6/26/2007

Misteri Batang Pisang (Update - Komen Mufti Perak, Mufti Perlis dan Bomoh )

Oleh Adnan Mohamadam@hmetro.com.my PASIR MAS: Kebanyakan penduduk di Kampung Banggol, dekat Slow Machang, terkilan apabila kubur misteri yang kini menjadi ‘tumpuan’ tidak akan digali kerana dikatakan hanya mengandungi batang pisang. Malah, penduduk berpendapat kubur misteri terbabit sepatutnya digali bagi membongkar rahsia supaya tidak lagi menjadi ‘buah mulut’ orang ramai sehingga mendatangkan keaiban kepada penduduk di kampung itu. Penduduk, Othman Besar, 56, berkata dia kesal kerana kubur Tanah Perkuburan Dusun Tengah, itu tidak digali bagi merungkaikan rahsianya walaupun dikatakan hanya mengandungi batang pisang. Menurutnya, tanah perkuburan itu kini menjadi tumpuan orang ramai termasuk dari luar kerana terpengaruh dengan pelbagai ‘cerita karut’ yang disampaikan dari mulut ke mulut oleh orang yang datang melihat kubur itu. “Kita tidak mahu ‘kubur’ itu terus menjadi tumpuan ramai kerana penduduk di sini juga masih tertanya-tanya apakah objek yang ditanam di situ dan mengapa ia dikafankan seperti jenazah. “Pihak berkuasa sepatutnya memberikan penjelasan kepada penduduk kampung supaya ia tidak lagi mendatangkan kekeliruan kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya. Penggali kubur misteri itu, Aziz Abdul Rahman, 45, berkata dia sendiri sangsi dengan objek yang dikebumikan di situ kerana berasakan objek itu hanyalah batang pisang yang dipotong sepanjang kira-kira 0.4 meter setiap satunya. Dia berkata, ketika diminta mendukung satu daripada bungkusan itu dia berasakan objek itu seperti bergolek sedikit tetapi tidak berani membukanya. Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Haliluddin Abdul Rahim, berkata pihaknya sudah memanggil seorang lelaki berusia 59 tahun untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kejadian ‘kubur misteri’ itu. Menurutnya, siasatan mendapati objek yang `dikebumikan’ di tanah perkuburan di kampung terbabit hanyalah batang pisang sahaja dan cerita mengenainya tidak perlu diperbesarkan sehingga mendatangkan kekecohan kepada orang ramai. Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 297, Kanun Keseksaan kerana menceroboh tanah perkuburan dan lelaki yang bertindak sebagai bomoh itu dibebaskan dengan jaminan polis. “Sesiapa yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. Dalam kejadian pagi kelmarin, penduduk di Kampung Banggol, gempar apabila enam objek yang disangkakan jenazah kanak-kanak dikebumikan di situ oleh sekumpulan lelaki dan wanita dengan diketuai oleh seorang bomoh. Objek yang ditanam itu juga dibuat seolah-olah pengebumian sebenar dengan ditanam mengadap kiblat tetapi tidak pula dibacakan talkin oleh bomoh yang mengetuai acara itu sehingga selesai malah dipacak dengan dahan kayu sebagai tanda.Kejadian itu kemudiannya menjadi buah mulut di kalangan penduduk kampung sehingga polis terpaksa datang membuat siasatan bagi mengetahui perkara sebenar. ©The New Straits Times Press (M) Berhad 0000000000000000000000000000000000000000000000000 Update 01.07.2007 - berita Mingguan

