AZHAR Mat Easa menunjukkan mi kuning kering, Neodles dan pingat pecipta yang mengiktiraf kebaikan produk itu di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
PULAU PINANG 28 Okt. - Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan mi kuning kering lebih berkhasiat yang antaranya mampu menurunkan berat badan dan memberikan rasa kenyang yang lama dikenali sebagai Neodles.
Ketua Penyelidik dan Pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Prof. Madya Azhar Mat Easa berkata, selain itu, mi kuning tersebut juga sesuai dimakan oleh penghidap kencing manis, obesiti dan mereka yang mengamalkan diet.
Katanya, Neodles merupakan produk pertama seumpamanya di negara ini diuji secara klinikal bagi menentukan indeks glisemik (GI) sebelum dikomersialkan.
Menurutnya, produk yang dimajukan menggunakan geran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bernilai RM900,000 itu bersifat rintang penghadaman dan ia boleh dinikmati tanpa menyebabkan kenaikan gula dalam darah yang keterlaluan.
''Sifat rintang penghadaman itu juga membolehkan Neodles bertahan lebih lama dalam sistem penghadaman sekali gus memberikan rasa kenyang yang lama kepada pengguna,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar memperkenalkan Neodles yang diumumkan oleh Dekan Pusat Pengajian Teknologi Industri USM, Profesor Rozman Din di sini hari ini.
Sebagai contoh, jelas beliau, jika Neodles dimakan pada sebelah pagi, pengguna akan berasa kenyang hingga malam selain boleh dinikmati tanpa menyebabkan kenaikan gula dalam darah yang keterlaluan.
Justeru, katanya lagi, produk Neodles itu sangat sesuai dimakan bagi penghidap kencing manis, mereka yang sedang mengamalkan diet, golongan yang berdepan masalah kegemukan dan kanak-kanak.
Tambahnya, ia juga direka menggunakan formulasi khas dan kaedah penyediaan yang menggalakkan pembentukan silang paut protein yang memerangkap kanji dan dikuatkan lagi dengan penambahan campuran kanji rintang penghadaman.
Beliau berkata, bagi kebanyakan orang yang mengetahui mengenai kelebihan GI, mereka menyedari semakin rendah kandungan bahan itu di dalam makanan, maka ia adalah satu produk yang lebih sihat dan mampu mengelak daripada pelbagai penyakit.
''Neodles satu-satunya produk seumpamanya di negara ini yang telah diuji secara klinikal, jadi hasilnya juga mendapati GI dalam Neodles berada pada tahap 61 GI iaitu pada tahap medium berbanding mi konvensional 85 GI
''Pada masa sama, ia juga berupaya menyumbang faedah kesihatan dari aspek kandungan serat dalam sukatan makanan sekali gus menggalakkan kekerapan pembuangan najis seseorang itu," ujarnya.
Jelasnya, produk yang mempunyai rasa hampir sama dengan mi biasa itu boleh dinikmati pengguna apabila ia memasuki pasaran pada Februari tahun depan dengan harga RM2 hingga RM2.50 untuk 200 gram.
Selain Azhar, tiga penyelidik lain bersama menghasilkan produk yang kajiannya mengambil masa setahun itu ialah Saifullah Ramli, Yeoh Shin Hong dan Dr. Abbas F.M. Alkharki.
Utusan Online - 29/10/2009
No comments:
Post a Comment