5/06/2007

Isu kenaikan gaji dalam ‘pertimbangan aktif’: PM

Oleh Anwar Hussin, Norakmah Mat Youb dan Siti Fatimah Mohamed Anwar - Berita Mingguan 06.05.2007 Cuepacs jangka Perdana Menteri umum keputusan pada 21 Mei KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini dalam ‘pertimbangan aktif’ terhadap permohonan Cuepacs mengenai tuntutan kenaikan gaji kepada kakitangan awam. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata JPA akan memaklumkan kepada kerajaan selepas melakukan pertimbangan terhadap tuntutan itu. Bagaimanapun, Abdullah tidak menyatakan bila kerajaan mengumumkan berhubung kenaikan gaji itu.Cuepacs menjangkakan Abdullah akan mengumumkannya pada majlis perhimpunan kakitangan awam dengan Perdana Menteri di Putrajaya pada 21 Mei ini. Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Hari Pekerja anjuran Kementerian Sumber Manusia, di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, semalam. Pada 11 Januari lalu, Cuepacs mengemukakan memorandum kepada Abdullah memohon tuntutan kenaikan gaji secara menyeluruh untuk kakitangan awam dengan alasan ia perlu disesuaikan dengan kos sara hidup semasa. Cuepacs memohon kenaikan gaji 30 peratus bagi kakitangan awam Gred 17 hingga 40, 20 peratus (Gred 41 hingga 54) serta lima hingga 10 peratus (Jawatan Utama Sektor Awam). Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam ialah pada 1992. Sementara itu, Abdullah juga mengingatkan orang ramai supaya melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai warga negara dengan menjelaskan cukai pendapatan. Katanya semua pembayar cukai harus sentiasa mengingati diri bahawa mereka ada tanggungjawab menguruskan perkara ini dalam tempoh ditetapkan. “Lengah dan tunggu-tunggu ini boleh membawa masalah seperti dihadapi pihak berkenaan,” katanya.Semalam, akhbar melaporkan kira-kira 600,000 pembayar cukai pendapatan individu gagal memulangkan borang BE kini berdepan kemungkinan dikenakan denda atau tindakan undang-undang. Jumlah ini adalah 30 peratus daripada 2.1 juta pembayar cukai pendapatan individu yang belum memulangkan borang penyata taksiran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas tempoh berbuat demikian tamat 30 April lalu. Berhubung tiga kejadian siling runtuh di bangunan kerajaan, Abdullah berkata, penyelenggaraan terhadap semua bangunan perlu dilakukan dengan rapi bagi mengelak kejadian sama berulang. “Jika kerosakan itu besar, ia boleh membawa bencana kepada penghuninya, bagaimana jika kejadian itu berlaku ketika ada orang di dalamnya, sudah tentu ada tercedera,” katanya yang secara kebetulan ternampak kerosakan pada satu bahagian siling di sebelah kiri rostrum tempat beliau bercakap di bilik VVIP. “Ini satu lagi contoh aspek penyelenggaraan tidak diberi perhatian. Nampak... nampak itu lama-lama akan jadi lubang pecahlah tu... berlaku sekarang nahaslah,” katanya menyebabkan mereka yang hadir di bilik itu menoleh ke bahagian siling yang rosak dan sudah bertukar warna akibat hakisan dari kebocoran. “That is another example... bila sekejap lagi nanti hujan lebat bocorlah,” katanya. Abdullah berkata, kerajaan sudah memberi peruntukan lebih kepada soal penyelenggaraan supaya ia dilakukan dengan rapi.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...