12/23/2008

Keluarkan juga sijil 'tidak halal'

Oleh KHAIRUDDIN MOHD. ZAIN BARU-baru ini penulis menerima e-mel yang amat merisaukan. Merisaukan kerana e-mel tersebut menyatakan mengenai kemungkinan banyak rangkaian 'kopitiam' di negara ini menjual barangan makanan yang tidak halal. Kerisauan juga kepada penulis - kerana di kalangan rakan-rakan, budaya 'berkopitiam' sudah menjadi sangat norma di dalam hidup masyarakat kita. Mungkin ramai yang berkata - apakah kemungkinan tidak halal sekiranya kita hanya minum kopi susu dengan roti bakar. Namun, halal adalah satu konsep yang lebih luas daripada itu. Ia melibatkan penggunaan apa jua bahan yang boleh menghilangkan kesucian barangan makanan yang akhirnya menjadi 'darah daging' kita. Isu yang sedemikian fundamental bukannya boleh dipandang sebelah mata. Penulis menganggap wujud keperluan mendesak agar premis makanan menjalani proses pensijilan halal yang nyata dan telus. Jangan kita menganggap semua pengguna adalah kalangan mereka yang sangat 'savvy' dan gemar ber-sms saat mahu menjamu hidangan. Adalah menjadi tabiat biasa orang kita, jika tidak mempunyai tanda halal - perkara kedua yang kita lihat adalah 'kakitangan' premis makanan tersebut. Jika melihat wajah tampan anak muda Melayu ataupun wajah manis anak gadis Melayu bertudung 'sangkut' - kita pun buat sijil halal sendiri. 'Halal la tu'. Semua yang hidang makanan bertudung elok', kata rakan kita. Namun, keadaannya belum tentu menjadi sedemikian. Penulis suka mencadangkan, bagi premis yang enggan mendapatkan sijil halal, suatu undang-undang diwujudkan untuk pihak berwajib meletakkan tanda 'tidak halal' di hadapan premis sedemikian. Sekarang ini, takrif tidak halal pun boleh dipersendakan dengan pelbagai perkataan dan takrifan serba mencurigakan seperti 'no-pork', 'no-lard' dan sebagainya. Apakah tidak ada babi menjadikan produk itu halal? Perkara sama pernah diperkatakan tentang status halal hotel di bandar raya kita. Perkara ini pernah disentuh di Dewan Rakyat. Jawapan mudah dan setengah masak yang boleh diberikan adalah 'periksa portal kita'. Berapa ramai kalangan rakyat Islam yang sanggup bersusah payah mencari portal dan sebagainya. Di kebanyakan kampung - 'portal' boleh disalah anggap sebagai ubat demam untuk budak-budak. Betapalah kita dalam minda yang dikatakan sangat bertamadun dan 'hadhari' - mungkin sudah terlalu mengambil mudah dengan soal halal dan haram ini. Penulis ingin menggesa pihak berwajib menjadi lebih bertanggungjawab dan pro-aktif dalam menjayakan program pensijilan halal ini. Jangan ambil mudah dan pandang sebelah mata. Kegagalan kita bertindak secara bersungguh dalam perkara yang sefundamental ini membuatkan masyarakat lebih terjerumus ke suatu budaya penggunaan yang semberono dan membuta tuli. Kita selalu melaungkan bagaimana kita bersungguh mahu menjadi 'hab halal' dan sebagainya, tetapi apa yang berlaku dalam konteks budaya konsumerisme biasa - ia tidak pernah diberikan perhatian yang serius. Sesuai dengan penyelesaian 'periksa portal kita', penulis sudahpun cuba untuk mencari maklumat mengenai portal tersebut. Apabila melayari direktori halal yang disediakan di laman sesawang www.halal.gov.my/ direktory/index - dan cuba mencari kategori premis makanan 'kopitiam' halal - yang dinyatakan hanyalah satu jenama kopitiam, Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd. yang berpusat di Kepong. Yang merata di seluruh negara kita ini, apa statusnya? Pseudo-halal? Lebih kurang halal? Mungkin halal? Separa-halal? Agaknya halal? Tiga suku halal? Penulis sedar, wujud kalangan usahawan Melayu sendiri yang sudahpun memulakan francais kopitiam di sana sini. Namun, dengan pensijilan halal yang bersifat menyeluruh dan tidak separuh masak - ia akan mampu menjamin usaha niaga yang lebih menguntungkan. Kerajaan perlu bersikap pro-aktif dan benar-benar turun ke bawah dalam memastikan perkara yang se-asas konsep halal ini dapat dilaksanakan dengan baik. Sebab itulah, sekiranya diwujudkan juga lambang rasmi 'tidak halal', khususnya melibatkan premis makanan - yang 'pudar status' seperti kopitiam, ia menjadikan masyarakat Islam lebih berhati-hati. Benar, tanggungjawab akhirnya adalah terletak di bahu pengguna - tetapi tidak ada salahnya jika kita mengambil pendekatan