Setiausaha Parlimen Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim (gambar) berkata, kekeliruan berlaku di kalangan umat Islam apabila beberapa orang mufti membuat kenyataan berhubung sesuatu perkara sehingga ia dianggap sebagai satu fatwa.
Menurutnya, kenyataan seseorang mufti tentang sesuatu isu merupakan pandangan peribadi beliau dan sebarang fatwa yang mahu dikeluarkan seharusnya diputuskan melalui Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
“Ini mungkin pandangan peribadi mufti berkenaan dan tidak patut ia dibincangkan secara terbuka sehingga umat Islam menjadi keliru,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung kali ke-22 Koperasi Pekebun Kecil Getah Daerah Baling Berhad di Dewan Tun Razak di sini, semalam.
Menurutnya, bukan orang biasa sahaja yang membincangkan tentang kenyataan mufti tetapi perkara itu juga dibincangkan dalam Parlimen kerana Ahli Dewan Rakyat juga terkeliru dengan isu berkenaan.
Dr. Mashitah menambah, pihaknya menerima banyak reaksi daripada masyarakat Islam yang mahukan kerajaan memberi penjelasan berhubung kenyataan mufti terbabit.
Apabila berlaku kekeliruan berhubung sesuatu perkara katanya, mufti-mufti perlu duduk berbincang sesama mereka dan memberikan satu kenyataan yang jelas termasuk sama ada ia merupakan satu fatwa atau sebaliknya.
Tegas beliau, semua pihak tidak boleh terlalu peribadi dengan mengeluarkan fatwa sendiri tanpa penelitian khusus dan mendalam terhadap soal hukum.
Katanya, mufti mempunyai ruang khusus untuk membincangkan tentang sesuatu dan tidak membincangkannya di khalayak ramai sebelum mengumumkannya kepada khalayak.
pppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp
Muslim diperintah jana semangat rajin bekerja
Oleh Mohd Shukri Hanapi – Bicara agama BH 23.04.07 TIADA seorang pun yang menafikan bahawa setiap orang mahu bekerja atau mendapatkan pekerjaan untuk menjamin kehidupan dan keluarganya. Namun, ada segelintir pekerja dalam masyarakat Islam hari ini, mempunyai persepsi agak berbeza terhadap kerja.
Bagi mereka, kerja adalah perkara yang dilakukan secara spontan setiap hari atau sebagai satu amalan rutin yang tidak membabitkan perancangan, etika dan peningkatan mutu.
Mereka bekerja sambil lewa dan sesuka hati saja, malah hanya dibuat seperti disebut dalam pepatah Melayu, “Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.” Ada juga tidak mengambil berat mengenai pekerjaan, tetapi hanya memperbanyakkan ibadat kepada Allah kerana hanya inginkan keuntungan akhirat tanpa mempedulikan hal dunia.
Apakah mereka tidak sedar bahawa bekerja itu adalah ibadat yang dijanjikan ganjaran pahala di dunia dan di akhirat? Bekerja adalah perkara yang sangat dituntut Allah untuk membolehkan umat manusia memakan rezeki kurniaan-Nya dan secara tidak langsung memakmurkan bumi.
Hal itu bertepatan dengan konsep penciptaan manusia itu sendiri sebagai khalifah di muka bumi.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segenap penjurunya dan makanlah sebahagian daripada rezeki-Nya.” – (Surah al-Mulk, ayat 15)
Firman Allah lagi yang bermaksud: “Wahai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada Tuhan bagi kamu selain-Nya. Dia menciptakan kamu dari bumi (tanah) dan memerintahkan kamu supaya memakmurkannya.” – (Surah Hud, ayat 61)
Berdasarkan ayat itu, kerja adalah tugas yang tidak dapat dielakkan dan tanggungjawab agama. Malah sebarang usaha mencari rezeki yang halal adalah fardu ain.
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Mencari sesuatu yang halal adalah satu fardu sesudah menunaikan fardu (sebelumnya).”Allah mengurniakan kekuatan rohani dan jasmani kepada umat manusia. Salah satu tujuannya untuk membolehkan mereka bekerja mencari rezeki yang halal. Oleh itu, kita hendaklah berusaha dan kuat bekerja sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah.
