10/15/2009

Jalan Pan Borneo dipastikan selamat

KEMENTERIAN Kerjaraya merujuk kepada surat ‘Pemilik Kelisa’ bertajuk ‘Jalan Pan Borneo Tidak Lancar’ yang disiarkan dalam ruangan ini 5 Oktober lalu. Untuk makluman, hasil siasatan kementerian, kebanyakan masalah yang berlaku adalah di kawasan Bahagian Bintulu dan Sibu. Memang diakui kebanyakan jalan berkenaan memang mengalami kerosakan dan kementerian akan mengambil perhatian ke atas perkara ini. Hasil pemantauan serta laporan daripada pihak konsesi dan JKR Sarawak didapati kerosakan jalan ini disebabkan perkara berikut: Kebanyakan jalan di Sarawak melebihi 20 tahun dan belum pernah dinaiktaraf. Ini menyebabkan kebanyakan jalan itu melebihi tahap penyenggaraan dan perlu dinaik taraf. Kebanyakan jalan ini direka bentuk untuk lalu lintas yang sesuai digunakan 20 tahun lalu. Ini memerlukan kerjasama pihak penguatkuasaan untuk memastikan kenderaan berat mematuhi garis panduan beban bagi mengelak jalan rosak teruk. Keadaan cuaca dan struktur tanah - Sibu dan Bintulu mengalami taburan hujan yang tinggi kebelakangan ini, ia menyebabkan jalan di kawasan itu banyak berlubang dan kerap berlaku tanah runtuh. Untuk makluman, semua jalan Persekutuan di Sarawak diswastakan kepada tiga syarikat konsesi untuk mengendalikan kerja penyelenggaraan. Bahagian Sibu dan Bintulu, lebih kurang 10 kilometer pertama dari Lapangan Terbang Bintulu menghala ke Tatau sememangnya permukaan jalan itu mempunyai banyak tampalan tetapi tiada lubang, cuma terlalu banyak tampalan menyebabkan ketidakselesaan dalam pemanduan. Kementerian sudah membuat perancangan untuk membuat kerja menurap jalan ini pada tahun depan namun ia bergantung kepada tahap kewangan semasa. Jalan di bandar Bintulu pula dari persimpangan Batu 2 menghala ke Medan Jaya diturap baru, adalah jalan negeri dan segala peruntukan dan kerja pengawasan adalah di bawah bidang kuasa JKR Sarawak. Jalan Bintulu-Selangau dan jalan Sibu-Bintulu masih banyak yang berlubang atau yang ditampal tidak sempurna, kementerian mengarahkan pihak konsesi membuat tampalan di jalan ini. Namun, tidak menafikan jalan yang ditampal mungkin tidak rata akibat kegagalan pihak konsesi menjalankan kerja tampalan mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Bagaimana JKR akan memastikan pihak konsesi yang bertanggungjawab membaiki semula mana-mana lubang yang ditampal tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Mengikut syarat kontrak penswastaan setiap permukaan jalan yang berlubang perlu ditampal dalam masa 24 jam. Berhubung dakwaan kebanyakan laluan di jalan Pan Borneo tidak mempunyai pemantul cahaya, membahayakan pemanduan pada waktu malam dan ketika hujan lebat adalah tidak benar kerana garis jalan serta pemantul cahaya sememangnya ada pada asalnya tetapi ada sebahagian kawasan ini garis jalan yang pudar dan pemantul hilang, namun begitu kementerian bersama JKR akan sentiasa berusaha menambah baik keadaan ini dari semasa ke semasa. Bagi penambahan ruang dan laluan kecemasan bahagian ini kementerian akan mengkaji cadangan itu dan akan membaiki sekiranya perlu. Berkenaan tanah runtuh di kawasan Tatau kerja membaiki sudah siap dibaik pulih dan garis jalan yang baru serta papan tanda yang bersesuaian sememangnya sudah dipasang. Bagi mendapan di bahu jalan yang menyebabkan wujud bonggol semula jadi di jalan Miri-Bintulu, pihak konsesi diarahkan untuk mengambil tindakan serta-merta. Kementerian amat menyanjung tinggi pandangan dan aduan pengadu demi kebaikan bersama. MOHD RIZAL HASHIM, Pegawai Perhubungan Awam Kementerian Kerjaraya. Berita Harian Online - 15.10.2009

No comments:

Bidara Epal Vietnam dan Pokok Nam nam.

Bidara epal. Berbunga lebat dekat bahagian dahan yang ditut. Semoga tutnya menjadi disamping buahnya nanti pun boleh dimakan.. ana...