yang lebih mencegah dan menyatakan keseriusan kerajaan dalam menjayakan konsep halal. Masyarakat bukan Islam, bukan Melayu - tidaklah perlu melompat dan marah-marah dengan pendekatan ini. Tidak perlu berdemonstrasi pun dalam menyatakan ketidaksetujuan. Konsep halal adalah sangat teras (core) dalam kehidupan masyarakat Islam. Kita jangan terlalu berbangga dengan standard halal yang diiktiraf di seluruh dunia sekiranya kita sendiri gagal melaksanakan penguatkuasaan yang menyeluruh di halaman kita sendiri. Sememangnya, mendengar kewujudan 'Standard Malaysia: Berkenaan Makanan Halal' (MS1500;2004) kita akan menjadi masyarakat yang serba tenang hati dan yakin. Namun, apakah pelaksanaannya berlaku seperti yang kita inginkan? 'Makanan Halal: Pengeluaran, Penyediaan, Pengendalian dan Penyimpanan' (MS1500: 2004) adalah konsep yang sangat holistik dan menyeluruh. Justeru, adalah elok dan penting bagi premis makanan yang wujud di seluruh pelosok kota dan kampung, satu strategi pensijilan halal yang menyeluruh dilaksanakan. Yang halal, mesti mendapat 'advantage' daripada status kesuciannya; dan yang tidak halal - tidak sepatutnya mendapat kelebihan daripada sikap kita yang malas untuk 'periksa portal kita'. Memang benar, penulis hanya menulis dengan e-mel yang sangat spekulatif sifatnya. Namun begitu, ia akan amat melegakan sekiranya kalangan pengusaha sendiri turut bersungguh mendapatkan pensijilan halal yang diiktiraf. Penyelesaian 'periksa portal kita' juga tidak menjanjikan sesuatu yang sangat menjanjikan sensitiviti masyarakat Islam. Hanya satu jenama yang halal - daripada begitu banyak jenama yang ada, waima mungkin di hadapan rumah kita sendiri. Penyelesaian Penyelesaian status halal tidak boleh lagi bersifat spekulatif. Elok juga rasanya, daripada bergantung kepada 'portal kita', pihak media mengambil peranan dalam menyediakan kolum kecil menyatakan premis makanan yang halal ataupun tidak. Kita dalam era yang serba telus dan terbuka - maka apalah salahnya untuk kita juga menjadi telus dan terbuka dengan status halal di negara kita sendiri. Penulis percaya, dengan kaedah pensijilan halal yang menyeluruh dalam penyediaan makanan - kita mampu melengkapkan sikap dan status 'hab halal' yang kita cita-citakan. Ketidaktegasan, sikap sambil lewa, tidak bersungguh kita dalam mengendalikan status halal ini akan menyebabkan rakyat mencemuh dengan perkataan yang kita sendiri tidak gemar. Pensijilan halal - boleh diangkat sebagai uslub dakwah yang sangat mengesankan. Sikap kita yang mengambil kira tentang konsep 'kesucian' akan menjadikan masyarakat lebih hormat dan menghargai keseriusan kita. Pemilik premis makanan yang tidak mempunyai sijil halal - tidak lagi mampu tersenyum untuk menerima kunjungan masyarakat Islam yang tidak sempat 'periksa portal kita' sebelum melayani tamu di premis yang tidak halal. Sudah tiba masanya, komuniti pengguna kalangan umat Islam mendapat sedikit 'ketenangan fikiran' dengan kewujudan logo 'tidak halal' kepada premis yang gagal mengemukakan/sengaja tidak mahu mendapatkan sijil halal. Kita perlu melaksanakan usaha ini jika tidak mahu sijil halal menjadi suatu lambang yang dimomokkan oleh kelompok peniaga yang gemar mengambil kesempatan. Budaya berkopitiam ini sudah menjadi resam di kalangan masyarakat kita. Dengan persekitaran yang sangat menarik, suasana yang bersih dan tenteram - sememangnyalah ia mampu menarik perhatian umum. Namun, dalam suasana yang sebersih dan setenteram itu, wujud keperluan yang mendesak agar status halalnya dinyatakan secara telus. Kita sekurang-kurangnya wajar berasa bangga kerana e-mel asal yang penulis peroleh berlegar di kalangan eksekutif muda yang menjawat jawatan di syarikat ternama. Wujud kecenderungan di kalangan anak muda kita sendiri untuk bersikap serius dengan konsep halal dan kesucian. Trend ini sangat positif dan mampu membudayakan amalan konsumerisme yang bijaksana. Zaman ini, kita tidak boleh menjadi pengguna pasif dan ikut suka. Jom kita ke kopitiam. Namun jika kita mengambil pendekatan 'periksa portal kita' - kita hanya mampu berkopitiam secara halal di Kepong. Jauh sedikit, tapi itulah yang dicadangkan oleh 'portal' kita. rencana - Utusan Online 23/12/2008

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...