Adapun bagi orang yang hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang pekerjaan pula, mereka itu samalah seperti pesakit yang mengharapkan sembuh tetapi tidak mahu mengikut nasihat doktor.
Allah berfirman yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (ketika engkau) kembali kepada Tuhan-mu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatat semuanya).” – (Surah al-Insyiqaq, ayat 6)
Dalam firman Allah itu ada tiga perkara yang berkait rapat dengan kerja iaitu:
l Allah mengajar dan menjana semangat manusia supaya kuat bekerja.
l Allah menggesa manusia rajin berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh dengan mengikut ajaran yang betul dan diredai-Nya.
l Allah menggesa umat manusia bekerja untuk membolehkan mereka mengecapi kebahagiaan, sama ada di dunia dan akhirat.
Oleh itu, setiap pekerjaan yang dilakukan manusia mestilah mencerminkan tiga perkara itu. Adapun perbuatan mencuri, merompak, memeras ugut, menipu, skim cepat kaya mempunyai unsur kezaliman dan penganiayaan yang jelas tidak diredai Allah.
Bagi tujuan membawa umat kepada pembangunan yang pesat maka kaedah bekerja yang sihat hendaklah sentiasa diikuti. Kadangkala akibat terdorong perasaan tamak dan haloba ingin cepat menjadi kaya, seseorang itu tidak memikirkan kaedah bekerja yang dianjurkan Islam.
Mereka sanggup melaburkan beribu-ribu ringgit menerusi skim cepat kaya, pelaburan internet yang dipenuhi unsur-unsur riba, menipu, merompak dan sebagainya. Sesuatu pekerjaan yang dilakukan tidak akan terlepas daripada kesukaran dan kesulitan.
Namun, ia bukan alasan untuk kita membiarkan masa kosong tidak diisi dengan sebarang pekerjaan, tetapi sebaliknya harus diingat bahawa bersama kesukaran atau kesulitan itu ada kesenangan.
Perlu diingatkan juga, Allah menciptakan waktu di tempatnya yang tinggi sehingga manusia dikatakan-Nya rugi jika tidak memanfaatkan waktu.Allah berfirman yang bermaksud:
“Kemudian apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguh engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain) dan kepada Tuhanmu saja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini).” – (Surah al-Insyirah, ayat 7-8)
©The New Straits Times Press (M) Berhad
ppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp
Elak pelaburan dalam sektor meragukan
Surat & Emel – 23.04.07 - BH
PELABURAN di internet kini menjadi tumpuan utama mahasiswa sebagai jalan pintas mendapatkan pendapatan sampingan. Ternyata pelaburan ini mendapat sambutan amat memberangsangkan sehingga sengaja lupa atau terlupa soal halal dan haram transaksi berkenaan.
Mahasiswa memilih cara ini kerana ia tidak mengganggu pelajaran dan hanya menanti pulangan pada setiap bulan. Dengan cara ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan mereka kerana pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak mencukupi berbanding kos perbelanjaan.
Pendapatan jenis ini mempengaruhi mahasiswa mengecapi kemewahan dalam jangka masa pendek.
Adakah mahasiswa terfikir dari mana datangnya sumber ini dan di mana ia di laburkan? Menurut Bank Negara Malaysia deposit yang diterima tanpa lesen adalah salah dari segi undang-undang.
Secara tidak langsung pelaburan di internet adalah satu jenayah di negara ini. Ada lebih 50 jenis pelaburan seperti ini menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) didalangi beberapa sindiket yang menawarkan pelbagai bentuk pelan pelaburan menerusi internet.
Sejak kebelakangan ini banyak persoalan diutarakan memohon penjelasan mengenai hukum melabur di internet. Mengikut perspektif Islam, bakal pelabur wajib menyelidik sektor perniagaan yang kita laburkan sama ada ia sektor halal atau haram.
Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, Islam tidak membenarkan umatnya melabur dalam skim pelaburan internet. Hal ini boleh dikaitkan dengan mahasiswa yang melabur dalam skim ini kerana pulangan diperoleh akan digunakan untuk perbelanjaan keperluan mahupun pendidikan.
