12/23/2008

HIV 'buta' kaum, agama

Oleh MOHAMED YUSOFF ISMAIL BARU-baru ini akhbar tempatan melaporkan cadangan sama ada ujian HIV sebagai pra-syarat perkahwinan patut diperluaskan kepada semua kaum, tidak kira bangsa atau agama. Respons kerajaan berhubung cadangan itu ialah satu kajian mendalam perlu dibuat terlebih dahulu sebelum saringan HIV dijadikan mandatori kepada kaum-kaum lain sebagai syarat perkahwinan. Jika sebarang kajian hendak dibuat maka beberapa aspek mesti dipertimbangkan termasuk dari segi falsafah, tanggungjawab moral dan sosial pemerintah juga dari segi keagamaan. Kita bertolak dari perhitungan falsafah moral. Setiap agama, tidak kira Islam, Buddha, Hindu atau Kristian mengajar perkara yang baik, iaitu dari segi etika sosial dan panduan hidup demi kesejahteraan umat manusia yang hidup sebagai ahli sesebuah masyarakat. Mana-mana perkara yang boleh memudaratkan masyarakat, sama ada secara individu atau berkelompok memang menjadi perhatian kepada setiap agama. Maka dikeluarkan oleh agama-agama tersebut pelbagai larangan dan hukum bagi menjamin kesejahteraan sosial dan masyarakat. Mana-mana perkara yang tidak dapat ditangani oleh agama, maka menjadi tanggungjawab pihak pemerintah untuk menyelesaikannya dengan menggunakan kuasa atau autoriti sivilnya. Perkara kedua yang harus difikirkan bukan bersifat falsafah, tetapi bersifat pathology (sebab musabab dan perkembangan penyakit). Hakikatnya ialah jangkitan HIV tidak ada kena mengena dengan sebarang batasan agama. Virus tersebut boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja, biarpun di kalangan mereka yang tidak menganut apa-apa agama. Berasaskan kepada dua hakikat itu - yang satu falsafah, yang satu lagi pathology - kita terpaksa berdepan dengan dilema bagaimana membendung wabak penyakit yang semakin menular dengan begitu pantas di kalangan penduduk sebuah masyarakat berbilang kaum. Persoalannya ialah apakah senjata yang boleh digunakan untuk membendung merebaknya HIV. Kita semua tahu bahawa salah satu daripada cara HIV merebak ialah melalui hubungan seks. Jika kita berkahwin dengan pasangan yang dijangkiti virus berkenaan, maka peluang untuk kita dijangkiti penyakit itu adalah sangat tinggi, begitu juga dengan anak-anak dan zuriat kita seterusnya. Justeru adalah menjadi tanggungjawab moral untuk bakal pengantin yang menjadi pembawa HIV memberitahu pasangannya akan risiko tersebut, tetapi malangnya siapakah yang sanggup membuka pekung di dada sendiri? Kadang-kadang seseorang itu tidak pun tahu akan status kesihatannya sendiri, sama ada dia dijangkiti oleh HIV atau sebaliknya. Soalnya, pasangan manakah, keluarga manakah dan ibubapa manakah yang sanggup menerima seorang teman hidup, seorang ahli keluarga baru dan seorang menantu yang menjadi pembawa HIV? Sebab itulah orang tidak akan mengaku dengan mudah bahawa dia adalah pembawa HIV. Risiko Dari satu sudut yang lain pula, persoalannya bersifat agak akademik. Jika pasangan tersebut mahu berkahwin juga, biarpun salah seorang daripadanya dijangkiti HIV, semata-mata kerana dilamun asmara dan cinta yang sangat mendalam, maka tidak ada undang-undang dan hukum agama yang boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian. Terpulanglah kepada mereka untuk menanggung risikonya, termasuk menjadikan anak-anak yang akan dilahirkan kelak mangsa HIV seperti mereka. Namun demikian, golongan alim ulama dan pentadbir agama Islam telah mengambil langkah yang terkehadapan dengan mengenakan syarat tambahan supaya bakal pengantin menjalani ujian HIV terlebih dahulu. Manfaatnya agak jelas dan cepat. Biasanya jika salah seorang daripada pasangan itu terbukti pembawa HIV, maka perancangan perkahwinan itu mungkin 'ditangguhkan' oleh sebab-sebab 'teknikal' biarpun sebab sebenar tidak didedahkan demi menjaga maruah. Penangguhan tersebut adalah lebih baik daripada kita menanggung akibat HIV kemudian hari kelak. Baik kita tahu terlebih dahulu bahawa bakal menantu kesayangan kita adalah pembawa HIV. Baik kita sesal dahulu daripada sesal kemudian. Langkah proaktif pihak pentadbir agama Islam itu merupakan satu cara untuk menangani merebaknya wabak tersebut melalui penggunaan kuasa agama (religious authority). Kuasa ini wujud kerana pentadbiran Islam mempunyai sistem kuasa yang berpusat (centralised religious authority), iaitu di peringkat setiap negeri. Ini bermakna bahawa jika kita ingin mendirikan rumah tangga yang sah di sisi undang-undang Islam, maka keabsahannya itu datangnya daripada pihak pentadbir agama. Di kalangan agama-agama lain, tidak wujud sebarang bentuk autoriti berpusat yang membawa implikasi undang- undang. Perkahwinan dianggap sah dari segi undang-undang sivil hanya melalui pendaftaran dengan sebuah badan yang bukan bersifat agama biarpun upacara perkahwinan itu dilakukan mengikut adat dan budaya golongan etnik berkenaan, atau mengikut kehendak agama tersebut. Pendaftar perkahwinan sudah tentulah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengenakan syarat tambahan atau syarat khas bagi pasangan bukan Islam yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka, seperti yang dikenakan oleh pentadbir agama Islam terhadap orang Islam. Lagipun pendaftaran biasanya dibuat setelah pasangan itu menjalani adat perkahwinan masing-masing, sedangkan di kalangan orang Islam, syarat tambahan itu mestilah dipenuhi terlebih dahulu sebelum perkahwinan dapat dijalankan. Perbezaan dari segi perolehan keabsahan perkahwinan di antara orang Islam dan orang bukan Islam menjadikan isu mewajibkan saringan HIV tidak dapat dilaksanakan mengikut acuan dan tatacara yang diamalkan oleh pihak berkuasa pentadbiran Islam. Namun demikian, cadangan saringan HIV untuk mana-mana bakal pengantin mempunyai konsep dan nilai murni yang universal di kalangan semua kaum dan agama, bukan sahaja di kalangan orang Islam. Oleh kerana HIV tidak mengenal batasan kaum dan agama, maka pelaksanaan langkah kawalan terhadapnya tidak semestinya mengambil kira pendekatan agama seperti yang berlaku di kalangan orang Islam, tetapi pendekatan yang bersifat sosial dan budaya, juga dengan menggunakan civil authority. Pembawa penyakit HIV dilaporkan berjumlah 80,900 bagi tahun lepas. Angka ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan dan kes-kes baru untuk tahun ini. Oleh kerana jangkitan HIV merebak dengan cepatnya di kalangan penduduk wanita Malaysia - pertambahan dari 1.1 peratus pada tahun 1990, kepada 5.02 peratus pada tahun 1997 dan kepada 16.3 peratus pada tahun lepas - maka langkah-langkah membendungnya hendaklah diberikan keutamaan sama seperti menangani darurat kebangsaan atau krisis negara. Langkah pencegahan yang terbaik bukan terletak pada saringan, kerana bila HIV dikesan pada tahap ini, keadaan sudah terlambat. Pada tahap ini gesaan supaya membatalkan atau menangguhkan sahaja perkahwinan adalah langkah yang agak pathetic, kerana nasi sudah menjadi bubur. Kesedaran melalui pendidikan umum di peringkat masyarakat adalah di antara jalan yang terbaik bagi membendung dan mencegah jangkitan HIV. Tetapi senjata paling berkesan terletak pada diri seseorang. Kita tanya pada diri kita sendiri apakah pendirian kita tentang HIV. Jika kita seorang bapa, mahukan kita mempunyai seorang menantu yang menjadi pembawa HIV? Kalau kita seorang perempuan, mahukah kita bersuamikan seorang pengidap HIV? Kalau kita seorang abang, relakah kita membenarkan adik perempuan sendiri dijangkiti HIV daripada adik ipar kita? Dalam peristilahan antropologi sosial, inilah perisai perlindungan sosial yang sangat berkesan kerana ia melibatkan integriti sosial sesuatu masyarakat dari segi budaya, nilai-nilai murni, serta moraliti, kerana mereka yang tergolong dalam kategori pembawa HIV dianggap sebagai social outcast atau sampah masyarakat. Akhir kata, jika kita terus berlengah dengan pelbagai alasan untuk memikirkan semasak-masak sama ada hendak menjadikan saringan HIV sesuatu yang mandatori, dengan mengambil kira faktor agama dan kaum, mungkin kita sudah tidak begitu rasional lagi kerana wabak HIV bukan mengenali batasan kaum dan agama. Sesungguhnya langkah terkehadapan yang diambil oleh pihak pentadbir Islam itu harus diteladani kerana kesan dan manfaatnya terbukti bersifat universal dan boleh digunapakai untuk semua kaum di Malaysia. Rencana Utusan Online 23/12/2008

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...