Apa Kata Mufti

‘Tanam batang pisang ditusuk paku khurafat’ KUALA LUMPUR: Perbuatan seorang bomoh mengebumikan enam batang pisang ditusuk paku dan dikafankan dengan kain putih di Perkuburan Islam Kampung Banggol, Pasir Mas kelmarin adalah khurafat baru dan bertentangan dengan ajaran Islam, kata Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin. Beliau berkata, perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak relevan dengan ajaran Islam dan menganggapnya sebagai kepercayaan dan perbuatan mengarut. “Perbuatan ini adalah khurafat baru dan ia permainan syaitan. Mungkin bomoh berkenaan mentafsirkan perbuatan mengebumikan batang pisang yang dikatakan ‘makhluk halus’ itu sesuatu yang betul, tetapi dalam Islam, ini disifatkan sebagai tahyul. “Kita sendiri sedia maklum bahawa makhluk halus tidak boleh ditanam atau dikebumikan seperti yang dilakukan bomoh berkenaan,” katanya ketika di hubungi Berita Minggu. Beliau mengulas gerakan menggali semula kubur misteri yang dilakukan penduduk dengan pengawasan polis selepas mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Kelantan (Maik) di tanah perkuburan itu. Selepas kubur itu digali sedalam kira-kira satu meter, polis menemui bungkusan plastik hitam berisi batang pisang yang ditusuk paku dan dibalut kain putih, disusun selari di dasarnya sebelum di bawa naik dan dibuka untuk pengesahan. Gerakan menggali itu turut disaksikan bomoh yang mengaku menanam batang pisang itu sebagai kaedah perubatan membuang makhluk halus dan penduduk sekitar yang berhimpun bagi menyaksikan apa sebenar ditanam di situ. Pendapat itu juga turut diakui Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria yang berkata kepercayaan menanam makhluk halus ini adalah tahyul dan perbuatan itu berunsur sihir. “Kegiatan ini sememangnya tidak wujud dan berkaitan langsung dengan ajaran Islam tetapi lebih kepada unsur sihir dan seperti yang diketahui dalam Islam hanya mayat dan bangkai saja boleh ditanam. “Perbuatan ini tidak boleh dipercayai sama sekali, jika ada masyarakat yang mempercayai dan mengamalkan sihir ini, ia boleh menjurus kepada syirik seterusnya merosakkan akidah umat Islam,” katanya. Beliau berkata, perbuatan menanam ‘jenazah’ batang pisang di tanah perkuburan Islam itu adalah suatu pembaziran kepada tanah kubur di situ dan turut mengakui tindakan menggali dan mengeluarkannya semula adalah perkara yang betul. ©The New Straits Times Press (M) Berhad

000000000000000000000000000000000000000000000

Apa kata Bomoh

Bomoh pertahan tindakan

Oleh ROHANA MOHD NAWI - Utusan Malaysia 01.07.07

PASIR MAS 30 Jun – Seorang bomoh, Mohamed Ariffin Ibrahim, 59, mempertahankan tindakannya menanam enam batang pisang di Tanah Perkuburan Kampung Banggol dekat sini, bukan suatu pencerobohan.

Menurut Mohamed Ariffin, dia telah memohon kebenaran daripada seseorang yang dikatakan penjaga kubur berkenaan dan mendapat keizinannya untuk mengorek tanah di kawasan perkuburan itu.

“Saya sudah beritahu tujuan menanam batang pisang sebagai satu kaedah rawatan tradisional untuk menyembuhkan penyakit dan menyerahkan RM200 untuk urusan itu kepadanya,” katanya kepada Mingguan Malaysia di rumahnya di Kampung Jias dekat sini hari ini.

Mohamed Ariffin berkata, apa yang dilakukan adalah bagi merawat enam pesakitnya daripada satu keluarga di Pulau Pinang yang menderita terkena ‘buatan orang’ dan ia tidak bertujuan jahat sebagaimana yang cuba digambarkan oleh pihak media.

‘‘Kini keluarga, sahabat kenalan dan orang ramai dari seluruh negara mengetahui saya sebagai penjenayah kerana dikatakan menceroboh tanah perkuburan untuk menanam batang pisang yang sebelum ini didakwa penduduk adalah mayat.

“Di mana saya hendak letak muka saya, keluarga, kawan-kawan dan kenalan saya, disebabkan kenyataan buruk yang disiarkan berhari-hari,” katanya.

Media hari ini melaporkan mengenai kubur misteri yang mencetuskan kontroversi dikorek oleh pihak polis sambil turut disaksikan oleh Mohamed Ariffin dan menemui enam batang pisang yang dicucuk dengan paku.

Ia dilakukan setelah mendapat kebenaran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) ekoran kontroversi yang tercetus apabila penduduk setempat curiga dengan penanaman beberapa objek dalam liang sedalam satu meter Ahad lalu.

Mohamed Ariffin juga telah dipanggil untuk memberi keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Menurut Mohamed Ariffin, laporan meluas mengenai perkara itu tanpa disokong dengan fakta sebenar telah memberi gambaran buruk dan mengaibkan dirinya.

Sambil meminta tuduhan terhadapnya dihentikan, Mohamed Ariffin menegaskan, dia sebenarnya bersedia untuk memberi penjelasan kepada pihak media sekiranya mereka datang menemuinya.

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...