Berita Mingguan 06.05.2007
KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia bergelar Datuk ditahan Polis Indonesia bersama tiga rakannya dari Filipina malam Khamis lalu, dipercayai kerana terbabit dengan skim piramid menjual syiling emas. Lelaki berkenaan, yang juga ketua eksekutif sebuah syarikat multinasional beribu pejabat di Hong Kong dan mempunyai anak syarikat di beberapa negara Asia termasuk Malaysia, ditahan di sebuah hotel lima bintang ketika menghadiri persidangan antarabangsa di Pusat Persidangan Jakarta. Duta Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain, ketika dihubungi semalam mengesahkan penahanan itu. “Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan di hotelnya bersama tiga rakan warga Filipina malam Khamis lalu. Polis Indonesia menahan mereka selepas Interpol Filipina membuat permintaan Interpol negara ini (Indonesia) supaya menangkap mereka. “Buat masa ini kita masih tidak tahu sama ada dia akan dibawa ke Filipina atau tidak. Ia bergantung kepada siasatan di sini terlebih dulu,” katanya. Beliau berkata, pihaknya masih belum bertemu lelaki berkenaan sebaliknya segala urusan dilakukan melalui peguamnya di sana. “Kita sudah menemui peguamnya pada malam dia ditahan di balai polis di Jakarta,” katanya menambah pihak kedutaan memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan rakyat Malaysia dan beliau memberi jaminan akan sentiasa memantau perkembangannya. Difahamkan, Datuk yang dilahirkan di Pulau Pinang dan dibesarkan di Perak itu pernah menulis sebuah buku pengurusan yang mendapat sambutan menggalakkan di Asia Tenggara selain pernah memberi ceramah di beberapa negara. Lelaki berkenaan turut dikatakan aktif dalam aktiviti kebajikan di negara ini melalui sebuah pertubuhan yang menggunakan nama bapanya. Akhbar Indonesia, The Jakarta Post, semalam melaporkan empat ditahan kerana dipercayai mengendalikan GoldQuest, satu skim piramid yang menjual syiling emas berikutan maklumat dari Interpol. Ketua polis Jakarta, Adang Firman, berkata suspek iaitu rakyat Malaysia dan Filipina turut didakwa menggunakan nama bekas Presiden, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur.“Kami menahan empat orang yang semuanya ekpatriat selepas Interpol menghubungi kami,” kata Adang. Beliau dilaporkan berkata, suspek yang ditahan adalah ketua eksekutif syarikat berkenaan, Vijayeswaran Vijaratnam, pengarah Joseph Bismark dan dua lagi ialah eksekutif kanan, Donna Marie Imson dan Tagumpay Kintanar. Sementara itu, Akhbar harian Tempo kelmarin melaporkan bahawa Gus Dur dan 48 yang lain sebelum ini memfailkan laporan kepada polis mengenai syarikat berkenaan. Peguam Gus Dur, Ikhsan Abdullah berkata, syarikat itu menggunakan gambar Gus Dur dan pengasas Nahdatul lama, Hasyim Asy’ari bagi mempromosi barangan mereka tanpa kebenaran Gus Dur. Hasyim adalah datuk Gus Dur. “Gus Dur tidak pernah memberi sebarang kebenaran kepada mereka (untuk menggunakan gambar)”,” katanya. “Ia juga penipuan kerana syarikat itu menipu orang awam. Mereka menjual wang syiling jauh lebih mahal berbanding harga sebenar,” katanya selepas pertemuan dengan polis bagi membincangkan kes berkenaan
No comments:
Post a Comment