BERSAMA MENCARI KEKAYAAN YANG DI ANUGERAHKAN OLEH ALLAH SWT. JADIKAN HARI INI LEBIH BAIK DARIPADA KELMARIN DAN ESOK LEBIH BAIK DARIPADA HARI INI.
5/21/2007
Psikologi TV realiti
Kesihatan
Oleh SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN
Prof. Dr. Azhar Md. Zain (Pakar Perunding Kanan perubatan Tingkahlaku/Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia).
WALAUPUN anda bukanlah penggemar program televisyen (TV) realiti seperti Akademi Fantasia (AF), namun tidak mudah bagi anda untuk mengelaknya.
Obsesi terhadap televisyen realiti membuat sesetengah orang tertanya-tanya, ada apa dengan genre baru ini yang membuatkan kita melekat di hadapan televisyen sepanjang musim penayangannya.
Terdapat dua tanggapan lazim yang dilemparkan kepada para penonton televisyen realiti.
Pertama, mereka terpaksa menontonnya sebagai buah mulut untuk dikongsikan bersama rakan-rakan di sekolah mahupun pejabat, agar nanti tidak dikatakan sebagai ketinggalan.
Kedua, para penonton televisyen realiti kebanyakannya didakwa mempunyai tahap intelektual (IQ) yang lebih rendah berbanding para penonton rancangan televisyen lain. Bagaimanapun, kajian telah membuktikan sebaliknya.
Dan ketika para penggemar AF semakin suspen menantikan konsert akhir musim kelimanya yang bakal melabuhkan tirai pada minggu hadapan, mungkin juga untuk selama-lamanya, Pakar Perunding Kanan perubatan Tingkahlaku/Psikiatri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Azhar Md. Zain bersedia menjawab beberapa persoalan mengenai televisyen realiti dari sudut pandangan psikologi.
?Kenapakah program televisyen realiti boleh menjadi begitu popular?
Apa-apa sahaja yang menyebabkan kita rasa teruja akan menyebabkan hormon adrenalin – sejenis neurotransmiter yang diperlukan oleh saraf untuk berfungsi, meningkat. Tugasnya merangsang saraf-saraf autonomi supaya bersedia dalam keadaan yang bahaya.
Adrenalin dirembeskan dan akan ke saraf jantung agar mengepam darah lebih banyak, ke otot-otot untuk lawan atau lari. Dalam kes AF, kita cemas nak tahu siapa yang bakal tersingkir, pada masa itu adrenalin akan naik, pergi ke jantung, jadi laju, seram sejuk, tak selesa dan tekak kering.
Kalau sentiasa berlaku begini tak baik juga kerana ia akan menyebabkan sistem saraf autonomik sentiasa aktif. Jantung yang sentiasa dalam keadaan laju akan memberi kesan kepada tekanan darah terutamanya di kalangan orang tua yang tidak sihat.
?Kesannya terutama sekali terhadap remaja yang menjadi golongan sasar program-program seumpama ini?
Apa-apa sahaja aktiviti yang kita buat tidak semuanya negatif dan tidak semuanya positif. Samalah juga kesannya kalau kita tengok Piala Dunia. Orang sanggup tunggu sampai tengah malam walaupun esok kerja sebab tarikannya kuat.
Pada dasarnya, ia bagus kerana remaja boleh berkumpul bersama keluarga dan fokus pada satu-satu rancangan walaupun dalam masa singkat. Mereka boleh menyasarkan kesukaan kepada idola atau kelab peminat. Sekurang-kurangnya, pada waktu itu, mereka tidak terlibat dengan gejala sosial seperti mat rempit.
Remaja merupakan satu peringkat umur yang mempunyai banyak tenaga. Mereka bertindak melalui tekanan rakan sebaya. Cuba kita bayangkan kalau kumpulan itu kita boleh positifkan lagi hingga terbit ciri-ciri keusahawanan seperti menjual baju T atau sebagainya.