Misalnya perbelanjaan terhadap keperluan adalah seperti makanan dan minuman yang menjadi darah daging. Sumber tidak halal akan menghilangkan keberkatan dalam kehidupan seharian. Bagi tujuan pendidikan pula mahasiswa menggunakan pulangan itu untuk membeli bahan rujukan.
Secara tidak langsung penggunaan duit haram akan memberi kesan negatif. Mahasiswa mungkin sukar mencapai kejayaan dalam hidup kerana tidak mendapat keberkatan dan keredaan Allah. Persoalannya, apakah langkah yang harus diambil mahasiswa terbabit bagi mengatasi masalah itu? Bagi mahasiswa yang mendapat kesedaran selepas fatwa dikeluarkan yang menyatakan pelaburan internet adalah haram, mereka harus mengambil tindakan sewajarnya.
Bagi mahasiswa yang melabur hendaklah mengambil pulangan bagi jumlah di laburkan dan selebihnya harus diberikan atau dibelanjakan kepada institusi seperti rumah anak yatim, masjid dan sekolah bagi membantu golongan yang tidak mampu. Dengan cara ini mahasiswa dapat memperbaiki diri mereka daripada kesalahan yang dilakukan tanpa disedari. Majlis Fatwa Kebangsaan harus meneliti perkara ini secara terperinci kerana ia adalah isu sensitif berkaitan agama.
Sama-sama kita berdoa agar dengan panduan ringkas ini dapat memberi sedikit kefahaman mengenai perkara paling asas berkaitan isu meragukan dalam bentuk urus niaga pelaburan di internet dan dicadangkan beberapa tempat pelaburan yang diyakini dapat menyelamatkan kita daripada bergelumang perkara syubhah.
AZIZUL AKHBAR AZIZ dan MOHD LOKMAN HAKIM SYED SULTAN,Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia.
©The New Straits Times Press (M) Berhad ppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppppp Bicara Agama – utusan Malaysia 23.04.07
Pentingnya keberkatan dalam rezeki
Oleh ASMADI ABDUL RAHMAN
Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah s.w.t.
Dalam kehidupan kita sebagai seorang Muslim, kita mengetahui bahawa kehidupan kita tidak hanya terhenti di dunia sahaja.
Sebaliknya kita mempercayai bahawa terdapat kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah s.w.t.
Bagi mendapat keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah seperti yang telah digariskan-Nya di dalam al-Quran mahupun hadis.
Di antara perintah Allah s.w.t yang penting bagi mencapai keberkatan di dunia ini adalah berkaitan dengan punca rezeki yang diperolehi oleh setiap hambanya. Boleh dikatakan bahawa punca rezeki di sini adalah pendapatan kita untuk menyara kehidupan sendiri ataupun untuk keluarga.
Punca rezeki ataupun pendapatan boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu pendapatan yang berpunca dari sumber yang jelas halal seperti bekerja sebagai guru, berniaga barang yang halal ataupun melakukan pelaburan yang dihalalkan oleh syariat untuk mendapat keuntungan.
Pendapatan yang kedua adalah pendapatan yang bersumberkan kepada perkara yang haram seperti menjual arak, mencuri, membuat pelaburan ditempat perjudian dan pelacuran, sumber pendapatan seperti ini adalah jelas hukumnya adalah haram.
Sumber yang ketiga dikenali sebagai syubhat iaitu meragukan. Kebanyakan perkara syubhat tidak diketahui oleh orang ramai, tetapi hanya diketahui oleh pengamal agama. Seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu berkaitan dengan pelaburan Internet sebagai sumber pendapatan, pelaburan ini telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana terdapat unsur syubhat di dalamnya.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram dinamakan syubhat yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari perkara syubhat sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya, barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang haram. (riwayat Bukhari dan Muslim].
Hadis ini jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada sumber makanan ataupun sumber pendapatan. Justeru, amat tepat apabila Majlis Fatwa Kebangsaan memfatwakan pelaburan Internet adalah haram. Ini kerana terdapat unsur-unsur syubhat di dalamnya yang perlu dihindari bagi menyelamatkan agama dan kehidupan orang Islam sendiri.
