Oleh: RAHISAM RAMLI - Rencana Utusan Malaysia 01.06.2007
MAJORITI umat Islam hidup dalam kemiskinan! Apakah kenyataan ini merupakan mitos atau fakta? Sebenarnya itulah kenyataan pahit yang memberi tamparan hebat kepada umat Islam masa kini. Kita perlu menerima kenyataan ini dengan positif berdasarkan fakta-fakta yang ada.
Buktinya Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata 24 peratus penduduk Islam berpendapatan kurang AS$1 sehari, 39 peratus hidup di bawah garis kemiskinan dan 45 negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) penduduknya mempunyai purata pendapatan tahunan kurang daripada AS$1,000.
Anehnya, 70 peratus keperluan tenaga dan 40 peratus eksport bahan mentah dunia pula datang dari negara Islam. Bagaimana mungkin potensi yang cukup besar masih tidak menjadikan umat Islam kaya? Negara-negara Islam berpotensi keluar daripada belenggu kemiskinan kerana kaya dengan sumber alam di negara masing-masing.
Dunia ekonomi telah berubah kerana kita sangat-sangat memerlukan bentuk pemikiran yang boleh mencipta inovasi untuk meningkatkan perdagangan.
Kini ketika negara-negara Islam masih banyak bergantung kepada Barat kerana kekurangan modal teroka, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Pengerusi OIC mengulangi lagi rahsia kekuatan umat Islam yang perlu diperkukuhkan melalui pembentukan dana modal teroka Islam bagi membolehkan penguasaan ekonomi dunia dengan lebih berkesan ketika Forum Ekonomi Islam Dunia baru-baru ini.
Pastinya dengan dana ini nanti dapat mengeluarkan produk berkualiti, mampu dikeluarkan dengan kuantiti yang banyak, setanding dengan jenama terkenal dan mempunyai pasaran yang luas.
Skeptikal dunia barat pada hari ini yang menganggap umat Islam sebagai punca kepada sebarang bentuk keganasan, peperangan, kemiskinan dan kemunduran perlu ditangani secara bijak dan holistik.
Sebenarnya propaganda puak Kapitalis mendakwa bahawa sempadan negara tidak penting lagi merupakan pelan tindakan untuk menjajah kembali negara-negara Islam. Oleh itu kebebasan modal teroka ke negara-negara Islam diserapkan agar kita tidak berjaya keluar daripada masalah kemiskinan.
Kebanyakan apabila kita menyebut negara miskin, bermakna negara itu tidak ada modal. Jika suntikan modal dilakukan maka pasti boleh memperkayakan mereka. Itu juga sebahagian propaganda kapitalis.
Walaupun umat Islam mewakili 31 peratus atau 2.2 bilion penduduk dunia dan dikurniakan dengan pelbagai sumber asli yang kaya tetapi negara Islam masih tetap miskin. Disebabkan kebanyakan negara-negara Islam terperangkap dengan ekonomi berpendapatan rendah maka menyebabkan kita terjebak dengan kemiskinan yang berpanjangan. Puncanya ialah di kalangan negara OIC kadar celik huruf dan pencapaian pendidikan yang rendah.
Justeru, dengan menjadikan pendidikan sebagai tunjang kekuatan ekonomi akan mengeluarkan umat Islam daripada kancah kemiskinan.
Anggapan sedemikian menjadikan pelabur asing tidak yakin dengan kemampuan ekonomi Islam berbanding dengan ekonomi kapitalis yang membawa pulangan yang berlipat ganda seterusnya menjadikan sistem kapitalis sebagai orde ekonomi oleh kuasa-kuasa besar.
Yang hairannya mengapa selama ini perdagangan semasa antara negara-negara OIC hanya di sekitar 12 peratus sahaja. Tidak lain dan tidak bukan kerana wujudnya sikap pentingkan negara sendiri tanpa memikirkan rakan yang seagama.
Amat malang jika peluang meningkatkan perdagangan ke tahap yang lebih tinggi ini dibiarkan begitu sahaja, pasti negara-negara Islam tidak mampu keluar daripada belenggu kemiskinan malah pandangan serong Barat terhadap Islam semakin bertambah.
Untuk menyelesaikan belenggu ini maka kemudahan infrastruktur seperti alat perhubungan awam, institusi pendidikan dan perkhidmatan kesihatan di kalangan negara Islam hendaklah dibangunkan.
Ketika harga minyak yang melambung maka negara-negara yang mempunyai lebihan modal boleh salurkan dana modal kepada negara-negara yang mengalami defisit yang kritikal.
Malaysia yang kian aktif menggerakkan hala tuju negara-negara Islam dengan menjadikan sebagai hab kewangan Islam dan hab produk halal telah mendahului dari segi tindakan dan menjadi contoh kepada negara luar.
Kini masanya negara-negara Islam tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada Barat. Zon selesa (comfort zon) sebenarnya menjadikan kita umat yang sentiasa bepegang kepada prinsip ‘cukup makan’ sahaja.
Potensi yang ada terhadap perdagangan Islam menunjukkan pasaran permintaan yang luas seperti instrumen kewangan, Sukuk. Sehingga kini Barat telah pun mengguna pakai instrumen Sukuk bernilai AS$700 bilion hingga AS$900 bilion. Manakala AS$581 bilion pula adalah sumbangan dalam industri hala di peringkat global dan akan meningkat sekitar 15 peratus setiap tahun. Jumlahnya sebanyak satu perempat nilai dagangan antarabangsa.
Ejen kepada tindakan inovasi pula boleh diterajui oleh Bank Pembangunan Islam (IDB), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam dan Pertubuhan Zakat Antarabangsa.
Oleh yang demikian usaha untuk menginovasi perdagangan di kalangan negara Islam memerlukan daya intelektual, tokoh pemikir, ahli cendekiawan, para ulamak da saintis yang berfikiran kreatif dan analitikal.
- RAHISAM RAMLI ialah Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Kolej Teknologi Islam
Antarabangsa Melaka (KTIAM).
No comments:
Post a Comment