Kalau kita perhatikan, bukan semua peserta yang menghadiri uji bakat benar-benar berbakat. Ada sesetengahnya yang dilihat sampai ke tahap ‘memalukan’ diri sendiri semata-mata untuk menarik perhatian dan mengejar populariti melalui jalan singkat.
Bukan menarik perhatian sangat tapi orang yang pergi uji bakat majoritinya tidak sedar mereka tidak bagus. Istilah psikologinya, state of denial (penafian). Ramai orang yang rasa mereka boleh menyanyi jadi bila dia pergi karaoke, dia rasa dia menyanyi sedap.
Maka, jadilah uji bakat tersebut medan menguji peluang mereka untuk menang dan menjadi terkenal. Mungkin dia patut buat benda lain kalau tidak berjaya.
Salah satu ramuan kejayaan program realiti seperti AF adalah kerana penonton seolah-olah melihat diri sendiri dalam diri idola mereka yang cuma orang biasa seperti mereka juga.
Itu sebabnya mereka pergi uji bakat kerana faktor penafian itu, rasa macam berkebolehan yang tinggi tapi sebenarnya biasa sahaja.
?Tidakkah ia mengajar remaja mengambil jalan mudah dalam apa jua yang mereka lakukan?
Menyanyi bakat semula jadi yang ada pada seseorang, bukan nak jadi guru, peguam, akauntan.
Kalau dah ada bakat menyanyi Allah taala bagi, jika dibentuk dengan betul dalam masa yang singkat, dia boleh jadi baik.
Bukan dalam akademi sahaja tapi lepas keluar pun kerana ini satu proses pembelajaran berterusan. Dia akan belajar lagi setahun dua, akan jadi penyanyi yang semakin baik dan baik.
?Bagaimana Prof. melihat komen-komen pedas dan keras seperti ‘awak teruk’ oleh pengkritik?
Mereka ini remaja, cara kita kritik tak boleh kritikal tetapi lebih bersifat psikologi. Biasanya kita positifkan dulu lepas tu kita cakaplah yang tak berapa baik dengan cara yang berlapik.
Pertamanya, dia remaja, tak cukup matang terima kritikan macam orang dewasa. Keduanya, ia disaksikan oleh seluruh negara. Imej dia akan jatuh. Kalau kita nak kritik orang, biasanya secara tertutup. Mereka perlu kritik dengan tujuan nak bagi improve, itu bagus tapi dia kena belajar cara nak kritik depan orang ramai.
Daripada anda melemahkan semangatnya, pengkritik boleh kata: “Anda dah buat yang bagus, saya akan bagi 80 peratus tapi anda boleh naik 90 peratus kalau buat A, B, C.’’ Jadi remaja tu pun akan kata, “Oh, saya okey, bagus tapi boleh jadi lebih baik.’’
Kalau peserta tak kuat, dia rasa “Oh tuhanku, aku tak berguna,’’ itu boleh memberikan impak psikologi seperti rasa rendah diri, tak berguna, malu pada semua orang, rasa bersalah. Mungkin dia ada keturunan sakit jiwa kita tak tahu, jadi dia ada risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kemurungan.
Tapi Prof., bukankah cara begitu lebih realistik. Kalau tak boleh menyanyi, cakap sahaja tak boleh menyanyi daripada menggula-gulakan mereka dengan kata-kata yang berbentuk peneguhan (reinforcement) positif.
Betul, anda boleh buat begitu tapi para peserta ini bukan teruk sangat. Kalau benar, mereka takkan berada di situ. Daripada berapa ribu yang pergi uji bakat, mereka antara beberapa yang terpilih. Jadi, tak patutlah kalau nak kata mereka teruk.
Anda boleh kritik orang macam pemain bola sepak profesional yang dibayar RM100,000 sebulan misalnya tapi tak boleh sumbat gol. Mereka layak dikritik sebab mereka dibayar tapi budak-budak ini baru nak belajar.
?Apakah sikap yang perlu diambil oleh para peserta apabila dikritik?