Menurut Abu Darda’ R.a : Kesempurnaan takwa adalah taatnya hamba kepada perintah Allah s.w.t sehinggakan apabila didapati keraguan sebesar zarah terhadap perkara yang halal, maka ditinggalkan perkara tersebut. Maka apabila terdapat unsur yang jelas tentang keraguannya, sewajarnya kita mengelakkan diri daripada terlibat dengannya seperti mana yang yang telah difatwakan tentang pelaburan di Internet.
Kemuliaan seseorang individu adalah berpunca daripada sumber pemakanan yang halal. Menurut al-Syafie : Terdapat lima perkara untuk memelihara hati iaitu membaca al-Quran dan menghayatinya, sentiasa mengosongkan perut (berpuasa), menghadiri majlis ilmu dan bersama orang-orang soleh, mendirikan solat malam, serta sentiasa memohon pertolongan Allah s.w.t.
Namun begitu punca kepada kemuliaan hati adalah makan makanan yang berpunca dari perkara halal. Menurut beliau lagi makanan adalah benih kepada perbuatan, apabila makan sumber yang halal akan lahirlah perbuatan yang mulia, apabila makan makanan berpunca dari sumber yang haram, maka lahirlah perbuatan yang tercela.
Daripada sumber makanan yang bersih maka golongan yang akan dibangkitkan oleh Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud: Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera. (Al-Syu'ara':89].
Ayat ini menjelaskan bahawa di hari pembalasan nanti, tiada apa yang dapat membantu atau menyelamatkan kita dari seksaan Allah s.w.t kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati dan jiwa yang sejahtera iaitu golongan-golongan yang sentiasa memelihara diri mereka dari melakukan perkara yang dilarang dan sentiasa menjauhi diri dari perkara-perkara yang syubhat.
Selain itu, Rasulullah s.a.w ada meriwayat hadis yang menerangkan tentang syarat-syarat amalan yang diterima oleh Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah s.w.t baik, tidak menerima apa perkara kecuali perkara yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kepada semua golongan mukmin, seperti mana diperintahkan kepada para rasulnya.
Hadis ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menerima amalan hambanya kecuali melakukan dengan jiwa yang tulus suci, Allah s.w.t juga tidak menerima sedekah kita jika bersumberkan punca yang haram atau syubhat.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud, Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (al-Mukminun: 51].
Bagaimanakah Allah s.w.t ingin menerima ibadah kita jika kita mencari rezeki dengan bersumberkan perkara yang terdapat keraguannya, memakan makan yang berpunca dari pendapatan yang tidak pasti halalnya. Setiap perkara yang haram atau syubhat akan merosakkan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan.
Apabila seseorang itu tidak menitikberatkan soalan soal halal dan haram dalam kehidupan, maka doa yang dipohonnya sukar diterima oleh Allah s.w.t. Seperti mana yang dijelaskan dalam sebuah hadis, apabila Said Bin Abi Wuqaz meminta agar Rasulullah s.a.w mendoakannya supaya Allah s.w.t memperkenankan doanya, maka Rasulullah s.a.w bersabda: “Perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.”
Justeru, marilah kita bersama-sama muhasabah diri masing-masing agar mensucikan diri daripada perkara yang syubhat, agar Allah s.w.t memperkenankan setiap doa yang kita pohon kepadanya, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan pendapatan kita yang sudah semestinya digunakan untuk keperluan harian kita.
Bagi mereka yang mempunyai simpanan hasil dari pendapatan yang syubhat, gunakanlah untuk bersedekah agar dapat digunakan oleh orang ramai, seperti mana yang diceritakan oleh Malik Bin Dinar, beliau bertanya kepada ‘Ato’ Bin Abi Rabah bagaimana ingin menguruskan harta yang tidak bertuan dan harta yang haram, lalu beliau menjawab: bersedekahlah. Pendapat ini turut disokong oleh Ibn Rajab.
Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan untuk terus mencari keberkatan dalam setiap punca rezeki yang kita perolehi, dan membangkitkan kita dalam golongan hati yang sejahtera.
* ASMADI ABDUL RAHMAN ialah Pensyarah Kolej Shahputra Kuantan, Pahang.
No comments:
Post a Comment