5/29/2007

Perspektif IKIM :Pertanian senjata baru penjajahan

Oleh Mohd Noor Omar - Berita Harian 29.05.2007 - Agama Barat tekan ekonomi negara membangun guna alasan globalisasi SUATU keadaan yang pasti di lalui dalam kehidupan ialah perubahan. Itulah tandanya baharu alam ini. Dunia juga berubah daripada semasa ke semasa. Kadang-kadang sukar untuk kita fahami perubahan dan bagi mereka yang alpa sering menjadi mangsa perubahan. Begitu juga dengan perubahan dalam bentuk kuasa dan penjajahan. Daripada zaman penjajahan bersenjata atau kekerasan, yang lemah dan tidak bersatu menjadi mangsa kuasa besar. Yang kurang sifat kemanusiaan menjadi raja berpaksikan undang-undang rimba batu. Beralih kepada zaman penguasaan melalui kepintaran melampaui had. Kesederhanaan dalam berfikir ditinggalkan begitu saja. Takrifan agama atau cara hidup adalah berlandaskan nafsu dan kegilaan kepada kebendaan dan keutamaan untuk kelangsungan hidup kumpulan tertentu. Jika kita tinjau globalisasi, kita dapati ia satu cara baru menguasai maklumat pihak lain. Pada zaman dulu, globalisasi tidak wujud. Sebelum globalisasi mengambil tempat, kita didedahkan dengan modernisasi. Ia membabitkan usaha dua kuasa besar iaitu Russia dan Amerika Syarikat ingin menjadi jaguh di pentas dunia. Pelbagai propaganda digunakan Amerika untuk menjadikan mereka kiblat. Cerita Combat yang ditayangkan hampir ke seluruh dunia memperlihatkan bagaimana Russia sebagai satu kuasa jahat dan Amerika pula wiranya. Apabila runtuhnya Tembok Berlin, Amerika menguasai dunia. Era sudah berubah, maklumat menjadi perkara penting. Mereka perkenalkan penggunaan internet dan laman web. Pelbagai insentif diberikan termasuk pendaftaran emel percuma, transaksi talian dan banyak lagi. Apa yang menjadi persoalan ialah siapa yang menguasai teknologi ini? Dunia terpaksa akur dengan perubahan ini dan menerima pakainya dengan bangga. Padahal, jika ditinjau, semua maklumat penting dan rahsia boleh dicapai orang lain dengan mudah. Akibatnya, lahir ramai jutawan Amerika. Jika tidak kerana memperkenalkan sistem baru, hanya dengan mengetahui teknik menggodam, pelbagai masalah negara boleh timbul. Kini tiba pula suasana baru. Dalam sedar atau tidak, kita menghadapi tekanan dalam bentuk perdagangan. Pelbagai akta antarabangsa digubal dan diperkenalkan. Mungkin kulit luarnya nampak menguntungkan negara terutama negara membangun tetapi hakikat di sebaliknya mungkin jauh berbeza. Amerika giat berusaha memasarkan beras yang disahkan tidak selamat iaitu yang dihasilkan melalui kejuruteraan genetik (GE) kepada negara membangun. Isu beras yang boleh dikatakan isu global membabitkan makanan asasi penduduk Asia diselitkan melalui Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA). Jika padi biasa, kita hanya perlu semai dan ia akan tumbuh tanpa sekatan tertentu. Dengan menggunakan beras GE, benih padi mesti diimport dari Amerika yang mempatenkan hasil beras GE supaya mendapat hak di bawahnya. Tiga jenis beras yang berteknologi GE iaitu Liberty Link LL62, LL601 dan LL604 kini secara berleluasa dikembangkan di bawah WTO melalui dua perjanjian penting iaitu Perjanjian Mengenai Pertanian (AOA) dan Perjanjian Mengenai Dagangan Berkaitan Aspek Hak dan Harta Intelek (TRIPS). Di bawah perjanjian AOA, objektif pertama ialah ‘liberalisasi pertanian’ dengan membuang halangan perdagangan seperti tarif dan bantuan tempatan. Perjanjian itu sebagai pelindung kepada persaingan tidak adil terhadap barangan import. Manakala, di bawah TRIPS pula, melalui hak paten yang memberi jaminan kepada negara membangun untuk menggunakan paten mereka sehingga 20 tahun. Sebelum ini, petani tidak perlu membayar royalti terhadap paten beras tetapi dengan beras GE, petani perlu membayarnya atau dianggap sebagai lanun bio. Contohnya, sejenis beras Basmati didaftar paten di Amerika oleh Rice Tech Inc Pada 1970, Filipina adalah pengeksport terbesar beras. Tetapi apabila menyertai program WTO dan menandatangani perjanjian AOA, negara itu mengimport 2.2 juta tan beras pada tahun 1998 iaitu hampir 40 peratus daripada pengeluaran dalam negara. Secara tidak langsung, perkembangan itu memberi kesan kepada petani. Peningkatan ke atas kebergantungan kepada negara maju ketara sekali apabila kita lihat peningkatan import beras Asia daripada 4.8 juta tan kepada 15.4 juta tan iaitu peningkatan 300 peratus. Melaluinya juga WTO memaksa negara membangun mengamalkan Corporate Farming iaitu syarikat dari Amerika akan mengusahakannya secara besar-besaran. Tenaga buruh terdiri daripada petani tempatan yang dibayar murah. Petani yang mengusahakan sendiri tidak lagi mampu bersaing dengan skala pengeluaran dan harga ditawarkan akhirnya rela menjadi pekerja saja. Di samping itu, penggunaan racun yang berbahaya kepada kesuburan tanah digunakan secara berleluasa dan akhirnya tanah menjadi makin tidak subur. Inilah bentuk baru penjajahan yang menghilangkan hak negara mentadbir. Sejarah boleh bertukar. Jika Asia adalah pengeluar beras utama dunia, kini dengan terlaksananya tekanan melalui FTA, Asia menjadi pengimport beras dari negara maju. Pada tahun 2004, China menghasilkan 177 jua tan, India 129 juta tan, Indonesia 54 juta tan. Jika beras GE ini diguna pakai, kemungkinan negara ini hanya menjadi pengimport terbesar. Petani tidak mampu bersaing dengan harga beras GE yang zahirnya nampak lebih berkualiti. Saintis Kanan Institut Dasar Pengguna Amerika Syarikat, Dr Micheal K Hansen dalam usaha memberi kesedaran kepada negara membangun menegaskan bahawa petani di Amerika kerugian hampir RM4.6 juta bilion kerana produk mereka gagal dipasarkan ke negara luar. Kaedah baru memasarkannya ialah melalui FTA. Sementara negara seperti Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Russia, United Kingdom dan Amerika sentiasa menutup pintu bagi menerima barangan dari negara membangun. Begitulah percaturan hidup yang dilakukan sebagai satu cara untuk mengaut keuntungan. Bagi negara yang lemah dan kurang pengalaman dalam urusan antarabangsa dan tiada kekuatan pengetahuan, mungkin menganggap tarikan bidang bioteknologi satu peluang tanpa menghalusi bagaimana bioteknologi ini akan menghilangkan kedaulatan negara akhirnya. Apa saja perkara dalam dunia ini tidak semudah yang disangkakan. Kalau terdetik satu keadaan mudah, pasti pemeriksaan rapi perlu dibuat bagi mengelak penyesalan di kemudian hari.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...