Tentu sekali bersikap positif dan selalu berfikiran bahawa pengkritik tiada niat buruk, cuma mungkin teknik tak berapa tepat. Pengkritik berpengalaman dari segi pengetahuan mereka tapi mungkin tak ada pengalaman mengkritik. Kita rakyat malaysia tak melawan balik.
Tapi kalau kita lihat American Idol, Simon Cowell sampai kena hentam dengan kata-kata kesat oleh peserta kerana keceluparannya. Lagipun, dia sendiri bukan performer, tak adapun bakat yang idola tu ada, jadi adillah. Luahkan kalau kita rasa kritikan tak membina. Kadang- kadang, benda yang dikritik pun ada yang tak logik juga.
?Kalau kita pun guna pendekatan sama, bolehkah rakyat Malaysia menerimanya?
Menarik juga untuk melihat apa yang bakal terjadi, sejauh mana orang kita boleh menerimanya.
Tapi kemungkinan besar kebanyakan dari kita belum bersedia kerana budaya menerima sahaja. Sebab itulah kita tak boleh maju.
Lain dengan di luar negara, kita dibenarkan untuk bercakap dan mencabar pendapat pensyarah tapi kat sini apa yang pensyarah cakap, itu sahajalah. Ia tak baik dalam jangka panjang. Tapi ini proses tumbesaran, cara dia tidak bersetuju kena berhemah, tak boleh macam di Amerika.
Tapi kalau cabar, “Terima kasih, saya setuju dengan apa yang pengkritik katakan bagaimanapun saya rasa saya tak dapat buat salah satu yang anda katakan tadi sebab... (terangkan kenapa).’’ Saya rasa ia sesuatu yang positif patut kita ada. Saya harap satu hari nanti satu dua peserta akan menjadi lebih berani untuk mencabar. Orang ramai akan menyukainya.
?Secara psikologi, apa kelebihannya?
Ia menunjukkan anda matang, berani, ada prinsip, dan punya kemahuan untuk meletakkan pendirian di depan. Ada kalanya pengkritik hanya perlu mengatakan sesuatu sebab mereka perlu mengkritik. Jadi dia kena cari salah, yang sebenarnya tidak betul. Kalau semuanya okey, okeylah. Orang mungkin akan kata, nanti peserta besar kepala, ingat dia bagus. Apa salahnya kalau dia dah terror?
Ada yang berpendapat, rancangan seperti AF boleh memberikan inspirasi kepada remaja dan anak-anak untuk mencapai matlamat mereka.
Saya rasa kita patut ada benda lain juga bukan setakat fokus nyanyian dan hiburan semata-mata contohnya masakan, keusahawanan, kepimpinan, sukan, fotografi dan sebagainya.
Kita boleh adakan program realiti yang boleh membentuk remaja menyeluruh, sesuatu yang ada pada remaja dan boleh diketengahkan. Ada remaja yang mungkin tak pandai belajar tapi pandai buat fesyen rambut, jahit baju, masak, kenapa kita tak gunakannya.
Semasa awal kemunculannya dahulu, program realiti mendapat kritikan hebat dan dikatakan bakal berkubur dalam masa singkat. Namun, ia masih bertahan hingga kini.
Tidak lama..., akan tiba masanya orang akan bosan dan cipta benda baru. Kita kena bergerak bersama masa, dalam masa sama positifkan benda tu dan cuba kekalkan budaya kita. Macam kritikan, mungkin bukan budaya kita tapi kalau kita boleh cakap dengan cara yang elok, itu satu kemajuan dalam budaya kita. Kita akan membina remaja yang berani untuk menyatakan pendirian secara bertamadun.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.
Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...
-
Takziah Kepada Keluarga CM KUALA LUMPUR 2 Jun - Cucu perempuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang dirawat di Unit Rawata...
-
KAEDAH MELARUTKAN STOK A DAN B Pada masa kini, ramai masyarakat diluar mula mendapat kesedaran dan berminat bercucuk tanam ...
-
Puan Sri Laila Taib meninggal dunia - BH Online 29/04/2009 KUCHING: Puan Sri Laila Taib, isteri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Tai...
No comments:
Post a Comment