosmetik daripada hal yang lebih utama seperti pendidikan dan kesihatan. Islam tidak melihat kepada rupa paras sebaliknya kepada hati dan amalan seseorang. Bagaimanakah hadis ini boleh memberi kekuatan kepada golongan khunsa atau lelaki lembut ini? DR. MAHMOOD: Hadis ini memberi keyakinan dan motivasi kepada sesiapa yang mempunyai kekurangan fizikal. Allah menjelaskan, ada satu aspek yang lebih penting yang dinilai iaitu hati yang membina perasaan dan sikap. Ia mengembangkan spiritual seseorang sehingga lebih yakin pada diri. Dalam dunia moden, banyak yang hilang keyakinan diri. Jadi kita hendaklah kembali kepada Allah. Allah dengan sifat Pemurah dan Penyayang tidak pernah menzalimi umatnya. Walaupun takdirnya dilahirkan sebagai khunsa, jika mereka taat kepada Allah, mereka juga menerima balasan pahala. Ini dijelaskan menerusi firman Allah, Sesungguhnya Allah tidak menganiaya seseorang walau sebesar zarah dan jika ada kebajikan sebesar zarah, nescaya Allah akan melipatgandakan dan memberikan dari sisi-Nya pahala yang besar. (An-Nisa’: 40)

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...